MELIHAT anak-anak bangsa kini menyokong dan menjadikan sesetengah lelaki membawa imej wanita atau mak nyah umpama idola, malah seronok pula memandang golongan tersebut semacam sesuatu yang 'wow', ia amat menggusarkan.

Apatah lagi golongan wanita di negara ini juga makin taasub melihat 'kecantikan' individu pondan terutama yang mempunyai ramai pengikut di laman sosial, mula mengagumi mereka itu.

Ironinya dalam masa sama, masyarakat juga bimbang dengan peningkatan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang semakin meningkat.

Sedar dengan gejala tersebut kian membimbangkan dan merasakan ia bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani, insan ini terdorong untuk membantu menyedarkan kumpulan bernafsu songsang tersebut.

Bekas mak nyah, Mohd Khariri Ramli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Ery kini bekerjasama dengan jabatan agama Islam di Selangor dan Perak bagi membawa golongan LGBT, khususnya mak nyah kembali ke pangkal jalan.

Malah ingin menabur jasa di tempat asalnya di Ipoh Perak, dia kini sedang sibuk dengan aktiviti mewujudkan pusat setempat yang akan membuka ruang dan peluang kepada ibu bapa di seluruh Malaysia untuk datang bersemuka dengannya sebagai perunding motivasi yang dibantu oleh kaunselor-kaunselor bertauliah di situ.

"Kita jangkakan, insya-ALLAH sebelum hujung tahun ini pusat setempat tersebut akan siap. Pada masa sekarang, kita mula dengan kelas mengaji dahulu untuk golongan LGBT di  Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak. Sekarang dah 30 orang, kita ada grup dengan mereka dan saya sendiri memantau.

"Bilangan golongan ini memang sudah makin kritikal. Untuk kawal jumlah sudah tentulah bermula dari rumah dengan ibu ayah main peranan penting. Kadang ingat anak tak terjebak, tapi tak sangka sebenarnya mereka menyimpan naluri," katanya selepas FB Live Cakna Sinar di bangunan Kumpulan Media, Karangkraf, baru-baru ini.

Mohd Khariri turut menubuhkan NGOnya sendiri, Persatuan Kebajikan Darul Modahish, sejak dua tahun lalu bertujuan membantu mereka yang terjebak dalam dunia mak nyah kembali ke pangkal jalan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menariknya, sejak mula melakukan transformasi pada 2008, hanya pada 2011 dia mula punya kekuatan dan keluar membuat perkongsian dengan masyarakat pada 2012 apabila ada rakan medianya menawarkan memaparkan kisahnya bagi menjadi teladan.

 

Jangan sokong

Selain ibu bapa, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Raja Uda, Pandamaran, Klang ini juga meminta keprihatinan masyarakat sama membantu dan tidak bersikap mementingkan diri, biarpun tidak terkena anak sendiri.

Menurutnya, antara usaha tersebut adalah dengan tidak menyokong 'selebriti' LGBT terutama membabitkan media sosial dengan membiarkan perkongsian individu terbabit tanpa 'like', 'share' dan komen.

"Tanda sokongan dengan tak perlu buat apa-apa bila mereka up status di media sosial. Bukan nak tutup pintu rezeki, kita pun nampak apa kesan berlaku. Saya pun tak suka nak 'kepoci' sebenarnya, saya lebih suka fokus kerja-kerja dakwah saya.

"Tapi bila dah makin teruk ni, pernah juga rasa give up. Masa dua individu LGBT itu diangkat, saya rasa sangat sedih. Mereka dapat pelbagai anugerah, saya nampak masyarakat kita seakan dah buta, yang diangkat ni siapa mereka. Saya risau bala bukan hanya timpa pada mereka. Takut orang tak berdosa pun jadi mangsa," katanya.

Dia yang menjadikan rutin di kediamannya dibuka kepada golongan ibu di Kampung Idaman, Pandamaran untuk kelas al-Quran, turut menjadi pusat bagi rakan-rakan mak nyahnya bagi belajar mengaji.

"Saya ada kerjasama dengan Mais, pertubuhan berkaitan, kelas mengaji setiap Sabtu dan Ahad di Mais dan UTC Ipoh. Ahad ni saya balik di Ipoh untuk kursus pengurusan jenazah pada mak nyah," katanya yang terbaharu bekerjasama dengan Jabatan Islam Johor.

 

Tarik LGBT kembali ke agama             

Terjebak dunia mak nyah seawal usia 18 tahun dan berhijrah kira-kira lapan tahun lalu, semenjak kembali ke fitrah lelaki, Mohd Khariri tekad membantu komuniti dan generasi baharu.

