PIHAK Persatuan Permata Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) tidak ketinggalan mengulas isu hangat diperkatakan akhir-akhir ini, mengenai cadangan pihak tertentu supaya maahad tahfiz ditutup.

Presidennya, Manolito Mohd Dahlan meminta, mana-mana pihak prejudis dengan institusi tahfiz supaya berlaku adil dan lebih teliti dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Jangan bermain dengan sentimen kebencian dan kebebalan lama yang ‘alergi’ dengan sesuatu bersifat agama. Pihak Permata Al-Quran tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap individu atas perbuatan menghasut sekiranya masih terus-menerus menghina institusi agama Islam seperti sekolah-sekolah tahfiz.

“Ini bagi mengelak berlakunya kemarahan rakyat, perpecahan, permusuhan serta tanggapan negatif terhadap institusi Islam. Kami mengharapkan agar kerajaan baharu pasca PRU14 dapat memperkukuhkan lagi institusi tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama dengan menyediakan lebih banyak peruntukan, latihan malah beri ruang lebih luas untuk lepasan maahad tahfiz supaya dapat melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dan menyediakan bidang pekerjaan dalam pelbagai sektor,” katanya.

Terdahulu menurutnya, Permata Al-Quran kesal dengan kenyataan individu dikeluarkan dalam sebuah portal baru-baru ini yang menyarankan agar maahad tahfiz ditutup.

Manolito berkata, ia dilihat sangat keterlaluan dan dibelenggu kejahilan terhadap realiti sebenar keadaan institusi tahfiz di negara ini.

“Pendapat individu terbabit tidak bersifat membina, lebih merujuk kebencian. Pandangan menghina cabang institusi keilmuan Islam itu, menimbulkan keresahan umat Islam yang mencintai al-Quran dan meletakkannya sebagai panduan hidup.

“Islam mengajar umatnya beradab dengan al-Quran dan Rasulullah SAW melalui sebuah hadis sahihnya mengajar kita bahawa ‘sebaik-baik orang ialah yang belajar dan mengajar al-Quran’,” katanya.

Menurutnya, masa depan Islam di Malaysia dengan segala institusi mendukungnya harus terus maju dan ditambahbaikkan dan bukannya mengundur ke belakang dengan menutup institusi pendidikan agama yang telah diterima rakyat.

 

Perkasa tahfiz

Persatuan Permata Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) turut mengambil pelbagai inisiatif dengan kerjasama kerajaan persekutuan, negeri dan swasta untuk memperkasakan institusi tahfiz.

Manolito berkata, antara usaha Permata Al-Quran adalah membantu menggubal Dasar Pendidikan Tahfiz Negara bagi mengangkat tahfiz sebagai pendidikan arus perdana negara.

Menurutnya, pihaknya juga membantu mewujudkan Maahad Tahfiz Sains yang melahirkan ramai graduan huffaz di bidang profesional seperti kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya.

“Kewujudan Tahfiz TVET hasil kerjasama dengan Kolej Komuniti, Giat Mara dan politeknik yang telah dapat melahirkan huffaz berkemahiran, malah berjaya mengujudkan Program Tahfiz Aero Angkasa hasil kerjasama dengan syarikat berkaitan.

“Pihak persatuan juga telah bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk melatih pelajar tahfiz dengan pendidikan National Occuputional Skill Standard (NOSS) meliputi Pengurusan Tahfiz, Pengajaran Tahfiz dan Pengurusan Masjid. Ini akan dapat melahirkan huffaz berketerampilan dan bernilai tambah ,” katanya.

Menurutnya, pihak persatuannya sentiasa bekerjasama dengan pihak kerajaan, institusi pengajian tinggi dan swasta untuk mengadakan pelbagai kursus dan latihan tambahan untuk menambah keilmuan pelajar tahfiz.

Pelbagai pembaharuan dilaksanakan maahad-maahad tahfiz terutama dalam sistem pendidikan tahfiz merangkumi pembangunan kurikulum pendidikan, latihan perguruan, sistem pengurusan, infrastruktur sekolah dan keselamatan.

Tegasnya, pendidikan al-Quran adalah teras agama Islam, justeru ia harus diiktiraf sebagai pendidikan terbaik yang mampu untuk melahirkan jati diri dan membentuk sahsiah insan.