TERBAHARU Misi Penyembelihan Agung dikendalikan Malaysia Life Line For Syria (MLLFS) iaitu projek khas di bawah Qurban For The Needy, Global Peace Mission (GPM) Malaysia mengkhususkan kepada kebajikan dan pembangunan rakyat Syria dijalankan secara bersama wakil NGO tempatan di Turki dan Lubnan.

Sejumlah 280 ekor kambing diagihkan kepada lebih 1,200 keluarga muhajirin pelarian berada di Syria dan Lubnan.

Jumlah itu merupakan korban, akikah dan sedekah korban diniatkan dan dikirimkan oleh rakyat Malaysia kepada rakyat Syria yang kini menghadapi kesukaran hidup akibat konflik dan perang melanda di negara itu.

Penyembelihan daging korban dibuat di Syria sebelum diagihkan di kawasan kem sekitar A’zaz Syria manakala korban di Turki melibatkan dua wilayah bersempadan dengan Syria-Turki iaitu Saniurfa, Kilis dan Gaziantep.

Misi ke Turki dan Syria turut disertai Presiden GPM, Mohamad Raimi Ab Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Fahmi Samsudin.

Di Lubnan, Exco GPM, Maria Kamel melaporkan misi dilakukan bersama duta MLLFS, Fara Fauzana yang dibawa melawati kem-kem pelarian di sekitar Arsal, di sempadan Lubnan-Syria.

“Daging korban diagihkan ke kem Omm Quraa, Four Syabab dan Abrar, dan kesempatan yang ada meraikan mereka dalam jamuan makan tengah hari.

“Penyembelihan dan agihan selain meraikan mereka dalam jamuan makan malam turut dilaksanakan di Kem Ketermaya, Usamah dan Mazboud,” katanya.

Agihan turut membawa bersama sumbangan pek makanan asasi kepada keluarga Muhajirin Syria yang memerlukan.

Sumbangan berterusan sebagai keprihatinan bersama kepada rakyat Syria boleh terus dimasukkan ke  akaun Malaysian Life Line For Syria - MBB 5648 1051 3971 dan hubungi 0341443441 atau emel malaysia4syria@gmail.com .