MENGHADAPI kenyataan tiga ahli keluarganya disahkan mengidap kanser dalam jangka masa singkat bukanlah sesuatu yang mudah didepaninya.

Namun bertitik tolak daripada itulah, beliau kini sering berkongsi pandangan dan pengalaman uniknya dalam menjaga pesakit kanser atau mereka yang mempunyai keresahan terhadap penyakit ini.

Melalui medium penulisannya di buku dan perkongsian di alam maya, apa diharapkan Ikon Cakna Sinar ini, ia dapat membantu pejuang kanser bersama penjaga mereka yang sedang sedaya mampu melawan pelbagai kesukaran dan isu-isu mungkin dihadapi.

Bukan sahaja menjadi penulis buku berkaitan, beliau juga sering diundang sebagai perunding motivasi dan penceramah berkongsi tip khusus buat mereka mempunyai ahli keluarga menghidap kanser, malah buat pesakit berkaitan sendiri.  

Menyingkap 'tugas' baharu Pakar Perubatan Kecemasan dan Ketua Jabatan, Kecemasan dan Trauma, Hospital Langkawi, Dr Azlan Kamalludin atau lebih dikenali sebagai Dr K Azlan ini, ia bermula sejak beberapa tahun lalu.

Kisahnya apabila hanya dalam tempoh 10 bulan, tiga ahli keluarga rapatnya disahkan menghidapi kanser yang mempunyai simptom, pilihan rawatan, malah perkembangan dan prognosis berbeza.

Yang pertama bapa mertuanya, Allahyarham Mohd Yusoff Mohamed yang didiagnosis dengan Multiple Myeloma, sejenis kanser darah. Sekitar dua bulan selepasnya, bapa Dr K Azlan sendiri, Kamalludin Abu Bakar pula didiagnosis kanser prostat, diikutinya isterinya Asfah Mohd Yusoff, didiagnosis Hodgkin's Lymphoma, sejenis kanser kelenjar sekitar lapan bulan kemudian.

Bapa mertuanya yang ketika itu tinggal bersama Dr K Azlan kembali ke rahmatullah pada 2013 dan semasa arwah didiagnosis, beliau dan keluarga langsung tidak menyedari isterinya juga menghidapi kanser yang sedang merebak di sekeliling jantungnya.

"Namun alhamdulillah, isteri saya sudah dapat rawatan kemoterapi dan sekarang sudah tiga tahun sembuh daripada kanser. Bapa saya walaupun sel kanser itu masih dalam badan, namun beliau tiada masalah bergerak dan tetap sentiasa aktif membuat kerja-kerja kebajikan.

"Ini tunjukkan kanser itu tidak semestinya hanya berkait dengan mati. Ramai beranggapan kanser itu pengakhiran hidup. Namun syukur apabila isteri saya didiagnos pada Januari 2014 selepas rawatan berakhir sekitar Julai, hingga sekarang dah tiga tahun kanser itu sudah tiada dalam badan.

"Sekarang dah pulih dan aktif buat kerja-kerja harian. Makna kata, kanser itu masih boleh dirawat," kongsinya di FB Live bersama Cakna Sinar, yang berlangsung di Sinar Karangkraf, Shah Alam, baru-baru ini.

 

Tak boleh terima

Menjadi ahli keluarga terdekat pesakit kanser bukanlah mudah apatah lagi untuk menerima kenyataan bahawa orang tersayang menghidapi penyakit tersebut, walaupun beliau sendiri seorang pakar perubatan.

Dr K Azlan mengakui mengambil masa menghadapi masa 'down' yang agak lama pada peringkat permulaan.

"Saya tak boleh terima isteri saya merana kanser dan siapa pun tak tahu. Masa isteri saya kena kanser limfoma, saya nampak sekeliling jantungnya ada kanser, saya terduduk. Tak tahu nak kata apa, sebab ini kes ketiga dalam masa terdekat.

"Baru rasa nak rehat, 'gedebuk jatuh' satu lagi. Masa tu memang kita rasa blank (kosong), tak tahu kata apa. Cuma ketika tu yang saya teringat nak call mak bapak saya. Sebab masa tu mereka di Madinah dan nak minta tolong doa saja," katanya.

Mengulas lanjut perkongsiannya dengan orang ramai mengenai penjaga dan pesakit kanser, Dr K Azlan sering mengetengahkan mengenai keperluan memberikan ruang masa kepada golongan itu terutama di peringkat awal penyakit tersebut dikesan.

Memahami sikap penyayang masyarakat negara ini, dengan mudahnya penyampaian maklumat melalui kemudahan media sosial, beliau tidak menafikan perihal pesakit kanser mudah tersebar.

"Seperti ada kes mulanya mereka hendak sekat maklumat, supaya boleh balik dan berbincang perlahan-lahan dengan ahli keluarga yang juga pesakit kanser. Mungkin ambil masa berjam-jam dan berhari. Tapi bila ada pihak dah tahu dan disebabkan penyayang itu mereka serbu rumah.

"Sampai ahli keluarga terdekat pun tak sempat sampai dan meluahkan. Itu saya kata, bagi ahli keluarga itu ruang mencukupi. Kita kenal ahli keluarga kita, siapa yang nak diserbu dan nak masa sedikit. Majoriti pengikut FB saya pun setuju bila saya kata 'beri mereka ruang'," katanya.

 

Galak sertai grup sokongan

Dengan latar belakang pakar perubatannya, ditambah pengalaman sendiri dalam berdepan tiga ahli keluarga menghidap kanser, beliau sering membincangkan isu dan cabaran dihadapinya untuk setiap jenis kanser.

