DULU arwah ibunda saya pernah kata, dia tak ada apa nak bagi, dia tak ada duit dan harta. Tapi dia ada nasihat... apa yang penting cari ilmu dan tolong orang, itu benda yang kena ada katanya."

Sentiasa ingat pesanan ibunya itu, dan pasti seseorang mempunyai ilmu tidak akan sesat, beliau percaya bersikap sentiasa membantu dan memudahkan urusan orang lain, pastinya ALLAH memberikan ganjaran sama.

Itu antara sebab Pengasas Kembara Amal Ventures (Kave) atau Kave Ventures, Dr Azuraida Shahadan menubuhkan NGO empat tahun lalu.

"Penubuhan Kave Ventures adalah susulan  Penubuhan Yayasan Jamin, oleh abang sulung saya, Datuk Sohaimi Shahadan, serta rumah anak yatim Teratak Che Dah diasaskan ayahanda saya, Shahadan Jamin, di Kundang, Selangor, tribute kepada arwah ibu saya, Che Dah Said.

"Saya pegang konsep lebih banyak memberi, lebih lagi kita dapat. Dalam Islam pun kata begitu. Orang kita tolong, satu hari nanti mungkin dia jugalah akan bantu kita. Mungkin kelebihan saya ada kemampuan dan boleh cari duit, jadi saya tolonglah orang," kata wanita berusia 32 tahun ini yang berhijrah ke luar negara pada tahun 2008, dan kembali ke Malaysia pada 2015.

Semasa di Amerika lagi Azuraida sudah melibatkan diri dalam sukarelawan dengan anak-anak di rumah kebajikan (Orange County Social Service), gelandangan (Mary’s Soup Kitchen) juga salah seorang sukarela Islamic Relief, Disaster Assistant Relief Team (DART).

Malah, penglibatan pertamanya sebagai sukarela bermula sebelum itu pada 2006 dalam Islamic Relief semasa gempa bumi di Yogjakarta.

Berhenti kerja

Melihat pencapaian akademiknya, benarlah beliau mengikut nasihat ibunya supaya sentiasa menuntut ilmu. Selain merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (EdD) Educational Leadership, dari California State University dan Sijil Perkembangan Kanak-kanak (California), beliau juga graduan sarjana dalam bidang Pendidikan dari University of Pittsburgh, Pennsylvania dan sarjana dalam Pengurusan Pendidikan dari Universiti Malaya (UM).

Graduan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dan mempunyai sijil Perakaunan ini juga sebenarnya mempunyai hobi gemar mengembara dan merekodkan pengalaman pengembaraannya.

Sudah mengembara ke lebih daripada 30 negara seperti Perancis, German, Denmark, UK, Itali, Holand, Maxico, Spain, Portugal, Turki, Australia, New Zealand, Amerika, Thailand, Singapore, Vietnam, China, Japan, Puerto Rico, Filipina, Ireland, UAE, Switzerland, Hungary, Poland, Austria, Chezch Republic, Slovakia, Indonesia, Korea dan Kanada, tidak hairanlah banyak pengalaman berharga dikutip dalam usia semudanya.

"Bagi saya pengalaman  pengembaraan ini mampu mendekatkan diri dengan tuhan.

"Saya dapat melihat kehidupan ini sebagai sebuah kebajikan," katanya yang sentiasa berkongsi pengalaman percutiannya di Instagram #azushahadan.

Sebelum ini, sekembalinya beliau ke tanah air pada hujung 2015, Azuraida turut menjalankan kerja sukarela, tapi tidak sepenuhnya dek masa terikat dengan komitmen kerja di UM.

Namun kerana minat mendalami khidmat masyarakat, setelah dua tahun di situ, tanpa menoleh kebelakang, beliau tekad berhenti kerja dan menjalankan kerja sukarelawan Kave Ventures secara sepenuh masa.

Kini bekas pensyarah Fakulti Pendidikan UM ini menumpukan tiga skop utama Kave Ventures iaitu untuk membantu golongan anak yatim dan asnaf termasuk ibu tunggal, Orang Asli dan lain-lain aktiviti amal melibatkan masyarakat dan alam sekitar.

Dr Azuraida tahan diuji

Pengalaman berdikari seorang diri ketika tinggal di luar negara, mematangkan Dr Azuraida.

