KEMAJUAN sesebuah negara bermula daripada penyatuan hati serta minda hebat.

Penyatuan ini akan membentuk integrasi pemikiran, pengetahuan serta tindakan mendorong ke arah terhasilnya kecemerlangan dalam bidang ekonomi, politik, sosial, teknologi dan sebagainya.

Dalam konteks Malaysia, hasrat mencapai status negara maju disegani menjelang tahun 2020 semakin hampir tercapai berdasarkan indikator kuantitatif seperti petunjuk ekonomi, kebahagiaan, kesejahteraan rakyat dan pendapatan.

Sungguhpun begitu negara masih dihambat pelbagai cabaran bagi memastikan kelestarian negara ini terus terjamin melangkaui 2020 khususnya dari aspek ekonomi, pendidikan, keselamatan, tadbir urus, kualiti diri dan masyarakat.

Pastinya kunci tercapainya aspirasi tersebut terletak pada keupayaan negara melaksanakan transformasi minda masyarakat bagi membentuk kebijaksanaan melihat, menganalisis, menilai dan bertindak ke atas sesuatu perkara dengan mata hati.

Berlandaskan kesedaran tersebut Persatuan Mata Hati Malaysia (MHM) telah ditubuhkan kira-kira enam tahun lalu dengan hasrat membantu mentransformasikan minda masyarakat ke arah kelestarian serta kesejahteraan.

Dengan terbentuknya collective wisdom ini pastinya generasi Malaysia terbina adalah terdiri daripada individu menghargai ciptaan  Pencipta, mengamalkan nilai-nilai murni serta bertanggungjawab menangani isu sejagat.

Selari dengan aspirasi tersebut MHM mempunyai keahlian daripada pelbagai profesion telah melaksanakan pelbagai program.

Antara pernah dilaksanakan adalah Eksplorasi Bandar Warisan di Taiping Perak, Kempen Kesedaran Bahaya Kebakaran dan Pembersihan Sistem Perpaipan, Misi Bantuan Banjir, Public Cleaning Squad, Siri Ceramah Kesedaran Lihatlah dengan Mata Hati, Program Kebajikan dan Motivasi.

Di arena antarabangsa pula MHM yang diwakili oleh Presidennya Datuk Ab Rahim Md Noor pernah terpilih membentangkan Pendekatan Mata Hati di “UN Conference on Volunteerism Avenue for Social Transformation” di Geneva.

Pencapaian ini penghormatan besar kepada Persatuan MHM dan Malaysia.

Luas penyampaian mesej

Dalam melebar luas penyampaian mesej, MHM bekerjasama dengan banyak universiti, politeknik, kolej tempatan,  Sekolah Tahfiz dan anak yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) dan  Madrasah Tahfiz Kahirul Kalam.

Agensi luar juga bersama MHM dalam menjalankan aktiviti seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Bersandarkan kejayaan tersebut usaha dilipat gandakan bagi memastikan tahun 2018-2019 mencatatkan lebih banyak kejayaan kepada MHM melalui pelaksanaan program khidmat masyarakat di Acheh Indonesia dan Perkampungan Orang Asli, Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya, Kesedaran Penjimatan Utiliti serta kesedaran penjagaan sungai bagi memastikan kelestarian sumber air.

Pada masa sama bagi mempromosikan kebersihan dan kelestarian alam sekitar, MHM juga ada menyediakan khidmat jualan tong kitar semula mudah alih dengan harga yang berpatutan.

Penyertaan persatuan adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.

Mereka berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut Persatuan Mata Hati Malaysia boleh berhubung terus dengan Setiausaha Persatuan iaitu Razul Ikmal Ramli melalui emel razulikmal@gmail.com.