SEJAK projek memberi makan kepada orang gelandangan oleh Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) Soup Kitchen dilancarkan Mac 2010 dan beroperasi empat kali seminggu di sekitar ibu negara, ia tidak pernah berhenti walau sehari pun.

Sentiasa turun padang setiap Ahad, Isnin, Rabu dan Jumaat, sekitar jam 9 hingga 11 malam, kemunculannya bukanlah  asing kepada mereka di situ.

Bagi sebahagian mereka, dialah umpama 'nenek', 'mak' dan 'kakak' apabila senang dipanggil dengan gelaran demikian oleh golongan tersebut.   

Itu hasil kasih ditunjukkan pengasas yang juga Pengerusi Pertiwi Soup Kitchen, Datuk Munirah Abdul Hamid yang 'meneraju' sukarelawan mengedarkan 600 ke 700 pek makanan sehari, empat kali seminggu  kepada gelandangan.    

"Dulu Pertiwi bantu luar bandar. Tapi bila mulakan Soup Kitchen, saya tumpu di bandar untuk rakan jalanan.

"Mula dengan duit poket sendiri ikut kemampuan saya masa tu, iaitu beri makan pada 200 orang. Alhamdulillah, lepas tu ada saja orang datang dan hulurkan bantuan, jadi saya tingkatkan jumlah," kongsinya dengan Cakna Sinar.

Seorang sederhana, sentiasa tersenyum dan ceria dengan kemurahan hati sepanjang sesi temu bual, tidak hairan dia senang didekati dan penulis pasti inilah menarik golongan memerlukan erat dengannya.

Berkongsi kisah memulakan Soup Kitchen, Munirah berkata, pada peringkat awal projek, belum banyak kumpulan atau NGO menjalankan program sama selain hanya dibuat pihak gereja dan badan Buddha.

"Awal-awal dulu grup Muslim memang tak nampak lagi. Mungkin mereka ada, tapi caranya tak sama dengan saya. Kita banyak fokus kawasan Chow Kit. Pertiwi pun dah ada pusat aduan di situ sebelum ni.

"Masa tu ada aktiviti, tapi tak ada sukarelawan. Mungkin ketika itu belum ada kesedaran. Tapi kini alhamdulillah, sukarelawan semakin bertambah dan yang mahu turut serta dengan kita pun tak putus-putus," kata wanita yang menjadi sukarelawan sejak berusia 17 tahun dengan menyertai Pertiwi yang ditubuhkan pada November 1967 ini.

 

Ibu jadi contoh

Pastinya ada kisah menarik di sebalik minat Munirah berkecimpung dalam dunia sukarelawan lebih 50 tahun lalu, malah masih kekal aktif menyumbang bakti walaupun usianya sudah mencecah 68, tahun ini.

Seawal usianya lima tahun, Munirah sudah biasa melihat ibunya, Che Yah Ismail memberi makan kepada mereka memerlukan di kawasan rumah mereka di Masjid Nagore, Alor Setar, Kedah.  

"Dulu sentiasa ada orang susah di situ. Mak tengok kesian. Datang jauh nak solat Jumaat dan tidur di situ. Selalunya setiap Jumaat special mak akan buatkan bubur susu. Saya pula tolong sediakan bekas daun pisang.

"Selain tu, dua kakak saya pula antara 10 orang yang tubuhkan Pertiwi. Jadi dah biasa kerja (sukarelawan) ni," kata anak bongsu dari 9 beradik ini.

Asalnya dia bercadang menjalankan projek membersihkan pantai, namun disebabkan kekangan, ia diubah.

Pada tahun 2005, tercetus idea menjalankan projek memberi makan kepada golongan susah di jalanan.

"Antara rakan rapat saya, (arwah) Saadah Din yang cadangkan buat soup kitchen. Lebih mudah jalankan projek. Kita pun selalu biasa bagi makan pada orang bila kita happy atau sedih, tapi masa tu random, bukan projek.  

"Tapi sekarang nampaknya projek ini jadi lagi besar dari Pertiwi. Kiranya projek ini pun tribute pada mak dan Saadah yang bagi idea buat soup kichen," kata bekas penuntut Kolej Tunku Kurshiah ini.

