BADAN bukan kerajaan (NGO) Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) berharap kerajaan khususnya dan masyarakat Malaysia berusaha memartabatkan bahasa kebangsaan, malah sentiasa meningkatkan usaha menjadikan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa nasional negara.

Ketua Satu Gapena, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, ramai melahirkan pendapat agar usaha memartabatkan BM perlulah melalui sistem pendidikan, namun ia tidak dapat dilaksanakan jika usaha berkaitan dipandang remeh.

Menurutnya, BM sering kali dilabelkan sebagai ‘tidak global’, ‘tidak boleh memajukan industri’, ‘tiada kelas’ dan sebagainya, sedangkan tegasnya persepsi itu hanya dicipta pihak tertentu di negara ini sendiri.

“Misalnya kerajaan sendiri melakukan peminggiran tersebut apabila memberikan keutamaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Kita tidak menolak dan menafikan peri pentingnya bahasa Inggeris (BI) dan bahasa-bahasa lain.

“Tapi peminggiran itu sudah berlaku dan ia bukan persepsi sebenarnya. Ia dicipta sedemikian rupa dalam dasar, dan persepsi itu juga dicipta oleh media. Bila media perdana mula memperkecil, memperlekeh dan mengesampingkan bahasa Melayu dengan menggambarkan hanya dengan BI saja boleh menjadikan kita pemain global dan maju,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas FB Live Cakna Sinar, bertajuk ‘Bahasa Melayu Terpinggir: Bagaimana Acuan Begitulah Kuihnya’ di bangunan Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, apabila PPSMI diperkenalkan, BM tidak dilihat berfungsi sebagai bahasa ilmu, disusuli jawatankuasa istilah di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ‘mati’, menyebabkan pihak terbabit tidak lagi mencipta istilah-istilah baru untuk mata pelajaran tersebut hingga ke universiti, selari perkembangan bahasa mengikut situasi semasa.

Menurutnya, ia menyebabkan ramai lebih senang menggunakan bahasa Inggeris, sedangkan BM sepatutnya dijadikan lingua franca dan bahasa perpaduan bangsa Malaysia, malah di peringkat lain pula ia sebagai bahasa ilmu.

“Kita tidak menafikan bahasa lain, malah kita ada sekolah-sekolah jenis kebangsaan, sekolah antarabangsa.. gunakan BI. Tapi watak warganegara Malaysia itu mestilah dalam bahasa kebangsaannya. Kita tak menghalang penggunaan bahasa-bahasa kaum. silakan.

“Tapi persepsi dicipta, bahasa BM ini hanya layak di kampung, layak di kedai kopi yang ada orang Melayu saja. Ini gambarkan kelemahan-kelemahan bahawa ciri-ciri perpaduan itu tidak ada dalam diri kita.

“60 tahun kita dah merdeka, berubah kerajaan, kita masih terkehel-kehel nak bercakap tentang perpaduan dan meremehkan BM. Ini sesuatu yang amat pelik, mengaibkan bagi sebuah negara merdeka dan berdaulat,” katanya.

Beliau terlibat lebih 35 tahun dalam bidang akademik berharap, kerajaan baharu sekarang dapat berusaha kembali untuk memartabatkan bahasa kebangsaan negara ini.

 

Sejarah Gapena

Gapena ditubuhkan pada 23 Oktober 1970 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Penubuhan organisasi ini hasil daripada perkembangan persatuan-persatuan penulis di peringkat negeri.

Tujuan penubuhannya adalah untuk mempertahankan hanya bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Dalam masa sama matlamat Gapena adalah menyatupadukan semua rakyat negara ini menerusi Bahasa Kebangsaan tunggal iaitu bahasa Melayu; berusaha untuk memajukan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan kebangsaan di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.

Antara usaha Gapena juga adalah untuk menyatupadukan persatuan-persatuan penulis Malaysia yang bergiat dalam Bahasa Kebangsaan; mempertahankan dan memperjuangkan hak dan kepentingan penulis; memberikan sumbangan moral secara positif kepada tujuan dan cita-cita Gabungan; dan mengusahakan peluang-peluang untuk penulis-penulis memajukan bakat mereka.