BELIAU berjaya mencipta kejayaan di pelbagai bidang, termasuklah pembuatan dan import eksport perniagaan barangan kulit, perabot, pakaian, barangan saintifik, jentera, haiwan ternakan dan banyak lagi.

Perniagaannya bercawangan sehingga ke London, Australia dan seluruh Indonesia dengan rangkaian perniagaannya menjana jutaan ringgit. Acap kali kisahnya tersiar di dada akhbar, majalah, corong radio dan kaca televisyen sebagai usahawan Melayu cemerlang.

Insan ini antara anak orang biasa berjaya keluar dari kepompong kemiskinan, hingga hasil usahanya beliau mampu memiliki kereta mewah, motosikal berkuasa tinggi, rumah banglo, berhektar tanah dan wang simpanan.

Jika diikutkan beliau sudah berstatus jutawan ketika itu boleh saja memilih untuk bersenang-senang menikmati pulangan dimilikinya itu setelah menghadapi jerih-perihnya mengharungi kehidupan susah sebelum ini.

Namun, apa dilakukan Dr Masjuki Mohd Musuri.... beliau memilih untuk mewakafkan keseluruhan harta miliknya, tanpa satu sen pun gaji!

Bukan sekadar harta benda, malah dirinya sendiri 'diwakafkan' untuk mengelola dan mengasaskan rumah amal asnaf, anak yatim dan pembangunan akhlak dinamakan Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP).

"Yang saya dapat kepuasan. Bagi saya jenayah, masyarakat hari ini pecah belah kerana harta dan kuasa. Kerana harta dan kuasa juga bermacam dosa berlaku.

"Dulu saya fikir kalau bersedekah kita dah boleh cuci harta. Tapi bagaimana kita pasti baki hasil pendapatan kita itu masih bersih. Jadi untuk pastikan semua tu bersih, saya nampak kita perlu wakafkan semua, sama seperti isteri nabi, Khadijah, dan sahabat-sahabat baginda yang wakaf harta benda.

"Kita hidupnya seadanya dengan orang yang mengendalikan rumah (RPWP) ini, makan pakai tempat tinggal kita kongsi semuanya. Bila dah tak ada apa, punca fitnah membawa saya kepada dosa dah jauh ditinggalkan, jadi dah tak ada modal, masa pun tak ada, nak buat dosa pun dah tak boleh," ceritanya. 

Bagi Dr Masjuki mesra dipanggil 'Ayah' kalangan warga RPWP ini, itu yang dikatakan kepuasan dan kepastian penyucian hartanya.

Baginya bila otak jadi lapang dari hanya memikirkan harta, dirinya sendiri berasa lebih sihat dan ketenangan yang menghasilkan hormon positif menjadikan tubuh kita seimbang.

"InsyaALLAH di dunia kita dah ada ketenangan itu, di sana nanti pun kita mudah. Jadi saya tak perlu kalut-kalut berasak fikir cari duit. Dah 13 tahun, alhamdulillah tak berlapar walaupun tak bergaji, masih pakai baju dan rumah yang baik.

"Sumber pendapatan sekarang, dari pulangan perniagaan yang diwakafkan. Kita pakai apa perlu, bukan pakai apa kita mahu," katanya.

Tercetus idea

Dunia hari ini penuh kerosakan akhlak, malah pelbagai isu timbul kalangan masyarakat, lantaran kasih sayang tidak lagi menjadi bahasa dunia menggusarkannya.                         

Pengalamannya sendiri sedari kecil, belajar dan berniaga, sehingga terlibat pelbagai NGO sana dan sini, membuka matanya sekalipun NGO banyak yang 'ditunggang' untuk mengejar pangkat dan harta. Justeru idea penubuhan RPWP tercetus.

Dr Masjuki sebagai pengasas utama bersama sekumpulan 20 keluarga Warga Prihatin, masing-masing berkongsi visi dan misi untuk merealisasikan usaha amal bagi kebaikan diri, keluarga dan masyarakat dengan gerak kerja lebih jelas dan teratur.

Mereka terdiri daripada pelbagai golongan, dari profesional hingga fakir miskin dan asnaf yang menjalani hidup berkeluarga di bawah naungan RPWP itu sendiri.

Rumah ini, menempatkan keluarga asnaf kalangan pengasas dan sukarelawan sepenuh masa.

Mereka bertugas menjaga pelbagai golongan seperti anak yatim, OKU, ibu tunggal, warga emas, asnaf dan pelbagai golongan rosak akhlak. Kesemua mereka disatukan di bawah satu bumbung menjadi sebuah keluarga besar.

Bangunkan potensi masyarakat

Mengendalikan dan mendirikan satu pusat penyelidikan dan pembangunan akhlak serta peradaban ummah, bukannya mudah, tapi itu sedang dilakukan Dr Masjuki, 56, sejak operasi RPWP pada 2005.

Anak yatim dan asnaf, juga keluarga rakan pendokong menjadi sampel komuniti yang mahu dijadikan generasi gemilang melalui kaedah yang terpahat dalam al-Quran dan sunnah, secara teori dan praktikal.

