ASALNYA dia hanya memasang niat, jika memperoleh sesuatu pencapaian dalam perniagaan, dia akan membuat lebih lagi kebajikan untuk membantu mereka yang memerlukan.

Takdirnya mendapat kontrak dan pulangan seperti dihajati, menyebabkan wanita ini kemudiannya menunaikan hasratnya itu iaitu untuk membuka sebuah rumah kebajikan.

Sejak lebih lapan tahun lalu, Roslida Che Wail mengasaskan rumah Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Nur Qaseh Malaysia (Nur Qaseh) di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Rumah yang diwujudkan bukan sahaja menempatkan anak yatim dan fakir miskin, tetapi juga membantu golongan ibu tunggal dan mualaf secara serentak.

“Jika ikutkan kuota ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kita hanya boleh menempatkan maksimum 25 penghuni di rumah ini, tapi yang berdaftar setakat ini dengan kita lebih 100 orang untuk dibantu.

“Jadi, yang tidak tinggal di sini selebihnya berada dengan keluarga atau waris di luar, di mana kita bantu kalau ada program, kita bawa mereka untuk sertai sama,” katanya kepada Cakna Sinar.

Menurutnya, penghuni Nur Qaseh setakat ini kebanyakannya tinggal di sekitar Lembah Klang dan ada juga dari negeri-negeri lain di semenanjung.

Menariknya, Nur Qaseh tetap mengambil tanggungjawab memberikan bantuan kepada anak-anak yatim dan asnaf melebihi usia 18 tahun yang mendapat peluang menyambung pengajian di universiti, iaitu seramai empat orang setakat ini.

Sebelum membuka rumah kebajikan ini lagi sebenarnya Roslida sudah bergiat aktif dalam kerja-kerja kebajikan, gemar pergi dari rumah ke rumah mereka memerlukan secara individu.

Bila mendapat berita terdapat orang susah dan memerlukan, wanita berasal dari Pulai Chondong, Machang, Kelantan dan kini tinggal di Danau Kota, ibu negara ini akan pergi melawat keluarga tersebut bersama adik-beradiknya.

Tidak lupa keperluan asas hasil dikumpul bersama adik-beradik, dibawa sama untuk diberikan kepada keluarga memerlukan.

 

 Ikut jejak ibu

Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, anak ketujuh dari 11 beradik sudah biasa melihat ibunya, Wan Jah Wan Othman, 76, peniaga yang terkenal dengan kedai masakan Pantai Timur di Pulai Chondong yang juga suka membantu orang memerlukan di kampungnya.

Seperti ibunya yang gemar meluangkan masa melawat orang susah, begitu juga dilakukan Roslida, dibantu adik-beradiknya yang lain.

Awalnya bekas penuntut Universiti Putera Malaysia (UPM) dalam bidang perniagaan ini bekerja dengan orang. Sambil bekerja dia berniaga, dalam dua ke tiga bulan sekali akan pergi ke China untuk mengambil barang jualan.

Kemudian mampu menguruskan perniagaan sendiri, Roslida merasakan bagi melengkapkan kehidupan, wajarlah pula membantu mereka memerlukan.

“Bila ada dah tahu kita bantu orang susah, mereka juga akan maklumkan pada kita jika terdapat kes. Kalau tak ada adik-beradik yang sempat bantu, saya panggil kawan. Biasanya sebelum adanya rumah Nur Qaseh, sumber kewangan daripada saya, yang kita bantu pun ikut kemampuan.

“Masa mula buka rumah ini kami adik-beradik saling berkongsi belikan barang rumah dan keperluan, sebab memang tak ada sumber dari mana-mana. Bila ramai dah tahu, barulah ada orang lain bantu,” katanya yang membuka rumah Nur Qaseh dengan tujuh penghuni awal ketika itu.

Menurutnya, ada kalangan mereka memerlukan ditemukan melalui pihak sekolah, orang ramai dan ada dicadangkan oleh pihak JKM.

Eratnya kasih sayang ibu kepada dua anak berusia 10 dan 20 tahun ini dapat dilihat, apabila kesemua penghuni di sini memanggilnya dengan gelaran ‘mak’, malah pada hujung minggu ada anak-anak dibawanya pulang ke rumah.

“Tapi kat sini tak ada anak tak bermoral, walaupun disebut rumah perlindungan,” terang Pengerusi Nur Qaseh berusia 48 tahun ini.

 

Cabaran cari sumbangan dana                

Mengakui bukan mudah mengendalikan rumah amal, Roslida berkata, antara cabaran utama perlu dihadapi adalah daripada segi untuk mendapatkan dana menguruskan pusat tersebut.

