HALUAN Malaysia meneruskan misi bantuan kemanusiaan kepada pelarian etnik Rohingya dengan menumpukan kepada pembangunan pendidikan dan pembelajaran kepada anak-anak Rohingya di kem Balukhali, Cox’s Bazar Bangladesh.

Program pendidikan ini bermula sejak Disember 2017 dengan penubuhan sebuah sekolah dinamakan Village of Hope Educare Center.

Sekolah yang mempunyai 120 pelajar dan tujuh guru mengambil sempena Village of Hope (VOC), kawasan penempatan tersusun dibina bersama oleh NGO-NGO di bawah Sekretariat program Sinar4Rohingya serta NGO dari negara Asean dan luar negara.

VOH Educare Center ini dirasmikan oleh Presiden Haluan Malaysia Dr Abdullah Sudin Ab Rahman pada 26 Februari semasa kunjungan beliau ke Cox’s Bazar.

Beliau menyertai misi ke-6 Haluan bersama Ketua Biro Misi Kemanusiaan Haluan Malaysia, Dr Baharudin Suri, serta Penasihat Biro Kebajikan Haluan Malaysia, Mubarak Ali Mohamad Ismail, pada 25 Februari hingga 1 Mac 2018 baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Abdullah menyifatkan aspek pendidikan sangat penting dan jadi keutamaan Haluan di samping bantuan kecemasan dan kebajikan lain dalam setiap misi kemanusiaan disertai sesuai dengan moto Haluan iaitu "Berakhlak, Mendidik dan Berbakti".

Menurutnya, umum mengetahui sebelum ini masyarakat Rohingya tertinggal jauh dalam aspek pendidikan moden akibat kezaliman, sekatan dan penindasan dari kerajaan Burma.

“Mereka hanya tertumpu kepada pendidikan tradisi asas mengaji al-Quran dan hafazan sahaja tanpa pendidikan akademik. Kami menawarkan pendidikan bersepadu agar mereka boleh memanfaatkan ilmu diperoleh untuk bangunkan kehidupan di masa akan datang. 

“Pada peringkat awalnya usaha nak wujudkan sekolah ini seperti mustahil memandangkan ratusan ribu pelarian mendiami kem ini hidup dalam serba kekurangan, kelaparan dan sangat daif. Bagaimana mereka nak belajar jika perut lapar dan tiada pakaian yang sesuai?," katanya.

Namun pihak Haluan dikatakan tetap merintis usaha mewujudkan kelas ‘educare center’ ini kerana tidak sanggup melihat anak anak Rohingya terus dibelenggu dengan kebodohan dan hidup terbiar tanpa pelajaran.

 

Tambah baik projek

Sementara itu, Dr Baharudin yang juga Pengurus Projek Educare Centre berkata, melalui sumbangan diterima pihaknya berjaya menambah baik dan menyediakan pendidikan di Educare Center yang kini menempatkan kira-kira 120 anak-anak Rohingya berusia antara 7 hingga 11 tahun.

Antara projek penambahbaikan berjaya dilaksanakan kali ini ialah pemilihan mata pelajaran, buku teks, prasarana untuk pengajaran dan pembelajaran, serta latihan tenaga pengajar.

“Kelas ni mendapat sambutan sangat baik ibu bapa dan anak-anak Rohingya di sini. Dana tambahan segera diperlukan bagi menampung keperluan pembelajaran termasuklah pembinaan kelas tambahan, guru dan peralatan pembelajaran.

“Syukur kerana usaha kami ini turut mendapat kerjasama NGO lain di bawah Sekretariat Sinar4Rohingya termasuklah Yayasan Amal, Mapim dan Serantau Muslim yang bantu sumbang pakaian seragam sekolah, sediakan makanan, beri kaunseling dan motivasi serta khidmat kepakaran lain,” tambahnya lagi.

Menurutnya, pihaknya sangat menghargai sumbangan rakyat Malaysia selama ini, di mana keseluruhan sumbangan, termasuk melalui tabung Sinar4Rohingya, jumlahnya melebihi RM100,000.

Mengalu-alukan sokongan berterusan, kata Dr Baharudin memaklumkan, Haluan akan meneruskan misi bantuan kepada pelarian Rohingya di Cox’s Bazar termasuk misi khas Ramadan ini.

Mereka turut memberi bantuan kebajikan penting lain termasuk agihan hygine kit, pembinaan shelter, telaga tiub untuk bekalan air bersih, sumbangan benih sayuran dan bantuan makanan asasi.

Mereka ingin memberikan sumbangan, boleh berbuat demikian menerusi Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan Haluan, Maybank 5622 6350 2611  atau Tabung ‘Sinar Karangkraf Sdn Bhd’ (tabung Sinar4Rohingya - Solidarity for Humanity) Maybank 5030 3363 4355.