BERDAKWAH dengan pelbagai cara, pada bila-bila masa dan di mana-mana saja mengikut kesesuaian.

Pada Hari Raya Aidiladha lalu, NGO Uswah telah mengerakkan misi dakwahnya ke negara Kemboja dan Filipina.

Di Kemboja, rombongan Uswah terdiri daripada jawatankuasanya, Najibullah Sohod, Aziz Sulaiman, Razak Daini dan Ahmad Zakir Razak, dibantu Haji Razali (penyelaras korban Malaysia-Kemboja) mengadakan ibadah korban di beberapa kampung iaitu di Kg Ceroi Andek, Kg Ceroi Matri dan Kg Chanang.

Di samping itu juga rombongan Uswah turut menziarahi sekolah An-Nikmah  (di bawah kelolaan Jabatan Mufti Kemboja), bertemu Mufti Kemboja, Al-Fadil Okhna Kamaruddin Yusof, menyantuni anak-anak yatim, memberi sumbangan kepada ibu tunggal dan fakir miskin serta kepada Kelab Guru Sekolah Agama di situ.

 

Dapatkan dana

Sementara itu, seorang wakil tunggal Uswah, Halim Redzuan telah ke Pulau Cebu, Filipina, untuk menguruskan ibadah korban di Masjid Madina di daerah Punta Village Hagnaya, Cebu.

Beliau sempat meninjau keadaan masyarakat minoriti Muslim di sana, ternyata mereka sangat memerlukan bantuan khususnya bimbingan keagamaan, pendidikan dan keperluan asas.

“Insya-ALLAH tahun depan kita akan cuba mendapatkan dana dan penglibatan peserta korban yang lebih ramai, kerana kehidupan Muslim di sini sangat daif, mereka memerlukan pertolongan kita,” kata Halim, setibanya beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu.