MAAHAD Tahfiz Imaniyyah Zahidiyyah (Matiz Selayang) tekad membantu melahirkan lebih ramai anak-anak tahfiz di negara ini dalam menghasilkan insan kamil biarpun dalam keadaan serba kekurangan.

Dibuka sejak lebih dua tahun lalu di Jalan Sukun, Tanah Gantian Sungai Kertas, Batu Caves, Selangor, kini ia beroperasi dengan menempatkan lebih daripada 35 pelajar tahfiz.

Sebahagian pelajar di situ terdiri daripada anak-anak yatim dan kurang berkemampuan, namun semangat mereka untuk bergelar pelajar tahfiz dan mendalami ilmu tidak pernah luntur, malah Matiz mendapat banyak permintaan pelajar luar untuk menyertainya.

Pembantu Maahad ini, Azman Hassan berkata, bagaimanapun terdapat kekangan pihaknya untuk menerima kemasukan pelajar baharu disebabkan ruang kondisi bangunan yang terhad buat masa ini.

"Sebab itu, kita sangat mengharapkan sumbangan daripada orang ramai untuk membaik pulih bangunan, dan tambah asrama di sini. Apalagi kami sudah dapat lampu hijau pihak Surau Al-Falah, Kg Sungai Kertas, yang memberi ruang Matiz di sini.

"Kita perlukan asrama dan buat kolah mandi, sebab bangunan ada sekarang untuk 35 orang terlalu ramai. Yang tinggal di sini dalam 25 orang.

Struktur dah ada, cuma nak baik pulih bangunan yang teruk termasuk bumbung, siling, kipas, buat pendawaian dan sebagainya. Anggaran baik pulih bangunan bekas sekolah Kafa ini sekitar RM170k hingga 200k," katanya kepada Cakna Sinar.

Menurutnya, bagaimanapun buat masa ini jumlah sumbangan baru diterima hanya RM20,000 yang itu pun kadangkala terpaksa digunakan untuk perbelanjaan harian, bagi menampung keperluan.

Azman berkata, selain itu sumbangan berterusan juga diperlukan untuk membeli keperluan barangan basah, namun dalam masa sama bersyukur ramai prihatin menghulurkan barangan makanan kering.  

Difahamkan, surat permohonan bantuan itu sudah dipanjangkan kepada pihak kerajaan dan swasta, dan sekarang masih menunggu maklum balas.

"Sebelum ini kita juga ada terima sedikit dana daripada orang ramai dan bantuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan kerajaan negeri," katanya.

 

Tampung keperluan

Hanya kira-kira 40 peratus daripada keluarga pelajar maahad ini mampu menjelaskan yuran bulanan RM400 dan sebahagiannya pula hanya mampu menjelaskan separuh daripada yuran itu.

Pengasas Matiz Selayang, Mohd Zahid Ramli berkata, bagaimanapun itu tidak memadai untuk menampung membayar gaji guru dan lain-lain keperluan, menyebabkan kadangkala dia sendiri perlu mencari dana luar hasil perniagaannya sendiri.

"Keperluan bulanan kita sekitar RM12k sebulan, sedangkan kutipan biasanya hanya maksimum, RM10k. Jumlah ini jugalah kita gunakan termasuk bagi menjelaskan bil api, air dan barang dapur.

"Justeru kita mohon sumbangan derma sebanyak RM10 atau yang mampu secara berterusan kepada Matiz Selayang. Moga para penderma dimurahkan rezeki. Dari Ibnu Mas’ud, berkata, Rasulullah SAW bersabda “Hendaklah seseorang antara kamu memelihara dirinya dari api neraka, walaupun dengan memberikan sedekah sebiji kurma," katanya.

Menurutnya, sumbangan juga dialu-alukan bagi membeli sebuah van untuk memudahkan pergerakan pelajar-pelajar ke masjid dan tempat-tempat lain.  

Zahid berkata, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank: 5625 0852 1290 (Maahad Tahfiz Imaniyyah Zahidiyyah) dengan e-mail ke  zahid.matiz@gmail.com atau hubungi +6010-799 3710 bagi sebarang soalan berkaitan Matiz.