BIARPUN belia sering dilabel dengan pelbagai pandangan serong masyarakat yang merasakan golongan ini terlalu 'manja' dan belum matang, dia membuktikan sebaliknya.

Memilih bergiat dalam sukarelawan, bagi penulis  bukan semua mampu melakukan kerana biasanya masing-masing sibuk menguruskan kehidupan sendiri dan memikirkan mahu membina kerjaya masa depan.

Namun dia dan ahli kumpulan mengisi ruang waktu di lorong-lorong kecil sekitar Chow Kit, di ibu negara bersama insan-insan 'bersidai' tidak dipedulikan di situ.

Sejak 2014, Koordinator Khidmat Kemanusiaan, Majlis Khuddam-ul Ahmadiyya Malaysia (MKAM), Hanif Jahari membuat program memberi makanan kepada golongan gelandangan di situ pada setiap bulan.

Ideanya sendiri bagi memulakan kegiatan ini bersama ahli kumpulan MKAM dianggotai hanya golongan pemuda (lelaki) ini timbul ketika dia berjalan di tepi sungai sekitar kawasan beli-belah berhampiran Chow Kit kira-kira lima tahun lalu.

"Ketika itu saya berjalan berseorangan sekitar laluan di bawah jambatan di Sunway Putra. Nampak anak-anak kecil berlari, tak sangka rupanya di bawah jambatan ada beberapa keluarga tinggal dan beranak-pinak di situ.

"Kebanyakannya orang kita. Rasa sedih, kesian dan terkejut pun ada kerana tak pernah terfikir ada ibu bapa bersama anak-anak kecil menghuni di situ.   

"Sempat juga tanya mereka sebab apa tinggal di situ dan saya dapat simpulkan antara punca utama kerana kos sara hidup tinggi dan mereka tak mampu, selain ada dibuang keluarga. Masa tu ada lebih kurang lima keluarga. Sekarang mereka tak lagi di situ lepas pasar raya sedang dalam pembinaan ketika itu siap," ceritanya.

Menurut pemuda berusia 26 tahun ini, seminggu selepas itu, dia bersama ahli MKAM berpakat mula mengumpul dana dan mengadakan program memberi makanan dan minuman kepada golongan tersebut.

 

Program derma darah

Bermula dengan memberi sarapan dua kali sebulan kepada kira-kira 70 'penghuni' tinggal di pesisir sungai bawah jambatan pada 2014, kini Hanif dan kumpulan memberi fokus bantuan sama di kawasan Chow Kit saja.

Tidak menafikan banyak NGO membantu di situ, katanya, masing-masing ada  kelebihan tersendiri.

"Bagus juga kadang nampak ustaz pun turun ajar dan buka kelas-kelas. Kita pula selain makanan dan minuman, sumbangan juga bertukar-tukar misalnya bulan ini selimut, bulan depan beri tuala.

"Kadang-kadang rasa takut juga lalu di lorong-lorong tambah pula kita tahu ada mat gian di situ, tapi kita niatkan yang baik-baik dan alhamdulillah buat masa ini tak ada  apa-apa berlaku, kecuali sekali pernah kena kejar dengan mereka yang ingat kita datang nak ganggu," kata Hanif yang mengetuai setiap misi memberi makanan kepada golongan gelandangan di Chow Kit oleh MKAM.

Bukan hanya itu, dia dan kumpulannya juga aktif dalam menganjurkan program-program derma darah, malah mendapat pengiktirafan Kumpulan NGO Tidak Berdaftar Paling Aktif 2017 daripada Pusat Darah Negara (PDM).  

Tidak menyangka anugerah diterima, menurutnya ia hanya bermula dengan niat untuk membantu.

"Biasanya untuk buat program derma darah ini, kami akan jumpa pengurusan di satu-satu pusat beli-belah dan kemudian hubungi PDM untuk mereka datang. Bagi galakkan orang derma darah, kami juga sediakan cabutan bertuah dan beri goodies bag.

"Sebelum ini kami buat program derma darah  dua kali dalam setahun, mulai tahun lepas kita buat pada setiap bulan. Kat Sabah pun ada grup MKAM, mereka antara paling aktif jalankan program derma darah.

"Tahun lepas kita berjaya kumpul 615 beg darah. Untuk tahun ini sasaran kita supaya dapat 1,000 beg darah, insya-ALLAH," katanya yang banyak memberikan tumpuan program derma darah di sekitar kawasan Lembah Klang terutama di Kuala Lumpur.

 

Kutip sampah pupuk kebersihan

Tidak setakat memberi makanan kepada golongan gelandangan dan aktif program derma darah, ada tugas sosial tidak sanggup kita buat, tetapi sukarelawan MKAM diketuai oleh Hanif ini dengan berbesar hati sanggup melakukannya.

