SERING berdepan kecaman netizen mempersoalkan usaha membantu ‘orang luar’ berbanding membantu masyarakat memerlukan di negara sendiri, menyebabkannya lali dengan perkara tersebut.

Bagi Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, pandangannya terhadap persoalan tersebut mudah iaitu ramai di luar sana memerlukan bantuan dan yakin ALLAH menyentuh hati hamba-NYA untuk cenderung melakukan perkara berbeza.

“Jika semua nak buat benda sama, macam mana orang lain yang juga perlukan bantuan. Alhamdulillah kita lihat ada kalangan kawan-kawan yang bantu golongan lain seperti pelarian Rohingya, golongan gelandangan dan yang lain-lain.

“Yang penting kita tanya... apa kita lakukan pada saudara-saudara kita daripada menuding jari. Siapa kita nak pertikaikan untuk siapa dan mengapa bantuan diberikan.

“Saya selalu sebutkan apa kita lakukan di dunia ini sebagai saham akhirat. Mereka mungkin dapat manfaat daripada apa kita hulurkan itu di dunia, tapi manfaat kita dapat insya-ALLAH di dunia dan akhirat. Jadi kena tetapkan niat,” katanya kepada Cakna Sinar.

Sekalipun untuk melakukan kerja kebajikan, menurutnya, masih berdepan cabaran untuk masuk ke negara di Asia Barat Daya itu.

Namun dia bersyukur sejak pertama kali menjejakkan kaki ke negara Syria pada tahun lepas, dan kali kedua Ramadan lalu, urusannya bersama tim Syria Care untuk masuk ke negara tersebut diiringi pihak negara terlibat dipermudahkan.

“Kita perlu ingat, mereka adalah negara bergolak, macam mana selamat pun, memang berisiko untuk berada di sana. Apa saja boleh terjadi, u cannot trust anyone.

“Jadi tawakal sajalah, saya reda kat mana-mana pun kita boleh mati. Yang penting kita bantu kerana ALLAH,” katanya.

 

Komponen kekuatan

Melihat latar belakangnya, dia lahir di Jitra, Kedah dan dibesarkan di Kuala Lumpur ini merupakan bekas guru tadika dan guru sekolah menengah serta pernah menjadi tutor di Universiti Malaysia (UM).

Menyifatkan dirinya bukanlah ‘terlalu bergelar wanita berkerjaya’, Siti Sakinah berkata, dia menyumbangkan tenaga bekerja sekiranya terdapat keperluan, dan memaklumkan paling lama dia bekerja di Syria Care.

“Saya selalu juga tertanya pada diri sendiri sampai bila hendak menjalankan kerja-kerja amal di Syria Care, tapi wallahualam, saya nak berhenti dah banyak kali, kita kan manusia... ada cabaran-cabaran di luar yang barangkali beri tekanan.

“Tapi saya sering berdoa apa terbaik buat saya dan saya masih di sini, malah ruang terbuka luas untuk saya terus bekerja. Terima kasih pada suami, Abd Muein Abd Rahman, 54, sebab benarkan saya bekerja, jika tidak bagaimana saya hendak melangkah jauh,” katanya.

Menurut ibu kepada lima anak dan dua cucu ini, sokongan keluarga khususnya suami dan ibu bapanyalah menjadi komponen kekuatan.

Manakan tidak, suaminya juga jalankan kerja-kerja dakwah, sebagai pendakwah bebas bersama NGO Pertubuhan Ghulam Al Dakwah, dan kini banyak menumpukan negeri Sabah dan Sarawak, dengan setiap bulan misi. 

 

Contohi semangat rakyat Syria                

Percaya apa dilaluinya sebelum ini merupakan aturan daripada-NYA, bekas penuntut Universiti Ummul Qura, Mekah ini kini mengakui betapa ALLAH Maha Mengatur dengan pengalamannya sebelum ini dimanfaatkan pada masa sekarang.

Jika pada zaman pengajian dia sering menonton cerita Syria, malah biasa dengan dialek dan lebih memahami apabila bertutur dengan masyarakat di situ.

