BERTUGAS di Sarawak pada tahun 1980 dengan terlibat aktiviti utama mengadakan pertunjukan pentas seperti kisah perjuangan tentera melawan komunis waktu itu, jadi titik permulaan untuknya terlibat bidang NGO.

Apalagi pertunjukan persembahannya itu mendapat banyak siaran di saluran RTM Sibu dan Kuching yang antaranya berbentuk puisi berirama, luahan rasa berbentuk sajak yang semuanya untuk membangkitkan rakyat, turut sama meningkatkan adrenalin semangat kebangsaannya.

Meneruskan pengajian penulisan kreatif di Universiti Sains Malaysia (USM) dari 1984 hingga 1986, beliau kemudian ditukarkan kerja ke  Mindef Kementerian Pertahanan.

Sebagai wartawan ATM, beliau aktif dengan Persatuan Penulis Kemudi di Selangor dengan aktiviti yang dijalankan adalah menulis cerpen, sajak dan novel serta aktiviti seni lakon, teater, silat dan seni tari, selain turut serta dalam aktiviti Majlis Belia Malaysia (MBM).

Disebabkan aktif dalam banyak pertubuhan, akhirnya Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican menubuhkan NGO Antarabangsa semasa bertugas di Wisma Putra tahun 1999, dan aktif sebagai Pengerusi/Ketua pertubuhan bukan kerajaan tersebut hingga sekarang.  

"Misi utama penubuhan NGO Antarabangsa ini akhirnya berjaya membawa ramai NGO ke Iraq pada tahun 2001, diikuti ke negara dilanda konflik seperti Somolia, Bosnia, Kosovo, Albania dan negara-negara dilanda bencana seperti Indonesia, Acheh dan Kepulauan Folres.

"Banyak lagi negara saya lawati waktu itu termasuk negara-negara Asean. Kita belajar dari konflik tersebut supaya ia tidak berlaku dalam negara kita," kata Mustapha yang juga bekas komander Tentera Laut Diraja Malaysia ini.

Berkongsi dengan Cakna Sinar, beliau percaya keterlibatannya dengan banyak NGO dan pertubuhan mematangkannya sehinggalah beliau mengambil keputusan menubuhkan NGO Antarabangsa yang berpusat di Kemboja.

 

Pembinaan masjid ke-5

"Secara peribadi saya memfokuskan kepada empat golongan sasar untuk dibantu iaitu fakir miskin, warga emas, anak yatim atau piatu, ibu tunggal, maahad tahfiz dan kerja-kerja membaiki atau membina masjid, surau atau membuat telaga.

"Setakat ini itulah golongan dibantu. Hingga kini tiap kali menjelang Ramadan misalnya hampir 1,000 lebih penerima di 26 perkampungan Islam di pedalaman, paling jauh melibatkan jarak 800km dari ibu kota Phnom Penh," katanya.  

Menariknya, pembinaan masjid juga diusahakan pihaknya, yang kini masuk jumlah ke-5 dijangka siap Ogos ini yang diusahakannya melalui NGO Antarabangsa.

"Saya amat berterima kasih pada rakan-rakan prihatin. Bukan mudah kita mendapat sumbangan untuk mereka memerlukan, sebab itu saya bergerak secara solo kerana kos perbelanjaan melibatkan tim banyak belanjanya. Jadi saya bergerak sendirian lebih mudah dan cepat yang penting kita ada hubungan dengan NGO-NGO tempatan," katanya.

Berasal dari Kuala Terengganu, beliau  pemegang Ijazah Sosial Budaya Universiti Malaya, Sarjana Undang-undang Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pemilik PhD Undang-undang Antarabangsa dari Chemeron University Kemboja. Buat masa ini sedang menyiapkan tesis PhD keduanya di UKM. Menyambung pengajian tidak menghalangnya untuk aktif dalam kerja-kerja kesukarelaan.

 

Lebih 20 tahun jadi sukarelawan

Setiap tahun beliau bergerak keluar negara bagi menyampaikan bantuan mengikut keadaan semasa seperti ketika Ramadan dan Raya Haji yang memerlukannya tiba di sana sebelum sambutan hari berkenaan.

Manakala pergerakannya di negara seperti Thailand, Loas, Vietnam dan Filipina mengikut keadaan kerana pergerakan di negara tersebut terbatas. Dan hujung tahun ini pula beliau kembali ke Kemboja.

