SAMBUTAN Aidiladha di Mesir oleh Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia cawangan Mesir (YDKMM Mesir) berlangsung penuh makna apabila diraikan bersama anak-anak yatim dan fakir miskin di negara padang pasir itu.

Program Food For Hunger Egypt (F4H Egypt) ini berlangsung selama tiga hari.

Antara menarik dibawakan oleh YDKMM Mesir untuk sambutan raya kali ini adalah ianya diadakan di tiga lokasi berbeza dengan penyertaan sukarelawan daripada beberapa negara.

Para sukarelawan bukan sahaja mengadakan sambutan korban bersama rakyat Mesir, malah secara langsung turut menjalankan aktiviti kebajikan kepada fakir miskin dan memberi pengalaman baru kepada mahasiswa di sini apabila mereka sendiri turun padang menyampaikan sumbangan 16 ekor daging korban kepada mereka memerlukan.

Pada hari ketiga program F4H Egypt dilaksanakan iaitu hari terakhir program, telah berlangsung Majlis Jamuan F4H Egypt bertempat di Pejabat YDKMM Mesir, Seksyen 7, Madinat Nasr, Kaherah, Mesir. Majlis ini dihadiri oleh para aktivis, jawatankuasa dan sukarelawan.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Menteri Penasihat (Pendidikan), Education Malaysia Egypt (EME), Aizal Anual;  Setiausaha Kedua (Pendidikan), Ahmad Zakuan Md Khudzari; Pengarah Mara Mesir, Abdullah Samsudin dan Penolong Pengarah Pejabat Mara Mesir, Nur Zaim Mohd Nor Aldin,  bersama-sama keluarga mereka.

Selain itu, wakil daripada Persatuan Pelajar dan Mahasiswa Indonesia (PPMI) dan sukarelawan daripada Kazakhstan turut hadir menyerikan lagi majlis ini.