“Pengalaman saya kerja, walaupun tak lama semua tu mengajar saya untuk melakukan kerja-kerja sekarang. Yang penting saya mempunyai tim yang sangat baik, dengan pembahagian tugas masing-masing, alhamdulillah kita berjaya setakat ni.

“Kami dah macam famili. Walaupun kita ada masa bergurau, tapi kita ada hashtag, #inibukankerjamain-main. Kalau tak buat pun tak apa sebenarnya, tapi kita nak buat. Seandainya peperangan tu tamat, mereka masih perlukan bantuan untuk bangunkan infra dan sebagainya kerana banyak dah musnah,” katanya.

Menurutnya, terkadang dia tidak menafikan terfikir bagaimana ketua di negara itu sendiri boleh melakukan penganiayaan kepada rakyat dan merosakkan negaranya sendiri, namun belum menemui jawapan.

Bagaimanapun, menurutnya, menariknya walaupun dalam keadaan bergolak, masyarakat Syria teraniaya masih tidak putus harapan untuk menjalani kehidupan seperti biasa di negara asal mereka itu.

Justeru Siti Sakinah berkata, sebagai rakyat Malaysia dan orang Islam, semangat sama perlulah ada dalam diri.

“Walaupun negara mereka semua hancur, mereka masih berharap satu hari nanti mereka akan balik. Contoh di sempadan Turki, mereka adalah komuniti dalam komuniti. Semua ada di situ, mereka pun sedang menyiapkan diri, untuk balik membangunkan negaranya.

“Mereka tidak menyerah kalah. Mereka tak putus asa,” kata anak sulung daripada empat beradik, lahir pada 6 Mei 1968 yang merupakan graduan dalam pengkhususan bidang Usuluddin Hadith & Ulum Hadith ini.

 

Galakan korban

Kata Siti Sakinah, sebagai rakyat Malaysia kita haruslah bersyukur, masih boleh hidup dalam keadaan aman dalam menjalani kehidupan harian.

Tegasnya antara tanda bersyukur, hendaklah memikirkan untuk memberi kepada orang lain terutama golongan memerlukan.

“Bila kita cerita pasal korban, jihad dan sebagainya, jika hari ini kita hanya ada RM15 misalnya, kalau cerita pasal berkorban, kita sanggup puasa dan masukkan RM15 tu ke tabung. Itu baru berkorban, jangan tunggu lebihan saja baru nak sedekah.

“Bukan paksa dan tak salah pun nak bagi lebihan. Tapi jika kita nak jadi lebih baik, yang lebihan pun masuk tabung sekali. Tunjukkan sedikit pengorbanan dengan korbankan kesenangan kita. Kalau masih rasa ragu-ragu, itu tepuk dada dan tanya iman,” katanya.

Menurutnya, Syria Care sendiri membuka peluang yang banyak untuk menyumbang seadanya, malah jika diri sendiri kurang berkemampuan, dia menyeru supaya mengajak lebih ramai rakan lain untuk memanjangkan sedekah.

Siti Sakinah berkata, pihaknya juga menyediakan platform untuk orang ramai menyumbang.    

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang bagi sokongan. Jika tiada sokongan pun kita tak boleh buat apa. Bagaimana mulia pun kerja kita nak buat, takkan berjaya tanpa bantuan rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah kerajaan Malaysia juga bantu memberikan sokongan moral, malah Syria Care juga dipantau pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kita bersih dari anasir terrorism hingga kini. Ini antara perkara penting rakyat Malaysia tahu,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Sakinah percaya, jika hidup kita untuk memberi, urusan pasti dipermudahkan ALLAH.

Tidak menafikan bukan tiada langsung berdepan cabaran, namun menurutnya apa dihadapi menguatkan jiwa untuk teruskan kerja-kerja NGO seperti dilakukannya sekarang.

“Tapi jika kita lihat orang kita bantu senyum, apa perasaan kita?

“Gembira kan... puas hati rasa penat berbaloi,” katanya yang pernah menjadi Pegawai Dokumentasi di World Assembly Muslim Youth. -AG