HUTAN di Gua Musang Kelantan mungkin kelihatan biasa bagi kita, tetapi bagi masyarakat Orang Asli Temiar, ia lebih dari sekadar rumah.

Di situlah tempat tersimpannya khazanah, tradisi dan warisan peninggalan nenek moyang mereka. Melihat hutan yang semakin di ambang kemusnahan, mereka bangkit berjuang demi memelihara serta menjaga flora dan fauna walaupun berdepan pelbagai rintangan dan halangan.

Bermula awal tahun lepas, pelbagai laporan media telah dibuat berhubung bantahan masyarakat Orang Asli terhadap aktiviti pembalakan, perlombongan dan perladangan yang berlaku di situ.

Sehubungan itu, bagi membantu mereka yang teraniaya, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia ditubuhkan bagi menjadi suara kepada alam di samping berusaha menghalang kemusnahan sumber dan mempertahan hak alam sekitar daripada disalah guna mereka yang tidak bertanggungjawab.

Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil menyifatkan, 'hak alam' Orang Asli Temiar juga antara golongan masyarakat yang harus dibela.  

"Mereka juga rakyat Malaysia yang berpijak di atas tanah sendiri, namun kebun dan ladang dimusnahkan, hutan rimba warisan nenek moyang mereka ditarah bagi menjalankan projek perladangan. Malah, sungai yang menjadi sumber minuman mereka juga tercemar akibat aktiviti pembalakan.

"Justeru, bagi membantu dan membiayai bekalan-bekalan penting seperti makanan dan ubatan di samping menghalang kemusnahan hutan Gua Musang, Peka menganjurkan sebuah pameran seni bermula dari 23 hingga 29 April 2018 di Galeri Beli-Belah Publika, Kuala Lumpur bermula jam 10.30 pagi," katanya.  

Difahamkan, simbol sekatan yang dibina menggunakan lebih daripada 100 blok dan mempunyai rekaan seni melambangkan sokongan terhadap sekatan diharap menjadi titik tumpuan pada pameran tersebut yang berlangsung di aras ‘concourse’ Publika itu.

Shariffa Sabrina berkata, sejajar dengan pameran BlocksToBlock ini, sekatan dijalankan diharap dapat menjadi jalan penyelesaian damai antara Orang Asli dengan pembalak.

"Hal ini kerana, sejak 2012 lagi, sekatan mereka bina dalam usaha menghalang kemusnahan hutan sering dirobohkan semula.

"Jadi, mari kita bersama-sama Orang Asli Temiar mempertahankan hutan rimba dan komuniti mereka dari kemusnahan," katanya.

 

Peka pertahan hak

Peka Malaysia ditubuhkan untuk menghentikan pemusnahan sumber semula jadi, mempertahankan hak persekitaran dan menjadi suara alam. NGO ini bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai alam semula jadi, kesihatan baik, pemeliharaan dan penjagaan sumber alam sekitar.

Peka bermaksud sensitif dalam bahasa Melayu dan sesuai dengan pengkhususan yang menjadi penekanannya.

Peka Malaysia berhasrat bersama masyarakat untuk melindungi hutan Malaysia dan bekerjasama dengan sukarelawan serta penaja untuk melindungi sumber ekologi dan budaya hutan negara.

Usaha ini dijalankan Peka melalui derma tanah, sumbangan kewangan, tajaan pokok, sukarelawan dan mendapatkan sokongan undang-undang.

Semua ini diharap membantu Peka mencapai matlamat pemuliharaan dan pemeliharaan hutan negara. Pada masa yang sama, penanaman kembali hutan yang hilang sangat diberikan penekanan kerana 'kehilangannya' lebih cepat berbanding pertumbuhannya.

Untuk informasi lanjut #BlocksToBlock sila lawati https://www.facebook.com/BlocksToBlock dan http://pekamalaysia.org/v2/

 

INFO PEKA:

Misi - Menjadi kuasa untuk memastikan perlindungan dan pemuliharaan alam semula jadi kita.

Visi - Memberi masyarakat Malaysia menikmati dan mengekalkan persekitaran semula jadi yang bersih dan sihat bagi generasi sekarang dan akan datang.

Moto - Lihat Alam, Lihat Kehidupan