Daripada perkongsian tersebut, ia diharap dapat membantu bukan saja pesakit, malahan penjaga dalam mencari jalan bagaimana untuk berhadapan dengan penyakit berkenaan.

Menawarkan analisis jujur berkenaan kanser serta pilihan rawatannya, namun tumpuan diberikannya lebih kepada membantu ahli keluarga kekal berhubungan dan berkasih sayang semasa dan selepas berhadapan penyakit ini dengan bantuan praktikal.     

"Masa inilah, antara benda selalu saya ingatkan, jangan hanya buat carian di internet, sebab lagi cari, lagi hanya nampak side effect. Anda tak akan nampak orang yang nak bagi sokongan tu.

"Cadangan saya sebaiknya sertai grup sokongan. Biasanya dalam tu semua positif. Bila maklum balas positif yang kita dapat, ia akan naikkan mood dan semangat kita terutamanya kepada orang yang tinggal satu rumah," katanya.

Tidak menafikan setiap kali mendengar perkara menakutkan berkaitan kanser, ramai berminat mahu mengetahui mengenai simptom kanser, namun menegasnya sebenarnya gejalanya sama sekali tidak sama.

Dr K Azlan berkata, beliau sering beritahu dalam ceramah dan perkongsiannya bahawa setiap kanser itu adalah berbeza.

"Jangan bila orang kata, ada orang kanser sembuh, you pun boleh sembuh. Saya pun sampai sekarang tak sanggup nak sebut perkataan 'boleh sembuh' tu. Jangan terlalu bagi harapan dan jangan juga terlalu menekankan bahayanya. Tak boleh. Ini yang pertama saya bagi tahu.

"Seperti isteri saya kanser Hodgkin's Lymphoma, dia dapat simptom gatal-gatal dahulu. Ada kanser sama mula dengan demam, ada dengan sesak nafas dan ada bengkak-bengkak kelenjar. Sebab tu kita ada pakar hematologi, onkologi, segala bidang-bidang ni besar dan simptom tu berbeza," katanya.

Menurutnya, turut sering dikongsikan  adalah kaedah untuk rakan sekeliling membantu pesakit kanser, walaupun tiada masa dan sibuk dengan urusan harian.

Dr K Azlan berkata, paling senang ia dilakukan dengan kata-kata sokongan.  

"Cuma bagi tahu pada sahabat yang menjaga bapa atau mak ada kanser dan sebagainya, 'saya pun tak tahu awak sedih macam mana, sekarang pun saya tak tahu apa saya boleh bantu, pada bila-bila masa kalau perlukan apa-apa bantuan, walaupun paling kecil, awak call saya'.

"Itu pun dah cukup membantu melegakan kawan tadi," katanya.

 

Rawatan alternatif

Pada zaman serba moden ini masih ada yang percaya penyakit dideritai adalah 'perbuatan orang' menyebabkan ada kalangan masyarakat masih pergi mendapatkan rawatan alternatif.

Dr K Azlan tidak menafikan perkara itu masih berlaku, justeru sering kali memberikan pencerahan berkaitan.

"Apa yang mengejutkan, golongan yang pergi ke rawatan alternatif adalah berpendidikan tinggi, data itu bukan saya 'main tembak' cakap. Sebab mereka rasa educated, sebagai engineer, doktor, cikgu dan sebagainya, sebab itu automatik dia rasa dia lebih pandai research.

"Saya doktor, bila bawa bapa saya follow up, saya duduk diam sebagai penjaga pesakit. Sebab itu bukan kepakaran saya. Memang ada. Sebab itu macam Benjamin Franklyn cakap.. melabur kepada ilmu ialah pelaburan terbaik dalam dunia ini. Jangan hanya dengar apa orang kata.    

"Tengok data dan ilmu orang tu, contoh orang kata, 'pergi la berubat dengan orang tu, bila dah berubat boleh sembuh'. Siapa yang kata dan bagi statement tu? Jika orang yang bagi statement tu tak ada data, kita tak payah tengok.

"Saya ada statement daripada beratus ribu orang yang dah start rawatan dan sembuh. Mengapa kita nak dengar daripada seorang yang bagi statement dengan data yang kita tak tahu dan sangsi betul atau pun tidak?," tegasnya.

Menurutnya, apa yang penting perlu berbincang dengan pakar perubatan sekiranya tidak yakin dengan keputusan diperoleh dan berhasrat untuk mendapatkan pandangan kedua serta harus jujur memaklumkan perkara tersebut.

Dr K Azlan berkata, manakala sekiranya sudah disahkan kanser dan dimaklumkan ia sudah tidak boleh dirawat, seseorang itu perlu mencapai tahap reda, namun percaya ia bukan mudah.

"Mungkin lebih awal reda itu lebih baik. Tapi kami nak sampai ke tahap reda itu susah. Memang tahu Multiple Myeloma itu tak boleh sembuh. Jadi kami prepare yang terbaik untuk arwah bapa mertua saya  agar selesa. Apa nak makan, kami bagi, nak pergi mana.. kami bawa.

"Sebab kami tahu akan datang benda yang tak disukai. Bila bapa mertua meninggal pun, masih ada lagi perasaan mengejutkan, walaupun kita tahu arwah akan pergi. Tapi arwah meninggal awal daripada dijangkakan," kongsinya.

Hasratnya untuk memberikan lebih banyak penerangan dan menyedarkan masyarakat berkenaan suplemen, kanser, dan testimoni berkaitan. Pembaca boleh berkunjung ke laman Facebook nya , Dr K Azlan.