Semua program ini dijalankannya mulai tahun 2000, bermula di Kemboja dengan pembinaan perigi, membaiki masjid dan surau rosak pada tahun 2002.

Projek pembinaan masjid sehingga kini dibuat di Kg Channg, Kg View dekat sempadan Vietnam, Kg Pakphau dan Kg Jamuan berhampiran sempadan Vietnam.

Begitu juga dengan sekolah agama, hanya tiga kesemuanya yang lebih kepada mahaad tahfiz, manakala setakat ini 3,000 telaga sudah siap  dibina.

"Setakat ini semua projek dijalankan adalah di Kemboja dan hanya satu mahaad tahfiz di Thailand selain sebuah rumah anak-anak yatim.

"Untuk masa akan datang saya akan ke Filipina, Loas, Vietnam dan Mnyamar pula. Walaupun ada masalah sedikit kerana dasar negara-negara tersebut berbeza, tapi kita sentiasa kena menghormatinya," kata lelaki berusia 58 tahun ini.

Bukan mudah walaupun ia kerja sukarela, menurutnya cabaran utama perlu dihadapi adalah masalah sumbangan kerana biarpun banyak diterima, tetapi bila berkurangan ia akan menjejaskan sedikit kepada penerima.

Justeru, Mustapha berkata, bagi mengatasi masalah ini beliau mengeluarkan sedikit wang perbelanjaan sendiri dengan niat untuk membantu mereka.

"Dalam masa sama, kita ajar mereka berdikari khususnya anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal supaya mereka kelak boleh mencari sumber sendiri. Banyak juga program sudah dibuat untuk mereka," katanya.

 

Libatkan belia

Tidak menafikan NGO Antarabangsanya hanya fokus pemberian bantuan di luar negara, Mustapha mempunyai sebab tersendiri tidak terlibat  dengan aktiviti sama di dalam negara.

Selain kewujudan NGO sememangnya adalah untuk misi luar negara, jelasnya dana yang dicari adalah untuk negara terlibat sahaja.

"Saya tidak terlibat dalam negara kerana tidak mahu jadi pesaing kepada NGO-NGO di Malaysia yang sedia ada. Kita sudah ada agensi kerajaan yang wujud seperti Jabatan kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam dan wakil rakyat.

"Perkara ini tidak ada di kawasan tempat saya pergi. Saya tidak perlu berebut dalam hal bantuan ini di negara kita. Seperti saya kata NGO ini diwujudkan di bawah NGO Antarabangsa, derma pun untuk antarabangsa," katanya.

Mengulas harapannya terhadap kewujudan NGO membantu seumpama dilakukannya, Mustapha menyeru anak-anak muda dilatih mencintai NGO semasa di sekolah, kolej dan universiti lagi supaya dapat menghayati kesusahan semua kaum, tambahan di Malaysia dengan kewujudan masyarakat majmuk.

Dalam masa sama, katanya NGOnya juga bekerjasama dengan NGO antarabangsa lain bagi memberi kesedaran kepada generasi muda agar mereka sendiri berupaya membantu golongan susah di tempat mereka.

"Untuk itu kita libatkan bersama pemuda pemudi tempatan dalam program saya di kampung-kampung mereka.

"Secara khususnya banyak juga NGO lain saya terlibat dalam negara seperti menjadi penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Badan Anti Rasuah di negara kita," katanya.

 

Latar belakang Datuk Dr Mustapha:

Bekas Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan, Pengarang Majalah ATM Patriot, Setiausaha Akhbar Menteri Pertahanan, Setiausaha Akhbar dan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Luar serta setiausaha Sulit Kanan Menteri Dalam Negeri (KDN).Seterusnya beliau dilantik sebagai Penasihat Ekonomi kepada MB Terengganu dan Ketua Eksekutif Terengganu Inc syarikat GLC utama Negeri Terengganu serta pengarah syarikat GLC minyak dan gas negeri Terengganu.Antara sumbangannya, Transformasi Ekonomi Negeri dengan menjana ekonomi melalui membuka pelaburan kepada syarikat luar ke Terengganu. Beliau juga menjadi Pegawai Tugas-Tugas Khas dan panel Pengerusi Temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam SPA.Pada Jun 2016 beliau dilantik menjadi CEO YKB. Beliau juga mendapat beberapa anugerah dari kerajaan Kemboja.