 

Cadang IPT ambil PPR angkat

Pertiwi Soup Kitchen yang kian dikenali, kini umpama menjadi platform buat mereka yang berhasrat menjalankan kerja-kerja kesukarelawan.

Dek itu juga Datuk Munirah tidak menafikan tugasnya kini bertambah untuk menyampaikan informasi dan maklumat berkaitan pada kumpulan sukarela kebanyakannya penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

"Saya dah jadi macam lecturer pula malam-malam. Kita ni berceramah nak cubalah bentuk sikit anak muda sekarang. Memang, kadang penat juga 'bela' budak-budak ni.

"Sukarelawan yang nak datang pun semua perlu tempah masa. Hanya saya seorang yang handle. Bukan tak mahu serah tugas ini, tapi jika dalam dunia sebenar, berapa orang saja nak... siapa yang mahu (kerja sukarelawan)?," katanya.  

Menurutnya, banyak juga pihak korporat menyertai Soup Kitchen bagi menjalankan program tanggungjawab sosial korporat. Projek dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihaknya.

"Sekarang pun dah ramai tapi dengan objektif masing-masing. Badan korporat nak naikkan KPI, student pula nakkan pointer jam kredit. Jika tak ada apa-apa (pulangan) mungkin kurang juga volunteer.

"Tapi tak apa. Ada juga mereka belajar dan perkara ini selalu saya tekankan dalam program dan bila dijemput ke IPT-IPT untuk beri ceramah. Masa sama, saya juga harap akan datang kesedaran," katanya yang juga sibuk menguruskan syarikat perniagaan sendiri.

 

Isu takkan habis

Ditanya cadangan bagi mengurangkan bilangan gelandangan, Munirah tidak menafikan melalui cerapan dijalankan pihaknya terdapat pengurangan, tetapi ditambah dengan muka baharu.

Isunya banyak berkait dengan masyarakat yang menjadi miskin bandar, berhijrah, membawa diri, berdepan masalah mental dan sebagainya, menyebabkan pihaknya percaya pada masa depan jumlah golongan ini akan bertambah.

"Sekarang ini memang OK lagi. Tapi masa depan akan bertambah sebab isunya takkan habis. Cadangan saya pihak-pihak di universiti buat program-program di lokasi sasaran misalnya di projek perumahan rakyat (PPR), yang selalu ada isu anak tak bersekolah.

"Saya syorkan kalau tiap-tiap universiti atau fakulti ambil anak angkat PPR dan buat program di situ, ia boleh beri galakan kepada anak-anak, sebab bukan semua mereka minat ke arah akademik.

"Pilih dan buat program sesuaikan apa kita belajar dengan minat mereka. Ambil PPR ni sebagai program universiti. Jaga dari awal, jangan buat one-off... longgok makanan, dan habis untuk dapat KPI, cukupkan credit hours dan ber'wefie," tegasnya.

Menurutnya, buat masa ini dia dibantu 80 sukarelawan tetap dan hingga kini lebih beribu sukarelawan telah terlibat dengan Pertiwi Soup Kitchen. Sukarelawan lain termasuk kakitangan perubatan yang menjalankan pemeriksaan kesihatan.   

Sumbangan makanan Pertiwi Soup Kitchen datang dari dua sumber, tukang masak sendiri dan pihak Jawi, dihantar ke rumahnya di Bangsar, sebelum dimuatkan ke kenderaan dan diedarkan kepada mereka memerlukan dengan bantuan sukarelawan berdaftar sebelumnya.

Hingga bila mahu menjalankan kerja-kerja sukarelawan ini... ibu dua anak dengan tiga cucu ini berkata, ia akan diteruskan selagi terdaya.

"Apa dilakukan ini, ia seimbangkan kehidupan saya.

"Bagi saya, nak buat apa-apa perlu ikhlas, sabar, tawakal. Jangan sombong, buat amal dan have fun," kata isteri kepada lelaki berasal dari Australia, Karim Hercus, 70, ini.

Munirah berkata, di samping memberi makan, kegiatannya juga merapatkannya dengan golongan memerlukan membolehkannya mengetahui masalah sebenar dan membantu apa terdaya terutama bagi menyalurkan mereka ke bidang pekerjaan sesuai bagi baiki hidup. -AG