Kutip sampah! Baginya ia bertujuan untuk mendidik anak bangsa lebih bertanggungjawab apalagi masih ramai orang kita di tahap pemikiran terkebelakang sedangkan negara sedang pesat menuju ke arah negara kelas pertama.  

Mengimbau kerja-kerja kesukarelawan mengutip sampah dijalankannya kira-kira 14 tahun lalu, menurutnya ia bermula apabila sering mengikut abangnya, Mohd Shahrin Jahari, 40, yang mengetuai MKAM.

"Satu malam Merdeka, abang ajak kutip sampah di dataran, saja-saja tapi ajak anak muda, masa tu saya pun kecil lagi. Sebelum 2005 dah ada sukarela sertai kami, tapi tak ramai dan tak selalu buat kutip sampah.

"Sejak 2010 kita mula kutip sampah pada setiap malam Hari Merdeka dan tahun baru. Tahun ini paling ramai terlibat kutip sampah pada malam tahun baru lalu," katanya yang tidak menafikan aktiviti itu kemudiannya mendatangkan minat kepadanya untuk terus menjalankan kerja-kerja kesukarelawan.

Bagi Hanif, apabila menjalankan kerja-kerja tersebut, dia dapat menyumbang sesuatu kepada negara, selain memupuk minat dan rasa tanggungjawab untuk menjaga kebersihan kalangan masyarakat.

Memberikan contoh, menurutnya pada malam tahun baharu sepatutnya ditanam azam baru, namun kesal pada setiap tahun sikap masyarakat terutamanya yang keluar di malam perayaan hari tersebut masih sama dan tidak berubah.

"Sedangkan sampah pun dah boleh gambarkan tamadun dan sikap anak muda. Bagi saya kebanyakan orang kita masih membuang sampah merata-rata terutama ketika berkumpul seperti pada sambutan hari tertentu, berbanding membuangnya di tempat betul.

"Sedangkan, jika kita sama-sama dapat seragamkan aktiviti dan sikap kutip sampah, mereka yang nak buang sampah tu takkan jadi. Baru terasa dan nampak pantulan tu," katanya yang memberitahu berjaya mengutip sampah dan dimuatkan dalam 100 beg plastik sampah pada malam sambutan tahun baharu awal tahun ini.

Tidak menafikan pihak berwajib sudah menyediakan tempat pembuangan sampah secukupnya pada malam sambutan itu, dengan jumlah sampah memenuhi hampir suku padang KLCC baginya sikap masyarakat kita harus terus dipupuk untuk berubah.

 

Bantuan luar negeri

Anak muda berasal dari Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor ini turut menjalankan misi di luar daerah.

"Kita ada juga buat bantuan luar pada mangsa ketika banjir teruk di Jerantut, Pahang sekitar dua tahun lalu. Kita beri keperluan seperti beras dan barang asas.

"Luar negara juga MKAM beri bantuan melalui NGO Humanity First yang memang dah lama wujud. Program antarabangsa kami, skop dan bajet besar melalui NGO ini lebih besar.

"Misalnya kita bantu menjana sumber air dari bawah tanah misalnya di negara seperti Kemboja, Afrika dan Indonesia, selain bekalkan bantuan ubat-ubatan dan lain-lain," kata bekas pelajar SMK Seri Selayang dan lulusan diploma kolej dalam bidang reka bentuk grafik ini.

Ditanya sebab utama mahu melibatkan diri dalam kesukarelawan ini, bagi Hanif yang dididik keluarganya supaya sentiasa mementingkan menjaga bab solat ini, ia kerana 'kerja' itu satu usaha murni.

Selain dapat membantu mereka dalam kesusahan dengan apa kita ada, baginya lebih banyak seseorang itu memberi, lebih banyak pulangan diperoleh, biarpun bukan dalam bentuk kewangan.

"Yang saya nampak bila memberi pada orang, kita akan dimurahkan rezeki dan boleh bagi lebih banyak lagi. Insya-ALLAH walaupun saya dan sukarela keluarkan duit sendiri, tapi rasa puas dapat buat kerja ini dan memberi pula pada orang lain.

"Ada juga cakap-cakap orang bila saya buat ni, tapi semua positif. Saya harap dapat tingkat lebih banyak kesedaran jaga persekitaran dan memupuk orang lain terutama golongan muda untuk berbuat baik," katanya yang bekerja sendiri dengan menawarkan perkhidmatan sewa lori.

Harapan anak bongsu daripada sembilan beradik ini supaya dapat meneruskan kerja-kerja sukarelawan yang sedang diusahakannya sampai bila-bila selagi tiada halangan. -AG