BERKESEMPATAN bertemu figura cantik ini, beliau bukan calang-calang orangnya. Berperwatakan lemah lembut, namun siapa sangka di sebalik kelembutan, beliau merupakan 'wanita besi' yang telah membantu ramai mereka memerlukan di luar sana.

Bergiat aktif dalam bidang NGO selama 17 tahun, wanita cekal, tegas, adil, amanah dan berani ini bijak dalam menghadapi pelbagai cabaran dan situasi untuk menangani pelbagai isu sosial dan kemasyarakatan.

Itulah Pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi Malaysia), Datuk Norashikin Abd Ghani.

Pernah berkhidmat sebagai Ketua Ahli Majlis Negeri, Ketua Biro Aduan Awam, Ketua Penerangan dan juga menyandang gelaran Kak Long Bagi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan selama lebih 10 Tahun, beliau menerima Anugerah Ibunda Srikandi Malaysia disempurnakan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Selain penglibatan aktif dalam aktiviti amal dan kebajikan, beliau turut menjayakan dan bersama-sama NGO lain dalam program kemasyarakatan. Ada cerita menarik sebalik penglibatannya dalam NGO.

"Pada tahun 2000, bila saya mengenali seseorang ni, rasa jiwa saya terletak di situ... inilah yang saya nak. Hamba ALLAH ini buka mata pada saya berkenaan NGO Melayu Islam. Di situlah saya mengenali pertubuhan agak besar waktu itu dan jadi ahlinya.  

"Setelah jadi ahli hampir 13 tahun, saya dengan pengasas bersama Srikandi Malaysia, Norkhairunnisa Mohammad Tahir berbincang, rasa kenapa tak tubuhkan kumpulan yang menaikkan wanita, supaya peranan wanita untuk bergerak lebih luas," ceritanya.

Norashikin akhirnya berjaya melancarkan Srikandi Malaysia ditubuhkan 19 Mac 2012, yang disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebaik ditubuhkan, pelbagai aktiviti dijalankannya dengan program setiap bulan.

"Dalam setahun dua ke tiga acara besar melibatkan Tuanku Sultan Pahang atau Penasihat kami, Datuk Ahmad Mazlan. Selebihnya program rutin seperti jelajah kampung, uruskan anak yatim dan fakir.

"Mulanya hanya 100 anak yatim susah kita dapat. Sekarang sudah hampir 600 anak yatim dibantu di bawah Srikandi Malaysia. Kita adakan acara tahunan untuk mereka.  

"Kaedah kami cari orang betul-betul susah ini dengan hasil turun padang hingga pedalaman dan dari pintu ke pintu," katanya.

Sudah sinonim

Menariknya kehadiran Srikandi Malaysia di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur sudah sinonim di situ sejak enam tahun lalu, terutama dalam memberi sumbangan, termasuk bantuan persekolahan kepada anak-anak fakir miskin hingga kini.

Percaya mereka di rumah kebajikan biasanya dibantu kerajaan, pihaknya lebih banyak menumpukan kepada golongan anak yatim dan anak miskin yang tidak dibantu.

"Yang tak dibantu inilah jadi fokus kami. Pernah semasa tahun-tahun awal program Srikandi misalnya di Rawang, ada rumah anak yatim yang betul-betul susah, hingga sekeping roti pun sampai dipotong empat untuk makan.

"Bila kita hantar barangan makanan seperti telur pun terpaksa dikira untuk berapa hari makan, pakaian dan duit belanja pun tak ada. Itu antara kes awal dikendalikan yang menyentuh hati saya. Selepas itu kita hanya tumpukan kes macam ni, termasuk juga rumah-rumah tahfiz," katanya.

Walau sering digelar wanita besi, Norashikin mengakui, bila melihat keadaan golongan memerlukan, hatinya sangat sayu.   

Baru-baru ini Srikandi Malaysia ke sebuah pusat tahfiz daif di Klang, Selangor yang sangat uzur keadaan di dalam dan luarnya dengan ruang sama digunakan untuk solat, makan dan belajar.

Ahli Srikandi tidak kekok bantu mencuci semasa program amal di rumah tahfiz.

"Bila pertama kali kami turun satu bas di situ, bohong kalau kata tak nangis. Kami berjaya carikan syarikat besar untuk bagi sumbangan di situ. Kita bawa pihak syarikat itu datang dan bincang, alhamdulillah syarikat tu bantu baik pulih rumah tahfiz tersebut.

"Kita buat piping, bagi tilam, betulkan dapur, pasang karpet surau baru. Syukur!," kongsinya.

Jom kumpul amal jariah!

"Saya tak mampu 'mengkayakan' ahli Srikandi Malaysia, yang saya mampu mungkin kayakan ahli Srikandi dengan amal pahala jariah. Nak ikut saya... jom!."