Sebagai langkah awal, Dr Masjuki selaku bekas usahawan dan isterinya Shakirah Abdullah, 54, yang juga bekas guru telah mewakafkan diri untuk menjadi petugas sukarela sepenuh masa.

Beliau juga mewakafkan seluruh wang simpanan dan harta keluarga mereka termasuk dua pasar mini, sebuah restoran, juga tanah seluas suku ekar serta tiga rumah di atasnya termasuk banglo kediaman peribadai beliau sendiri.

Secara gotong-royong, tiga rumah diwakafkan ini kemudiannya digabungkan dan dibangunkan menjadi tiga tingkat, Apabila premis diwakafkan masih tidak mencukupi, RPWP membeli pula satu per empat ekar tanah bersebelahan secara berkongsi-kongsi kalangan pengasasnya.

Kompleks tiga tingkat diwakafkan Dr Masjuki lalu disambung untuk menambah ruang lantai. Sebagai tambahan dana, Dr Masjuki turut mewakafkan tanah milik keluarganya di Pinggiran Putra bernilai RM500,000.

"Setiap hari kita ada buat kerja, jadi sambil role call bersama anak-anak, kita bakar semangat di situ. Sebab nabi sendiri beritahu ALLAH membolak balikkan hati kita, cabaran paling utama ialah semangat kerana nak buat kerja perlu semangat.

"Orang luar mungkin kerja tujuh ke lapan jam, kita pula kerja hampir 20 jam sehari. Tidur empat ke lima jam saja, jadi cabaran besar memang nak maintain semangat.

"Sedara mara, kawan-kawan, bertandang pun tanya mengapa pilih jalan gini. Itu sentiasa mengasak. Nak mencapai mak, bapak sedara mara reda bukan senang. Cabaran utama di situ.

"Kalau orang luar ada reward motivation, termasuk duit. Sini tak ada pangkat, duit, nama tak ada apa-apa... kerja pula banyak. Jadi  motivasinya ialah reda ALLAH, bukan duit," kongsinya.

Pinjam semangat

Sebagai pengasas utama RPWP, tentunya Dr Masjuki perlu lebih bersemangat tinggi kerana perlu meminjamkan semangatnya untuk pengasas bersamanya yang berada di RPWP tanpa gaji dan imbuhan.

Selain cabaran dari awal hingga sekarang berkaitan dana, menurutnya paling mengujinya untuk mengekalkan semangat murabbi dan anak-anak berjumlah hampir 300 orang di RPWP.

"Sebab kita ada banyak urusan. Setiap individu di sini ada tugasnya. Jika semangat perasaan dan tenaganya lemah, tentunya pelaksanaan urusan tak berapa sempurna.

"Sebab itu tiap malam kita ada syura. Dalam tulah kita boost semangat. Pagi pula kita ada role call untuk bapa-bapa co-founder," katanya yang dibantu ketujuh-tujuh anaknya dengan peranan dan pembahagian tugas masing-masing.

Melihat latar belakangnya tidak hairanlah Dr Masjuki mempunyai semangat tinggi kerana beliau telah melalui segala kesusahan hidup dalam belantara di hujung desa terpencil di Kampung Paya Besar, Segamat Johor sebagai anak peneroka hutan.

Tiada sebarang kemudahan asas seperti jalan, elektrik dan bekalan air, zaman kanak-kanaknya beliau sudah biasa berjalan kaki melebihi 20 km sehari untuk ke sekolah rendah, sendirian meredah jalan balak di celah belukar, 12 bukit dan paya, merentasi dua estet dan dua desa.

Semasa sekolah menengah, beliau berbasikal sejauh 45 km sehari, 25 km ulang alik ke sekolah menengah di bandar, dan 20 km lagi untuk ke sekolah agama di Kampung Melayu Raya. Beberapa malam dalam seminggu, berbasikal 20 km ulang-alik di gelap malam untuk menuntut ilmu persilatan di sebuah estet.

Atas segala kesusahan itu beliau berjaya mencipta kejayaannya, menjadi graduan cemerlang di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Doktor Perubatan Veterinar (DVM), seterusnya mencipta kejayaan di pelbagai bidang perniagaan.

Impiannya untuk mengembalikan Islam dalam kegemilangannya melalui perlaksanaan dan bukan sekadar ceramah-ceramah saja.

Ditanya masa hadapan anak-anaknya nanti dengan pendekatannya itu dan semua harta diwakafkan, baginya masa hadapan tidak akan ada untuk anak kita jika hari ini kita masih terus memikirkan tentang diri dan anak sendiri sahaja dan gagal berkorban untuk membangun potensi masyarakat mereka.

"ALLAH ada cara tersendiri untuk melindungi anak-anak yang bakal saya tinggalkan," katanya.

Hari ini RPWP memiliki sekolah pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan juga Institut latihan kemahirannya sendiri.

Memiliki Wakaf Enterprise bagi menjana pendapatan untuk pengurusannya, selain cabang pendidikan dan peluang kerja kepada anak-anak AIP dalam ilmu keusahawanan di pelbagai bidang seperti import kontena terpakai, barangan keperluan domestik, pusat latihan kemahiran fotografi, butik pakaian, syarikat pengembaraan dan umrah, pusat jualan perabot dan kereta terpakai, bengkel kenderaan dan lain-lain.