MENGENALI orang terdekatnya pernah menempuh zaman membesar tidak seperti kanak-kanak biasa, menimbulkan rasa syahdu dalam dirinya.  

Apalagi mengetahui pengalaman individu berkenaan sejak kecil didera jiwa raga, malah terpaksa belajar mengisi perut sendiri sedari usia setahun jangung, disebabkan ibu bapa yang kurang ilmu.

Sedangkan keluarga komponen penting  pembentukan masyarakat dan negara.

Itu antara rentetan, Nazilah Idris fokus menjalankan kerja-kerja kebajikan membantu golongan anak-anak memerlukan dan prihatin isu aduan masyarakat, melalui medium dua NGOnya.

Selain Pengerusi Rumah Penyayang Ulin Nuha, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Naga, Shah Alam ini juga adalah Pengerusi Pertubuhan Aduan Masyarakat dan Pengguna Selangor (Pamps).     

Melihat latar belakangnya terlibat Ulin Nuha setahun lalu, dia sebelum itu sudah masuk tahun kedua mewujudkan Pamps yang objektifnya menjadi platform masyarakat berhubung dengan agensi kerajaan dan menerima aduan setempat.

"Asalnya sebab kami selalu turun padang dalam Pamps, kita dapat aduan isu dihadapi rumah amal kanak-kanak (Ulin Nuha).

"Ramadan tahun lepas, anak-anak susah dan yatim di situ terpaksa keluar dari rumah menempatkan mereka. Saya cari di mana budak-budak ini yang diletakkan sementara di homestay masa tu dan bantu selesaikan masalah di Ulin Nuha," katanya.

Menurutnya, selepas diminta pihak berkenaan, dia berbesar hati mengambil alih pengurusan rumah amal terbabit yang ketika itu menempatkan kira-kira 37 penghuni kanak-kanak.

Prihatin dengan masalah kewangan, isu tanah, dan pelbagai lagi perkara bersangkutan, Nazilah bersetuju untuk memikul tanggungjawab.

"Saya rasa terpanggil untuk bantu. Kalau tidak pada saya sampai bila-bila pun masalah rumah ini tak boleh diselesaikan.

"Bila dah pindah menyewa di sini, kita dalam peringkat akhir dapat kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Insya-ALLAH bulan ni dapat," katanya ketika ditemui di rumah sewa Ulin Nuha di Taman Sentosa, Desa Bayumas, Klang.

 

Beri tumpuan

'Sejarahnya' biarpun sebelumnya di bawah Persatuan Pengundi Melayu Berdaftar Malaysia, disebabkan nama 'Malaysia' dirasakan terlalu besar, Nazilah mengambil inisiatif menumpukan fokus bantuan buat masyarakat di Selangor terlebih dahulu, menyebabkannya menubuhkan Pamps.  

"Biasanya telefon dan Facebook (FB) saya jadi hotline. Masyarakat juga guna medium panggilan, private massage (PM) di FB dan e-mail untuk aduan rasmi pada Pamps.

"Syukur dengan basic 10 sukarela saja, kita aktif bergerak. Untuk tenaga kerja ramai kita dah ada tim di banyak daerah," katanya.  

Mengulas aduan diterima Pamps, Nazilah berkata, kebanyakan pelbagai kes berkait agensi-agensi tertentu, sebelum pihaknya menyalurkannya kepada pihak terbabit.

"Kebiasaannya mereka mendengar aduan dan saranan disalurkan NGO. Kes orang susah pula kita panjangkan kepada JKM dan zakat.  

"So far, Pamps juga banyak terima aduan  gangguan warga asing dan isu babitkan mereka. Antara tak dapat dilupakan kes orang kita hingga hilang nyawa dibunuh warga asing masa rebut tempat berniaga di Pasar Sri Muda. Saya ikuti kes ini hinggalah mangsa dikebumikan. Tak tidur dua hari dua malam, pergi balai polis, ulang alik hospital hinggalah urusan kes selesai," katanya.   

Justeru katanya, dia amat berharap dalam kes warga asing ini supaya pihak berkuasa membuat serbuan berkala, bukan hanya berdasarkan setelah menerima aduan masyarakat supaya golongan tersebut tidak bermaharajalela dan bertindak sewenang-wenangnya.

 

Prihatin nasib insan malang

Percaya medium badan bukan kerajaan mampu sedikit sebanyak membantu permasalahan masyarakat, kes rumah kebajikan Ulim Nuha turut dibantu hasil gabungan tiga NGO, iaitu Serikandi Usahawan Selangor, NGO G2, selain Pamps.

Biarpun baharu setahun 'mengemudi', Nazilah, 46, berkata, antara berjaya dilakukannya ialah menyelesaikan enam ke tujuh kes kanak-kanak di Ulin Nuha.