Itu kata Norashikin yang menyifatkan wang boleh dicari pihaknya kerana pasti masih ramai pihak dan rakyat Malaysia prihatin menyumbang.

Bersyukur jalan dilalui Srikandi Malaysia dipermudahkan ALLAH, beliau percaya ia kerana program dijalankan Srikandi bukanlah 'syok sendiri', sebaliknya melibatkan orang kenamaan dan pihak berkenaan yang memerlukan.

"Orang nampak kita buat kerja. Sebab itu ramai cuba 'usik' saya, sebab rasa tergugat kerana saya perempuan. Mereka rasa tak boleh buat macam mana saya buat.

"Sebenarnya, sepatutnya apa sahaja kita nak lakukan, kena usaha. Kami pun mula dari bawah. Kita belajar dari bawah. Tak main cantas-cantas orang," katanya yang turut dibantu pasukan Unit Khas Srikandi yang dianggotai ahli lelaki diketuai ,Tuan Zaeree Eddrasha Ahmad, 40, yang juga suaminya.               

Percaya kuantiti ahli dalam NGO bukan bandingan, sebaliknya perlunya kualiti, Norashikin percaya ia penting kerana apa dilakukan adalah kerja amal.

Justeru, beliau sering mengingatkan ahli Srikandi seluruh Malaysia berjumlah lebih 1,000 orang setakat ini bahawa kerja-kerja dilakukan adalah untuk mengumpulkan pahala amal jariah.

"Melalui Srikandi, saya juga nak ketengahkan wanita ini ada jasa dan penggunaannya, kerana orang nampak wanita ni hanya masak kat dapur. Saya rasa tak boleh, ini tak betul!  Saya selalu berdebat dengan orang yang kata orang perempuan ni tak boleh buat apa.

"Sedangkan ada ramai srikandi agung yang berjasa pada Rasulullah," katanya.

Mengimbau peranan awal Srikandi, wanita berasal dari Kuala Lumpur ini turut berkongsi, NGOnya pada peringkat awal dikenali kerana banyak membantu peniaga kecil bermasalah terutama di ibu negara.

Susulan itu, sehingga kini Srikandi banyak berhubung rapat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan membantu di belakang tadbir terutama membela nasib peniaga kecil tertindas.

Hampir diculik

Berkongsi cabarannya mengendalikan sebuah NGO besar, Norashikin berkata, beliau pernah hampir diculik ketika awal penubuhan Srikandi. Percaya motifnya untuk menggagalkan pelancaran Srikandi, beliau lebih berhati-hati selepas itu.

Pernah juga ada menyamar dan pihak tertentu menggunakan namanya demi kepentingan sendiri. Itu antara perlu dihadapinya, namun ia tidak mematahkan semangatnya.  Selain itu, walaupun sering bersama pemimpin, namun Norashikin menolak campur tangan Srikandi dengan pihak berkepentingan politik.

"Wanita dalam NGO Islam memang tak ramai yang lantang. Sebab saya lantang bersuara... contoh isu paling besar pasal Chow Kit, sejak kita bantu saja sampai hari ni 24 kedai di situ dah dilesenkan.

"Sejak tu ramai minta kita bantu. Kes ahlong, kita ambil pengalaman ni masa dalam Pekeda. Ketika tu, perempuan tak ramai, jadi kita dah biasa buat kerja hard core. Bila ada kes, kita ambil. Jadi kita dapat pengalaman di situlah," katanya.

Menurutnya, sebelum penubuhan NGO nya belum ada yang mengguna pakai nama 'Srikandi', kini sebaliknya, terlalu banyak NGO menggunakan nama tersebut.

Norashikin kesal apabila ada 'Srikandi lain' bermasalah, namun tumpuan diberikan kepada pihaknya, menyebabkannya terpaksa mengambil langkah dan membuat penafian berkaitan.

"Setakat ini dah dekat 17 tahun saya dalam NGO, sebab saya junjung al-Quran... saya nak berkat, saya nak pahala. Saya mungkin banyak yang kurang, jadi apa saya buat ni saya nak berkat.

"Satu lagi harapan saya belum tercapai, saya nak himpunkan wanita untuk keluar. Ramai masih takut bersuara, mencari rezeki, seperti sebahagian ibu tunggal. Misalnya jika bercerai, bukan bererti hidup kita dah mati," kata wanita berusia 50 tahun ini.

Sibuk menguruskan Srikandi dan kegiatan harian, ibu kepada tiga anak berusia 27, 23 dan 19 tahun ini mengakui kesibukannya menyebabkannya jarang dapat bertemu anak sendiri.

Bagi Norashikin yang pernah berpengalaman 13 tahun menyanyi live band dan berlakon drama ini, kebanyakan masanya banyak dihabiskan dengan masyarakat, namun bersyukur suaminya tidak jemu membantu dan anak-anaknya turut menyokong usaha dilakukan.