Beliau lebih banyak bercampur dengan masyarakat tempatan dan melibatkan diri dengan pusat sukarelawan.

"Di Pittsburgh, komuniti  Melayu sangat sedikit, penuntut pun masa tu ada lapan orang saja. Jadi dari situ saya mula keluar buat kerja sukarela jumpa anak-anak terbuang, bantu mereka tiada rumah.

"Pernah juga ada pengalaman lepas  berkahwin di Malaysia dan sambung belajar di luar negara serta lahirkan anak di sana, tanpa suami di sisi. Masa itu sibuk sudahkan master, angkut baby sampai ke library. Jadi memang dah biasa berdikari," ceritanya.

Melihat ramai membantunya dan memberi sokongan semasa memerlukan, Azuraida merasakan beliau juga harus melakukan perkara sama.

Pulang sahaja ke tanah air, niat berbakti menyebabkannya melihat masih ramai masyarakat di sini yang susah dan perlu dibantu.

"Masa mengajar di UM saya banyak dedahkan pada pelajar saya untuk jadi servant leader, maksudnya kita ketua tapi  letak diri kita di bawah. Bila ada program amal saya bawa students.

"Bermula dari situ mereka inilah   juga sukarelawan Kave Ventures dan ikut saya sampai sekarang walaupun dah habis belajar. Idea Kave Ventures ini pun dari pelajar saya. Ramai minta kalau saya ke mana-mana program volunteer supaya bawa mereka sama.

"Dari situ kita buat grup lebih kepada kembara amal sebab saya suka mengembara dan beramal. Mereka ini jugalah 11 sukarelawan Kave Ventures selain co-founder, Deja Moss," katanya.

Berkongsi kerjasamanya dengan penyanyi tersebut, menurut Azuraida ia bermula ketika bertemu Deja di luar negara dan sejak itu mula bertukar idea dan berhubung apabila mempunyai minat sama membuat kerja-kerja amal.

Mengulas kerja amal dijalankannya, anak keempat daripada enam beradik ini percaya, semua orang boleh melakukan kebajikan dan bukan hanya memerlukan wang apabila hendak melakukannya.

Keluar duit sendiri

Tidak menafikan berdepan cabaran seperti dana dan tenaga sukarela, namun menurutnya itu bukan halangan.

"Macam program amal baru ni, kita ada 10 sukarela dan 250 peserta. Ikutkan susah juga kendalikan, tapi bukan penghalang.

"Keluarkan duit sendiri tu sudah semestinya. Sukarela lain pun bila bergerak ke program dan aktiviti pakai duit sendiri, tapi mereka ramainya anak-anak VIP ini tak kisah. Yang sertai kita pun memang betul nak pengalaman," katanya.

Namun cabaran itu disifatkan hanyalah kecil berbanding kebaikan diperoleh sebagai sukarela seperti menjadikan diri lebih bermuhasabah, mensyukuri nikmat, nilai kepimpinan, rasa ihsan, mempelajari budaya dan cara hidup orang lain dan sifat sabar serta semangat setia kawan.   

Dengan pergerakan Kave Ventures tiga kali sebulan selain pelbagai aktiviti pada setiap minggu, ibu kepada seorang cahaya mata, Adam Adrian, 8, ini berhasrat menjalankannya NGOnya sampai bila-bila.  

Sentiasa membawa Adam ke mana sahaja program dijalankannya, baginya ia juga mampu mendidik anaknya itu lebih matang dan mempunyai daya keprihatinan kepada golongan memerlukan.

"Sebagai seorang wanita dan ibu tunggal, saya yakin semua kebaikan InsyaALLAH akan disusuli kejayaan. Masalah dan halangan tetap akan hadir dalam kehidupan, namun ia bukan halangan berjaya, atau mencapai impian.

"Yakin kemampuan diri sendiri, lihatlah dunia dalam perspektif berbeza melalui aktiviti kebajikan atau kebaikan. Dalam aspek mengejar duniawi, sentiasa lihat manusia yang kehidupannya lebih susah daripada kita untuk mensyukuri nikmat Yang Esa.

"Dalam aspek akhirat, sentiasalah melihat manusia amalannya lebih sempurna daripada kita. InsyaALLAH, ia pasti membuka mata kita sebagai manusia untuk terus melakukan kebaikan, kebajikan dan mencapai kejayaan," pesannya.