KETIKA dalam kepala rasa berserabut dek stres menghadapi tekanan kerja, tentu biasanya kita mahu lari dari tekanan tersebut dengan mencari ketenangan fikiran dengan pergi bercuti atau melancong.

Gembira apabila dapat berbuat demikian, namun ironinya sebaik saja pulang melancong segala beban tekanan kerja kembali bersarang dalam kepala.

Telah agak banyak negara dan lokasi dikunjungi untuk mencari ketenangan tersebut, namun itulah dirasakannya setiap kali pulang dari percutian sehinggalah sekitar tiga tahun lalu dia berjumpa 'turning point' dalam hidup.

Ketika itu Siti Nurulhawa Mohd Dahiran tertarik menyertai pengasas sebuah NGO yang juga gemar melancong dalam masa sama membawa konsep kembara sambil beramal.

Dek sudah biasa mengembara bersama rakan-rakannya, apabila mendengar pengalaman pengasas Persatuan Sentuhan Kembara Malaysia (Our Touch) pergi ke Kemboja melihat keadaan di negara itu ramai susah dan mencadangkan pada grup pengembara supaya membantu, Hawa tertarik turut serta.

"Nak jadikan cerita, bila tiba di sana saya ada jumpa seorang remaja Kemboja pandai cakap Melayu sebab pernah bersekolah Malaysia. Banyak kami bercerita dan kisahnya tak dapat habiskan sekolah sebab nenek sakit dan kena balik ke Kemboja. Dia nak sambung belajar, tapi tak ada pilihan, terpaksa berkahwin sebab miskin.

"Yang sentuh jati saya bila dia kata tak boleh tentukan diri sendiri apa dia nak, termasuk dipaksa kahwin dan masa tu dah ada baby pada usia lebih kurang 17 tahun. Bila berbual dengan dia, rasa saya ada semua yang dia tak ada. Saya ada kerja, kerja saya stabil dan bagus, gaji alhamdulillah cukup. Ada kereta, tempat tinggal. Saya boleh travel mana saya nak.. boleh beli apa saya mahu.

"Bila bandingkan diri saya dan mereka, dengan pelbagai masalah lain perlu mereka hadapi, saya rasa apa dihadapi mereka lebih berat. Saya patut rasa malu sebab banyak kompelin," cerita ahli jawatankuasa Our Touch ini yang turut membantu mengumpul dana untuk disumbangkan pada warga Kemboja miskin pada kembara pertamanya ke negara itu.

Jika sebelum ini kerjayanya menuntut komitmen tinggi menyebabkannya sentiasa dalam keadaan ketegangan jiwa tika pergi dan pulang kerja, namun seakan ada sesuatu menjentik hatinya untuk melihat kehidupan dalam erti lebih jauh, selepas pulang dari kembara amal pertama itu.

Jurutera perisian dari Johor Bahru itu kini bukan hanya melancong untuk suka-suka untuk melihat masyarakat dan tempat orang, sebaliknya setiap tahun terlibat kembara amal, bukan saja di luar, malah di dalam negara.

 

Sepanjang masa

Sebelum terlibat dengan Our Touch, Hawa pernah mengembara ke New Zealand, Korea, Brunei, Thailand, Turki, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun dan hampir setiap tahun ke Indonesia.

Manakala sejak terlibat NGO itu, dia aktif dengan aktiviti kembara sambil beramal ke Australia, Jordan dan sudah tiga kali ke Lombok, Indonesia bermula 2016 kerana bekerjasama dengan NGO Yayasan Peduli Anak, di sana yang fokus membantu anak melarat dan gelandangan.

"Dalam Our Touch, nampak bila ada program baru orang nampak ada aktiviti. Sedangkan sebelum program bermula ada banyak aktiviti nak kena buat. Perlu cari dana, kalau projek besar nak logistik, cari sukarelawan.. kami bergerak sepanjang masa.

"Sebelum hujung tahun ini Our Touch nak ke Kepulauan Fiji untuk program amal buat pusat Islam. Kita ada program dengan penduduk Islam di situ. Sekarang pun dah perlu mula perancangan projek untuk projek ini," katanya.

Hawa yang mengambil keputusan berhenti kerja tahun lalu, kini menjalankan kerja sampingan sebagai jurutera perisian ketika ditemui penulis baru saja habis daripada terlibat program penghuni rumah amal di Kuala Langat, Selangor.

 

Penuhi makna kehidupan           

Seseorang mempunyai minat melancong umpama orang suka menonton cerita seram. Pada mulanya apabila cerita ditonton dirasakan tidak seberapa, mereka akan menonton lagi dan mencari cerita lebih mencabar seramnya.