Apalagi mempunyai penyelia, warden dan tukang masak, pemandu luar membawa van untuk penghuni dengan kesemuanya lima orang termasuk dua penuntut praktikal membantu menguruskan rumah Nur Qaseh.

“Kita bantu bukan setakat mereka dalam rumah, tapi juga di luar, jadi kos operasi kita kurang-kurang perlu ada RM20,000 setiap bulan, untuk jelaskan sewa rumah RM1,800 sebulan, bayar staf, bil air, elektrik.

“Sumbangan untuk ibu tunggal dan asnaf bukan hanya setiap bulan, tapi kita bagi bila ada yang minta, itu pun kita hadkan juga, dalam dua kali sebulan bolehlah. Ini termasuk empat penuntut sambung pengajian di universiti yang kita tanggung.

“Dari segi sumbangan barang seperti beras memang tak putus sebab akan ada saja orang hantar, alhamdulillah bekalan sentiasa ada. Duit saja jadi sedikit kesulitan kita,” katanya.

Menurutnya, justeru pihaknya amat mengharapkan sumbangan orang ramai yang mahu menyumbang kepada penghuni Nur Qaseh dan orang luar yang dibantu.

Diminta memberi komen sikap sesetengah masyarakat takut menyumbang kepada mana-mana rumah amal kerana ada segelintir individu mengambil kesempatan menggunakan nama pertubuhan untuk mengutip dana, Roslida tidak menafikan biasa mendengar berhubung isu itu.

“Bagi saya jika nak elak persepsi ini, mereka yang nak menyumbang boleh datang ke satu-satu pertubuhan itu dan lihat sendiri aktiviti dan program dibuat.

“Orang lihat luaran rumah anak yatim banyak dana, orang sentiasa sumbang dan sebagainya, memang tapi sebenarnya bagi saya sendiri, masyarakat lebih suka beri sumbangan barangan bukan kewangan.

“Jika orang hubungi kita biasanya kita beri tahu barangan dah banyak, jika nak bantu boleh tolong bayar bil seperti sewa, air atau elektrik, kita lebih suka macam tu, tapi mereka masih lebih suka bagi barangan.

“Kadang masalahnya bila terlalu banyak seperti beras mana boleh kita simpan, jadi salah satu caranya lepas orang bagi, kita terpaksa jual balik. Masalahnya bila jual balik tak boleh sama dengan harga kedai, jadi terpaksa kurangkan kerana orang biasa tak mahu beli dengan harga kedai,” jelasnya.

 

Betulkan persepsi

Mengulas keengganan orang ramai memberi sumbangan daripada segi kewangan, dia tidak menafikan kemungkinan mereka khuatir dengan isu-isu penyelewengan, menyebabkan rumah amal dijalankan dengan betul turut terkena tempiasnya.

Harapannya kepada orang ramai masih ragu, boleh datang sendiri melihat perjalanan operasi rumah amal termasuk di Nur Qaseh sendiri termasuk usaha untuk menampung keperluan anak-anak dibantu ke universiti.

“Maknanya jika datang sendiri kita dapat lihat bagaimana sumbangan orang ramai itu dimanfaatkan sampai ke tahap macam tu (bantu pelajar universiti). Kita juga mempunyai audit dalam dan luar yang bertauliah.

“Dari segi akaun kita ada bendahari, AJK, kalau ada apa berlaku pada saya pun, kita tak risau. Cek pun ada AJK lain boleh tandatangan, boleh diteruskan. Setakat ini jika tak ada duit dan dana, saya gunakan hasil perniagaan,” katanya.

Menurutnya, paling diharapkan buat masa ini sumbangan tetap mahupun tajaan korporat susulan bentuk dana diterima setakat ini hanya sekali (one-off).

Roslida juga bersyukur sentiasa ada individu prihatin menyumbang dana, walaupun dalam jumlah sedikit dan tidak tetap.

Dia sentiasa mendapat sokongan penuh suami tersayang, Adnan Shahril Mohd Joned, 48, ini turut berharap dapat meneruskan kerja kebajikan selagi terdaya.

“Untuk tampung serba sedikit belanja rumah Nur Qaseh, baru dua tiga bulan ini kita mulakan perniagaan jualan dua produk Kek Buah Wan Jah dan honey stick. Kerja pembungkusan semua kami yang buat, ada kilang.

“Jika ada mahu membeli tak semestinya perlu makan untuk sendiri, mereka boleh sumbang ke rumah anak yatim dan tahfiz lain,” katanya.

Mereka berminat membantu dengan mendapatkan produk ini boleh menghubungi Roslida di talian 011-19701598 atau 019-7614992, atau maklumat lanjut di Facebook, Nur Qaseh Tmn Melawati. -AG