PELBAGAI inisiatif diambil pihak prihatin bagi menggalakkan masyarakat khususnya golongan muda untuk mengunjungi masjid yang merupakan lokasi bagi menjadi nadi penggerak aktiviti setempat umat Islam.

Pihak Khidmat Komuniti Pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec), Shah Alam, Selangor turut berbesar hati untuk mengadakan program berkaitan bertempat di Masjid Al-Bakri, Seksyen 32. Bukit Naga, Shah Alam, Selangor.

Seramai 39 penuntut baharu sesi 1/2018 dan tiga pegawai iaitu Khairul Halmi Hassan Basri,  Norakmal Maamor dan Norhaida Mohamad Sani telah menjalankan aktiviti khidmat komuniti ini bersama pihak jawatankuasa masjid terlibat.

Khairul Halmi berkata, program khidmat bakti terbabit menjurus kepada kerja-kerja pembersihan di dalam masjid dan kawasan luar rumah ibadat berkenaan.

"Program sebegini diadakan bagi membina semangat kekitaan  antara penuntut institut dan institusi masjid di samping menanam semangat cintakan masjid kalangan belia.

"Selain itu, penuntut juga didedahkan dengan peranan dan fungsi masjid yang bukan sahaja sebagai tempat kerohanian semata-mata, malah pelbagai aktiviti riadah dan kursus dilaksanakan oleh pihak masjid kepada komuniti setempat," katanya.

Menurutnya, aktiviti ini secara tidak langsung menggalakkan para penuntut untuk sentiasa mengunjungi masjid dan menjadinya sebagai central point kepada masyarakat setempat.