MEMBAWA transformasi ke dalam masyarakat menerusi pembangunan kepimpinan, kem berkaitan iaitu sebahagian projek Membawa Perubahan Bermakna (M.A.D.) Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) untuk 42 kanak-kanak berumur antara sembilan dan 17 tahun dari Rumah Ilham, Hulu Langat dianjurkan dengan kerjasama badan sosial, Leaderonomics.

Inisiatif ini bertujuan memperkasakan anak-anak yatim dengan pengetahuan, alat dan kemahiran diperlukan untuk mereka mencari penyelesaian yang kepada masalah dunia sebenar dan membina keyakinan diri dan belajar berdikari menerusi bimbingan mentor dan latihan kemahiran amali.

Pada awal tahun ini, F&NHB membuat penilaian menekankan konsep Kesedaran, Wawasan dan Rancangan (AVP) bagi mengenal pasti empat tahap kecekapan untuk kanak-kanak Rumah Ilham. Hasil penilaian tersebut menunjukkan kebanyakan kanak-kanak Rumah Ilham kurang keyakinan diri dan tidak mempunyai keupayaan untuk menangani isu-isu dihadapi mereka.

Kem kepimpinan ini menumpukan usaha menangani kelemahan kanak-kanak dan membantu mereka meningkatkan jati diri, berfikir secara kritikal, dan memperkasakan mereka mencungkil bakat kreatif dan berfikir di luar kelaziman.

Pengurus Hal Ehwal Korporat F&NHB, Cariessa Goh berkata, AVP adalah sebahagian rancangan tiga tahun F&NHB untuk menambah baik kefahaman perjalanan pembelajaran kanak-kanak dan menyemaikan sikap bertanggungjawab dan semangat kekitaan.

“Rancangan berlangsung dari 2018 hingga 2020 ini merupakan program pembangunan jangka panjang di mana belia perlu menimba kemahiran dan kekuatan berkaitan untuk melangkah maju dan berjaya dalam hidup.

“Masa depan negara terletak di tangan belia kita. Rugi jika kita tidak menyediakan persekitaran sesuai untuk meningkatkan bakat dan keupayaan mereka. Rancangan tiga tahun kami disusun rapi untuk membentuk perwatakan kanak-kanak Rumah Ilham dan membimbing mereka,” tambahnya semasa kem di Nur Lembah Pangsun Eco Resort itu.

Buat masa ini, inisiatif F&NHB untuk Rumah Ilham telah menarik 30 peratus penyertaan belia, dengan sasaran untuk mencapai 70 peratus penglibatan belia menjelang tahun 2020.

Semasa kem kepimpinan ini, empat fasilitator Leaderonomics membimbing kanak-kanak Rumah Ilham dalam pelbagai aktiviti meliputi keusahawanan, ketahanan, kecerdasan emosional, kemahiran komunikasi dan nilai-nilai kemasyarakatan.

 

Menyusur hutan

Pada hari terakhir kem, mereka menyusur hutan dan menikmati keindahan dan ketenangan suasana di Air Terjun Perdik, satu jam setengah perjalanan dari Eco Resort.

Peserta kem, Muhammad Roni, 17, berkata, pengalaman menyertai program ini membuka matanya kepada pentingnya kerjasama berpasukan dan menyesuaikan diri untuk berdepan rintangan hidup.

“Paling seronok Amazing Race yang memecahkan kami ke kumpulan lima orang untuk menyelesaikan teka-teki bagi bolehkan kami cari petunjuk untuk menang permainan.

"Secara keseluruhan, aktiviti di kem bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga menunjukkan kepada kami bahawa segala-galanya boleh dilakukan sekiranya kita percaya pada diri sendiri dan orang lain dan menyesuaikan diri dengan apa juga keadaan,” kata.

Peserta, Muhammad Aiman, 16, berkata, kem kepimpinan dua hari satu malam ini membantu melenyapkan perasaan malunya berdepan dengan khalayak umum daripada pelbagai latar belakang.

Menurutnya, program ini menyeronokkan kerana membina keyakinan diri dan sedar pentingnya penetapan minda kuat, dan kemahiran komunikasi berkesan.

"Selama ini saya tidak sedar bagaimana bahasa badan, terutama sekali pandangan mata, gerak isyarat dan lantunan suara kita memainkan peranan penting untuk meningkatkan tahap keyakinan kami," katanya.

Hubungan F&NHB dengan Rumah Ilham mula terjalin pada 2009 apabila ia membina perpustakaan ‘Sudut Iqra’ untuk kanak-kanak dan sejak itu ia terus menyokong Rumah Ilham dan penghuninya.

F&NHB melabur lebih RM135,000 dalam program pembangunan untuk kanak-kanak sejak 2015.