Hingga kini lebih 10 mak nyah dibimbingnya, walaupun tidak menafikan kadangkala bila-bila masa mereka boleh kembali ke lorong gelap disebabkan kekuatan masih goyah, malah kesulitannya untuk membuat pantauan sepenuh masa.

“Jika nak berubah, kena kuatkan diri dan hati kita. Nafsu songsang ni boleh datang pada bila-bila masa biarpun dah berhijrah. Memang ketagihan susah nak buang hingga kadang kita jadi tak tentu hala, masa tu lah saya pergi surau atau masjid supaya diri kita terkawal. Itu saya lakukan.

“Memanglah nampak mak nyah cantik happy saja, tapi dalam hati kosong kalau masih ada naluri songsang itu, walaupun mereka menafikan. Tapi bagi saya, mak nyah dapat sentuhan ALLAH, akan sentiasa rasa bersalah. Apa pun untuk berubah perlu sangat kembali pada-NYA,” katanya.

Menurutnya, dek berkat doa tanpa jemu ibunya Zahariah Md Baki, 78, juga membantunya berubah dan percaya untuk menarik golongan LGBT kembali ke pangkal jalan perlukan banyak kesabaran.

Cikgu Ery berkata, sebenarnya apa berlaku juga bermula dari rumah dengan guru pertama sepatutnya ibu bapa yang meluangkan masa dengan anak-anak.

“Kenyataannya cantik (mak nyah) yang dikagumi itu bukan kerana satu hormon saja. Mereka sebenarnya bergantung pada pembedahan demi pembedahan, pelbagai jenis vitamin luar negara untuk cantik. Jangan ingat semata sebab produk mereka.

“Saya dulu lagi tegar, kita faham sangat. Mereka pun pandai buat tular. Jangan mudah percaya rupa luaran. Macam saya sendiri, bila dah peringkat umur macam ni baru nampak kesannya,” kata aktivis sosial yang kini berusia 41 tahun ini.

Menceritakan pengalamannya, menurutnya dia pernah berdepan hampir 20 rakan mak nyah dan gay yang meninggal dunia akibat HIV.

Katanya, ada kes penggunaan kondom pun tak dapat menangkis virus tersebut, justeru menyarankan apa terbaik kembali kepada agama.

“Saya dulu bukan saja terjebak dunia songsang, tetapi penyalahgunaan dadah, estacy, ganja dan syabu, hingga pernah murtad. Padah bila terjebak LGBT memang boleh menjebakkan kita dalam kancah lain. Dunia mak nyah ini tarik semua benda tak elok datang melekat.

“Kita hanya nampak mak nyah saja, tapi tak nampak golongan gay, lesbian sebab  luaran nampak normal. Apa pun didikan terbaik dari rumah. Luangkan masa dengan anak, tengok hubungannya dengan kawan, cegah sebelum parah, jangan sudah terhantuk baru tengadah,” katanya.

 

Tetap dikecam

Bukan hanya sebelum, malah Cikgu Ery mengakui situasinya sama selepas penghijrahan dirinya sebagai bekas mak nyah tetap jadi bahan kecaman netizen.

Menurutnya, dia faham apabila ramai mak nyah masih berpegang agama, tetapi tiada kekuatan kerana tiada penyokong.

Katanya, pada peringkat awal dia berubah juga belum banyak NGO dan usrah menumpukan golongan mak nyah.

Syukur dapat mengasaskan pertubuhan berkaitan, menurutnya kini bilangan NGO seumpamanya telah bertambah.

“Ramai tanya saya macam mana boleh berubah. Memang dulu rasa seronok sebab dah ambil hormon, kita tak peduli apa orang nak kata. Tapi, lepas tu saya rasa hidup tak berguna. Banyak musibah dan kesedihan daripada kegembiraan sebenarnya.

“Tak dapat dilupakan, bila pengalaman twist saya kepada murtad. Sedangkan masa kecil ibu bapa ajar agama. Ini semua bila terjebak dadah, kita punya pendirian tu jadi goyah,” cerita anak bongsu daripada lapan beradik, berasal dari Chemor, Perak ini.

Cikgu Ery kini lebih gemar menghabiskan masa lapang dengan bertadarus al-Quran berkata, hasratnya kini untuk kembali berkhidmat di kampung halamannya di Ipoh, dalam masa sama dapat menjaga ibu tersayang.

Bekas penuntut bidang pengurusan hotel di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Maktab Perguruan Tuanku Bainun (sekarang institut MPTB) ini berharap masyarakat lebih prihatin dengan fenomena LGBT agar tidak lebih serius.

“Saya masih lagi dalam tempoh belajar, bukan kata dah jadi lelaki cukuplah,” katanya yang berpesan harus menuntut ilmu hingga sebelum ke liang lahad. -AG