"ISTERI saya orang pertama yang mengajar saya erti sedekah... dia tak berkira dengan duit. Lagi kami sesak duit lagi dia keluarkan untuk kebajikan..."

Itu antara perkongsian bermakna Pengasas Skuad Jom Bantu (SJB), Mohd Said Ismail dari Simpang Lima, Parit Buntar, Perak ini mengenai usahanya terlibat aktif dengan kegiatan kebajikan sejak lebih 20 tahun lalu.  

Selain mendapat sokongan isterinya, Nor’Aini Nawawi, lelaki berusia 47 tahun ini turut dibantu anak-anaknya untuk menjalankan kerja terbabit, malah mereka juga jadi pendorong semangatnya seperti diusahakannya sekarang.

"Alhamdulillah, keluarga dan orang sekeliling saya sentiasa menyokong dengan berkongsi rezeki yang mereka ada melalui SJB.

"Rakan-rakan, jiran-jiran kampung, pelanggan kedai, rakan masjid pun selalu beri sokongan dan dorongan untuk terus bergerak dan membantu golongan asnaf memerlukan," katanya.

Sebelum tertubuhnya SJB lagi, dia lebih dikenali sebagai Abang Said ini sudah terlibat dengan sebuah kumpulan di media sosial yang selalu membuat program dengan menggunakan wang saku sendiri.

Ada juga pengalamannya terbabit dengan sebuah pertubuhan NGO pada pada tahun 2014, dan sebagai ahli jawatankuasa mereka sering terlibat menjalankan program ziarah asnaf, namun dek kekangan tertentu ia kemudian dibubarkan.

Ketika itu juga Said sudah menjadi sangat rapat dengan sebuah asrama anak-anak yatim dan miskin dibuka hujung tahun 2014 berhampiran tempat tinggalnya dan sering berkunjung ke situ.

Selalu juga dia mengambil inisiatif berkongsi pelbagai program dan aktiviti asrama tersebut di Facebook (FB). Hasilnya banyak sumbangan untuk asrama tersebut diterima dengan paparannya melalui medium tersebut.

"Waktu itu Abang Said juga selalu buat ziarah kasih secara sendiri-sendiri dan bersama rakan-rakan rapat. Hingga satu hari ada seorang kawan beri cadangan nak buat program konsep pasar percuma atau free market Parit Buntar pada Mac 2016.

"Selepas program itu ada kawan cadangkan wujudkan nama tim dan persetujuan dibuat. Maka wujudnya SJB dengan tiga admin, biarpun SJB bukan NGO, hanya komuniti sukarelawan. Dua undur diri, tinggal Abang Said admin lama yang kekal. Sekarang admin ada lima orang," katanya yang kini hanya menumpukan kerja kebajikan melalui SJB.

 

Kerjasama NGO lain

Biarpun kini tidak terlibat secara langsung atau menjadi ahli jawatankuasa dengan NGO lain, namun Said dan rakan SJB nya yang lain sering bekerjasama dengan NGO-NGO seperti untuk program free market, kembali ke sekolah, beli-belah raya, ziarah kasih asnaf, baik pulih atau membersihkan rumah dan lain-lain.

Said berkata, program konsep 'pasar percuma' oleh pihaknya lebih kepada semua golongan, iaitu program sedekah terbuka dengan sesiapa pun boleh jadi pengunjung dan penerima, manakala 'ziarah kasih' melibatkan golongan warga emas, ibu tunggal, anak yatim, keluarga susah, orang sakit dan pelajar memerlukan bantuan untuk melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

"NGO-NGO lain juga banyak bantu SJB... kami sukarelawan kecil saja. Tapi ada yang melihat, kami biasa terima maklumat asnaf diberi melalui saya atau admin-admin lain. Ada juga asnaf mesej kami mohon bantuan.

"Apa pun kami akan minta info lanjut keluarga asnaf, sebelum kami berbincang dulu sama ada perlu ziarah atau tak. Kalau setuju biasanya kami akan maklumkan dalam grup WhatsApp SJB.

"Ahli-ahli grup ini pun terdiri daripada rakan-rakan dan mereka nak ikut perkembangan SJB secara lebih dekat. Dalam grup ni ada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis, ahli-ahli NGO lain dengan pelbagai latar belakang, ada antaranya saya tak kenal pun," katanya.

Menariknya, ada juga mereka telah mengikuti perkembangan SJB melalui FB sebelum ini, turut mengajak rakan mereka yang lain ikut serta dalam aktiviti dan program ziarah serta turut menghulurkan sumbangan.

Menjadi amalannya apabila berkunjung ke rumah mereka memerlukan, kebiasaannya akan membawa sama barang-barang keperluan dapur dan sedikit kewangan mengikut kemampuan untuk disumbangkan.

"Mana-mana perlukan bantuan JKM, Abang Said terus berhubung dengan JKM. Ada juga kami bagi kerusi roda, katil, tilam, pakaian-pakaian terpakai dan bersih rumah.

"Baru ni ada kami usahakan yuran untuk anak keluarga yang dapat sambung belajar di UiTM. Dana dapat dari satu NGO lain. Kebanyakan kami bantu setakat ini, ibu tunggal ada tanggungan, anak yatim, keluarga susah dan warga emas," katanya.