Hawa menyifatkan keadaan itu  sama dengannya yang mahukan aktiviti pengembaraan lebih mencabar, tetapi bukanlah melibatkan cabaran daripada segi fizikal.

“Macam saya, pergi negara dekat -  Thailand. Nak mencabar lagi, pergi Korea, pergi New Zealand.

“Kawan saya pun kata bila nak relaks dari kerja, dia juga cari tempat travel lepaskan tekanan kerja. Bila balik memang fresh tapi tak lama, paling lama seminggu lepas itu rasa down semula. Lagi teruk, turun airport saja dah rasa perasaan tu. Akhirnya tertanya apa kita cari?,” katanya.

Justeru, menurutnya apabila mengembara di samping membuat kerja-kerja kebajikan dirasakan lebih bermakna.

Hawa berkata, meskipun membuat kerja amal kelihatan seperti menyumbang pada orang lain, sebaliknya seseorang yang memberi itu lebih banyak belajar sesuatu daripada orang lain.

“Saya pun tertanya-tanya, saya pergi travel ni  nak puaskan hati sendiri ke? “Lepas tu saya ada lihat rancangan TV bersama Wardina. Dia pun kata, benda-benda nak puaskan hati dan nafsu ini takkan habis. Misalnya orang suka nak pergi Bali.. apa best? Ok saya dah pergi Bali. Ia takkan habis di situ saja,” jelas wanita berusia 39 tahun ini.

Menurutnya, dia bersyukur kini lebih banyak badan berkonsepkan melancong sambil beramal seperti dijalankan Our Touch, selain hanya program ibadah korban di negara-negara susah pada peringkat awal.

Hawa berkata, ada juga pada waktu-waktu tertentu terdapat kumpulan penuntut universiti  turut mahu menyertai kerja kebajikan Our Touch.

 

Buka pusat kebajikan anak

Melalui Our Touch, Hawa yang tinggal di Bandar Baru Uda bukan saja sibuk menjalankan aktiviti di luar negara, tetapi juga dalam negara termasuk di pedalaman Sabah, Sarawak, dan terbaharu di negerinya sendiri di Pulau Aur, Johor.

Mendapat tahu kepulauan berkenaan yang kebanyakannya dihuni golongan nelayan, dia sudah dua kali berkunjung ke situ bagi menjalankan program kebajikan ke lokasi paling jauh dari Dataran Mersing, yang mengambil masa hampir dua jam berikutan perlu menaiki bot.

Tidak setakat itu, harapannya dapat mewujudkan lokasi kebajikan di Johor Bahru, khususnya buat anak-anak sementara menanti ibu bapa mereka pulang dari tempat kerja.

“Saya berhasrat nak buat perpustakaan mainan untuk anak-anak. Isunya anak-anak yang mak ayahnya kurang berpendidikan biasanya susah nak tumpu untuk mengajar, misalnya supaya pandai membaca.

“Seperti di tempat saya, ramai ibu ayah kerja di Singapura, jam 4 ke 5 pagi dah bergerak ke JB. Jam 10 malam baru sampai rumah. Anak balik tengah hari perlu buat kerja dan homework sendiri. Saya dulu nak cari duit lebih pergi travel jadi ajar tuisyen, biasa lihat situasi ini. Mak bapa yang ada duit boleh bayar tuisyen.

“Tapi ada juga ibu bapa biarkan dan terpulang kepada anak sama ada nak belajar atau tak belajar. Jadi hasrat saya nak buat satu pusat di JB, petang budak di situ boleh datang main, sambil belajar. Nak buat khidmat masyarakat,” katanya.

Hawa berharap dapat meneruskan kerja kebajikan dilakukan kini, malah sekiranya tidak terdaya mengembara sambil beramal, usaha terbabit diharapnya dapat diteruskan dalam negeri di tempatnya sendiri.

Bagi orang lain mempunyai cahaya mata, anak itu pasti memerlukan ibunya, hasrat wanita ini menjadi seseorang yang dapat memenuhi keperluan insan lain.

“Walaupun belum mendirikan rumah tangga, saya rasa itulah tujuan kehidupan iaitu untuk besarkan dan didik anak.

“Kalau macam saya tak ada anak, apa saya boleh buat untuk penuhi kehidupan? Tak adalah hanya untuk hidup, dapat kerja dan dapat gaji. Selagi larat, saya akan teruskan. Kalau tak terdaya jadi orang aktif berbakti, jadi follower sajalah,” kata anak keenam daripada tujuh beradik ini. - AG