GLOBAL Peace Mission (GPM) merupakan agensi kemanusiaan di bawah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggerakkan projek keprihatinan dan pembangunan komuniti di dalam dan luar negara di lebih 20 negara lain seperti Syria, Palestin, Kemboja, Nigeria, serta Selatan Thailand.

GPM menawarkan ruang untuk masyarakat turut serta menyokong dan menyertai projek-projek kemanusiaan digerakkannya.

Exco GPM Malaysia, Maria Kamel berkata, terbaharu sempena Aidiladha tidak lama lagi, pihaknya turut menganjurkan inisiatif Qurban For The Needy bagi masyarakat memerlukan di lebih 20 negara.

“Kita masih buka penyertaan. Sumbangan korban boleh terus dimasukkan ke dalam akaun Global Peace Mission Malaysia – MBB 5642-2161-1602.

“Makluman lanjut mengenai sumbangan ataupun pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi GPM di talian +603-414403441 ataupun boleh terus ke alamat GPM di, 33-1 & 35-1 Jalan 2A/27A, Wangsa Maju, Seksyen 1, Kuala Lumpur,” katanya.

Selain itu, baru-baru ini Ziarah Ukhuwah Fil ‘Amal atau Zulfa oleh GPM telah ke Filipina mulai 8 sehingga 11 Jun 2018 lalu fokusnya untuk membina hubungan secara langsung dengan komuniti minoriti Islam di beberapa negara termasuk Filipina.

Maria berkata, secara keseluruhan masyarakat Islam di negara tersebut terdiri daripada 9 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Filipina, di mana ziarah tersebut turut membawa sumbangan dikumpulkan menerusi inisiatif Iftar For The Needy kelolaan GPM sempena Ramadan lalu.

“Delegasi Zulfa turut disertai seramai 17 orang turut menumpukan perhatian menziarahi komuniti Muslim di beberapa bandar sekitar Kota Manila. Meskipun secara zahirnya mereka hidup serba kekurangan, namun tidak menghalang saudara kita ini beribadah.

“Keadaan ini dapat dilihat ketika delegasi memulakan ziarah ke sebuah rumah anak yatim dan asnaf Pasig City. Di balik bumbung bocor dan ruang sempit itulah anak-anak tersebut tetap gigih menadah kitab dan berazam menghafaz al-Quran,” ceritanya.

 

Gerak World #QuranHour

Bercerita lanjut program di Filipina, delegasi Zulfa ke Wilayah Pampanga di San Pedro, wilayah paling ramai didiami penduduk Islam dalam anggaran 5,000 hingga 9,000 penduduk turut menziarahi sekolah anak-anak tahfiz yang dibangunkan penduduk Muslim tempatan.

Maria berkata, di sekolah menempatkan lebih 50 anak lelaki tahfiz itu, waktu ada dimanfaatkan dengan memeriahkan World #QuranHour untuk memanjangkan inisiatif yang digerakkan Kumpulan Media Karangkraf serta Yayasan Ummah Ikhlas, sekali gus Abim dan GPM menerapkan konsep bertadabur al-Quran.

“Pada hari akhir program, rombongan Zulfa ke Kampung Wawa di Batangas City iaitu pusat bandar Wilayah Batangas yang terbesar di Pulau Lozon. Laluan sukar dan kawasan di situ dilanda hujan lebat hampir setiap hari pada Jun lalu tidak menghalang ahli-ahli rombongan Zulfa menyempurnakan program.

“Wawa sebuah kampung nelayan dihuni kira-kira 100 keluarga Islam. Walaupun tampak miskin dan daif, ia tidak memadamkan syiar Islam cuba ditegakkan komuniti Islam di sini,” katanya.

Menurutnya, hasrat penduduk di Kampung Wawa untuk membangunkan masjid baru memerlukan sokongan daripada rakyat Malaysia prihatin, justeru mengalu-alukan sumbangan yang boleh disalurkan melalui GPM Malaysia.

Dalam pada itu, berserta dengan ziarah tersebut; Maria berkata, rombongan ini turut menyampaikan amanah rakyat Malaysia dalam bentuk sumbangan untuk menyantuni mereka menjalani ibadah puasa dalam keadaan serba kekurangan.

“Terima kasih penyumbang budiman. Anda hulurkan, kami sampaikan dan usahakan program Iftar Ramadan Terbaik lalu sebagai santunan kepada masyarakat memerlukan. Semoga sumbangan ini diharap dapat membantu mereka menjalani hidup lebih baik pada masa akan datang.

“Justeru kami mengalukan lagi sumbangan masyarakat Malaysia khususnya yang berhasrat untuk menunaikan ibadah korban tidak lama lagi, dan bantuan untuk asnaf. Ini juga akan disampaikan kepada negara-negara memerlukan yang kami akan lawati,” katanya.