 

Tersentuh hati doa asnaf

Jika diikutkan sudah beratus rumah sudah dibantunya. Ramadan lalu saja lebih 100 rumah dibantu melalui program SJB, dan tahun ini  hampir 100 rumah dibantu menerusi program SJB dengan kerjasama NGO lain. Said bagaimanapun bersyukur tidak terlalu berdepan banyak cabaran berikutan kebanyakan program dijalankan sentiasa mendapat sokongan moral dan dana daripada rakan-rakan dan orang sekeliling.

"Kalau ada pun cabaran masa mula-mula SJB masuk paper (surat khabar)... itu saja. Cabarannya lebih kepada dalam diri kita yang perlu berdepan antara dakwah dan rasa bangga diri. Tapi selalu ingat... nak buat kebaikan buat saja. ALLAH tau isi hati kita.

"Cabaran soal dana ni, selalu rakan-rakan rapat dan yang selalu follow SJB dalam FB yang beri. Kadang bila tak ada dana, pakai dana admin-admin lah... kongsi-kongsi. Ada juga bantuan datang untuk keluarga asnaf selepas ziarah kasih kami," katanya.

Berkongsi pengalaman menjalankan kerja-kerja kebajikannya, yang pahit tidak banyak dirasakan, namun menurutnya cuma pernah berdepan kesedihan hati ketika penglibatan awal apabila NGO pertama disertainya dibubarkan.

Namun manisnya, menurut Said apabila mendapat doa-doa daripada rumah diziarahinya.

"Paling tersentuh hati bila penerima sumbangan terutama wanita warga emas, angkat tangan dan terdengar bila dia baca doa, keluar air mata kita yang 'amin'kan.

"Ada juga rasa menyentuh hati bila asnaf kencing berak merata. Anak-anak tak uruskan dengan baik. Ini buat saya berazam akan jaga mak... jangan sampai macam tu. Lagi satu pelajar asalnya pandai, jadi buta kedua matanya akibat sakit saraf, keluar pintu rumah dia, Abang Said teriak (nangis) habis... tak malu dah dekat kawan-kawan," katanya.

 

Seperti keluarga

Momen paling bahagia bagi Said apabila dia menjadikan keluarga-keluarga dibantunya umpama keluarga sendiri, seperti apabila di hari raya dia turut berkunjung ke rumah mereka berkenaan.  

Ada kalangan mereka yang merupakan anak yatim diambilnya untuk dijadikan anak-anak angkatnya.

Tidak fokus pada sesuatu kawasan untuk SJB menghulurkan bantuan, namun biasanya dia dan kumpulan akan ke lokasi berdekatan dengan Parit Buntar dan bergerak atas maklumat orang ramai.

"Ketika hampir Syawal lalu, ada juga sumbangan kami beri pada keluarga asnaf di Kelantan. Sumbangan duit melalui akaun, selepas asnaf ni mohon sumbangan dan kesnya kita siasat dan dibincangkan dalam grup admin, kebetulan ada duit sikit.

"Dana juga disalurkan pada program-program NGO yang rapat dengan kita. Abang Said biasanya akan tanya pada orang nak bagi sumbangan... nak bagi pada keluarga susah, anak yatim di rumah-rumah asrama anak yatim, pasar percuma, Tabung SJB atau lain-lain. Kalau minta macam tu, saya salurkan atas niat," katanya.

Harapan bapa kepada empat anak berusia 20, 18, 16 dan 9 tahun ini moga lebih ramai prihatin pada golongan memerlukan dan bukan sekadar memberi sumbangan melalui NGO atau sukarelawan, tapi turun menziarahi sendiri.

Menurutnya, kadangkala kasih sayang dan perhatian daripada orang sekeliling lebih penting berbanding sumbangan wang atau pun barangan keperluan.

"Isu perlu diberi perhatian adalah pada keluarga-keluarga asnaf. Pada saya kerajaan perlu lebih dekat pada golongan ini melalui pemimpin-pemimpin tempatan dilantik.

"Beri tunjuk ajar, dana dan pantau mereka untuk kukuhkan ekonomi dan seterusnya menjamin pendidikan anak-anak mereka ke tahap lebih tinggi. Melalui inilah mereka dapat keluar dari kesusahan mereka hari ini," katanya.

Mohd Said berharap masyarakat juga prihatin pada jiran-jiran sekeliling yang susah dan kadang tenggelam punca untuk memohon bantuan.

Namun menurutnya, sekiranya orang sekeliling prihatin, maka lebih mudah kesusahan golongan memerlukan dipanjangkan kepada pihak terlibat seperti pemimpin tempatan, JKM dan baitulmal.

"Saya harapkan SJB sentiasa istiqamah dalam kerja kebajikan ini. Sentiasa harapkan reda ALLAH. Sukar nak jaga hati atau keikhlasan bila ingin buat kebaikan. Syukur ada admin-admin yang sehati, bersusah payah tenaga, masa dan duit ringgit walau semua bukan kaya dan penyumbang yang faham gerak kerja amal SJB.

"Moga SJB dapat dekati lebih ramai dan bantu keluarga ini seterusnya bertambah baik kehidupan mereka," kata peniaga kedai makan #NasiLemakKuningAbgSaid ini. -AG