Jika sebelum ini ada anak di situ tidak bersekolah disebabkan bukan warga negara, ada pula tiada dokumen, dokumen tidak lengkap dan pelbagai lagi.

Bagi yang langsung tiada dokumen dan tidak dapat ke sekolah kebangsaan, dia menempatkan mereka di sekolah tahfiz daripada langsung tidak bersekolah hanya disebabkan masalah terbabit.

"Cuma sekolah tahfiz perlu bayar tiap-tiap bulan. Buat masa ini alhamdulillah setiap bulan ada yang sentiasa memberi walaupun tak banyak. Kita dah selamat sebab syarikat Spanco dah jadikan Ulin Nuha anak angkat. Setiap bulan Spanco salurkan RM10k. Jadi tak rasa risau sangat.

"Tapi RM10k tu pun tak cukup sebenarnya. RM500k diberi Spanco hingga 50 bulan. Lepas tu tak tahu lagi. Tapi kita ada rancangan akan datang, bila dah dapat tanah wakaf 0.4 hektar di Jalan Kebun, setengah dari tanah tu dah buat surau," katanya.

Menurutnya, selepas mendapat kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihaknya akan melancarkan tabung pembinaan bangunan Ulin Nuha, yang diharap mampu menempatkan 100 penghuni, berbanding rumah sewa sekarang hanya tidak lebih 25 orang kerana perlu mengikut prosedur.

Nazilah berkata, apalagi dia sendiri menerima banyak permintaan untuk menempatkan anak-anak di Ulin Nuha, namun terpaksa ditolak pihaknya disebabkan masalah tersebut.

"Dengan keadaan isu semasa kini, ramai anak terbiar. Jadi kita nak bantu sedikit sebanyak. Saya belum bergerak cari budak-budak lagi kerana nak fokus bina bangunan. Bila selesai nanti baru kita mula cari penghuni baharu.

"Sebenarnya, Sinar Karangkraf pun banyak membantu. Selepas keluar surat khabar, masa isu Ulin Nuha di rumah lama, baru datang sumbangan," katanya.

 

Mahu bersara awal

Mahu memberikan fokus terhadap kerja-kerja kebajikan sedang dilakukannya kini, Nazilah tekad mahu bersara awal dalam masa terdekat tahun ini.

Harapannya supaya dapat menjalankan usaha kebajikan ini selama mampu selagi badan sihat, malah sering berdoa mendapat keupayaan dan berhubung dengan sumber ada untuk membantu lebih ramai memerlukan.

"Sebab itu kalau ada banyak connection lebih bagus. Setengah orang mungkin fikirkan keuntungan, tapi saya tak fikirkan sangat. Tak ada keuntungan pun, tapi rasa puas bila tolong orang. Sukarela pun kerja juga tapi tak berbaloi lah dengan gaji.

"Cuma kita harap pahala akhirat sebab suka, seronok dan puas, jadi kita tak pertikaikan pasal wang ringgit. Saya sendiri tak ada pendapatan pun dari kerja amal ini. Cuma saya mencari dana dan salurkan," katanya yang mahu menjalankan perniagaan sendiri selepas bersara.  

Dalam pada itu, Exco Yayasan Amal Makruf Malaysia ini juga mengalu-alukan sumbangan selepas mendapat kelulusan JKM untuk mendirikan bangunan Ulin Nuha di Jalan Kebun.

Nazilah juga membuka peluang terutama buat anak muda yang berminat menjadi sukarelawan kebajikan untuk masyarakat di bawah Pamps.

"Kita nak wujudkan skuad amal Pamps. Dalam satu daerah 10 skuad. Jadi sesiapa saja terutama orang muda yang free dan suka buat kerja amal digalakkan untuk sertai kita.

"Jika berminat boleh berhubung di FB Pertubuhan Aduan Masyarakat dan Pengguna Selangor Pamps," kata ibu kepada empat anak berasal dari Chenor, Maran, Pahang ini.  

Menurutnya, dalam masa terdekat pihaknya bercadang melaksanakan dua program, iaitu Jejak Anak Syurga dan Geng Cuci Surau 2018. Jejak Anak Syurga fokus memberi bantuan, sekiranya terdapat masalah berdaftar dengan JKM.

Nazilah berkata, ini disebabkan sering kali anak yatim digunakan untuk keuntungan dan kepentingan peribadi.

"Sebab Pamps pun baru dapat kelulusan MOF untuk pengecualian cukai pada syarikat yang menaja atau menyumbang program kebajikan kami.

"Jadi kita alukan sebarang sumbangan daripada individu atau korporat," katanya. -AG