ANTARA objektif program 'Caving for Charity' adalah untuk melahirkan bakal pemimpin yang mampu menganjurkan sesuatu program sama ada dalam skala kecil mahupun besar.

Terbaharu Caving for Charity, Youth of Happiness (YOSH) dengan kerjasama Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) turut mengadakan program ini di Gua Jebak Puyoh, Jengka, Pahang.

Disertai 76 orang termasuk 22 komiti dan fasilitator YOSH, ia diuruskan 100 peratus oleh YOSH leader terdiri daripada 12 penuntut asasi Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Kuantan, Pahang dengan bimbingan fasilitator YOSH.

Wakil Komunikasi Korporat YDKMM, Siti Nabihah Zakaria berkata, melalui pengalaman tersebut, peserta diharap dapat menganjurkan dan menguruskan lebih banyak program untuk memberi banyak manfaat kepada masyarakat setempat.

"Pihak YOSH turut mengumpul dana untuk diberikan kepada badan bukan kerajaan iaitu 'Food 4 Hunger'.

"Pemuda adalah pemimpin negara, maka sangat wajar memperkasakan tahap kepimpinan dan daya saing mereka sejak awal di alam asasi lagi," katanya pada program berkenaan.

Program bermula seawal 4.30 pagi dengan sesi pendaftaran peserta di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM Kuantan. Selesai pendaftaran, rombongan bergerak ke Gunung Senyum dan perjalanan memakan masa lebih kurang tiga jam.

Uniknya lagi, program bukan saja menitik beratkan aspek kesihatan fizikal malah turut menyelitkan unsur rohaniah dalam diri peserta.

Seawal 8.30 pagi, program bermula dengan slot Ice Breaking, disusuli dengan permainan 'Charade' bertemakan sirah nabi.

Permainan lain diketengahkan dalam slot ialah 'batu sentap' di mana permainan ini menekankan kepentingan menyebarkan kebaikan dan menghindari keburukan.

 

Masuk enam gua

Selesai modul-modul disediakan oleh komiti YOSH, para peserta mula berjalan untuk memasuki gua.

Sebanyak enam gua dijelajahi iaitu Gua Ular, Gua Mayat, Gua Sisik, Gua Kapal, Gua Terowong, dan Gua Rangkak.

Perjalanan memasuki gua pertama mengambil masa lebih kurang 50 minit, peserta turut didedahkan dengan pelbagai haiwan dan fauna terdapat di sekitar hutan oleh renjer bertugas.

Perjalanan mengambil masa empat jam melengkapkan sesi penjelajahan gua-gua tersebut dan kesemuanya kembali ke tempat berkumpul.

Jam 2.30 petang, semua peserta berkumpul menunaikan solat Zohor sebelum program berakhir dengan slot perkongsian bersama.

Dalam pada itu, Siti Nabihah menegaskan kepentingan mengajak kepada kebaikan dan menghindarkan keburukan, selain berharap peserta mempunyai kemahiran insaniah dan kebolehan memimpin dalam diri masing-masing.

Program diakhiri dengan slot penyerahan sumbangan ‘Special Iftar for Asnaf' kepada kepada Siti Nabihah sebagai wakil YDKMM dan Food for Hunger.

"Diharapkan program ini dapat menggerakkan peserta bersungguh-sungguh dalam akademik serta dapat berbakti kepada masyarakat.

"Moga melalui program ini, semangat tolong-menolong dalam masyarakat terutamanya antara umat Islam dapat dipupuk," kata Pengarah Program,Saiful Afnan Saiful Bahri.

Menurutnya, penganjuran program seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang bagi membantu melahirkan generasi belia yang produktif, berkepimpinan, sihat dan penyayang.

Peserta yang mengambil bahagian juga memberikan respons positif dan teruja dapat meneroka pelbagai jenis gua yang menguji ketahanan diri mereka, serta dapat menjalinkan hubungan persahabatan dengan kenalan-kenalan baharu.