KIRA-KIRA sedekad lalu dia hanya penyelidik berkaitan pengajian agama murid berkeperluan khas penglihatan dan mengunjungi sebuah sekolah orang kurang upaya (OKU) di selatan tanah air.

Ada peristiwa menjentik hatinya terus menyumbang pada golongan ini, ketika di satu sudut terlihat empat murid perempuan OKU penglihatan berjalan  berpegangan tangan ke arah sekolah.

Mungkin murid di depan mempunyai sedikit baki penglihatan, dia sempat mengelak tiang, namun tidak rakannya, terhantuk seorang demi seorang.

"Masa tu perasaan saya bercampur baur, sama ada nak ketawa, menangis tak boleh digambarkan. Bermula dari situ semangat bantu golongan OKU bertambah," cerita pensyarah, Norakyairee Mohd Raus, juga penyelidik Ibnu Ummi Maktum Research Cluster (Ummi), Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).  

Itu juga jadi detik penglibatan Ketua Penyelidik inovasi al-Quran, i-Sign Quranis ini terjun ke dunia OKU.

Tambahan pula pada 2008, dia dikurniakan seorang anak didiagnosis OKU kategori autisme, non verbal, justeru sirkulasi OKU jadi dekat dengannya.

ALLAH jugalah Maha Mengatur, pada 2008 juga, FPQS, Usim menawarkan kursus pertama seumpamanya, iaitu Kursus Wajib Fakulti, Aplikasi Brille Dalam Pengajian al-Quran dan Sunnah, kepada siswa bukan OKU, sebagai nilai tambah.

"Masa itu kita mula buka mata pengajian Islam tak terdedah pada OKU. Jadi kami ambil inisiatif beri tugasan pada penuntut menyantuni OKU. Sebelum itu lagi kita dah bawa mereka ke sekolah OKU buta, lihat realiti kehidupan OKU sendiri.

"Pada 2015 kita mula beri semangat dan motivasi untuk jalankan projek akhir mereka berkaitan menyumbang atau bangunkan produk untuk OKU," katanya.

Menurutnya, sebelum itu lagi pihaknya sudah mengeluarkan produk pertama, iaitu transkripsi buku Iqraq tulisan Braille untuk OKU penglihatan, malah ia mendapat pengiktirafan hingga peringkat antarabangsa di International Technology & Innovation Exhibition (Itec) 2015.

 

Fokus OKU pekak pula

Selepas OKU penglihatan, pada 2017 Norakyairee mula beri fokus kepada OKU pendengaran yang mana usaha berkaitan sudah dimulakan setahun sebelum itu.

Idea menghasilkan produk inovasi

i-Sign Quranis ini bermula pada 2015 apabila ada sekumpulan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan minta dibantu untuk memahami naskhah al-Quran.

Permintaan itu menyentuh hatinya menggerakkan produk i-Sign Quranis bersama rakan penyelidik lain.

"Golongan pekak asalnya hanya mampu memeluk al-Quran tanpa memahami, membaca dan menghafaz malah jauh sekali mendengar sebutan bacaan al-Quran itu sendiri. I-Sign Quranis bantu menyediakan solusi terbaik.

"Dengan kata lain ia memenuhi keperluan asas mereka dalam ajaran agama Islam seperti cara solat wajib yang mana turut boleh dijadikan modul kelas agama untuk golongan ini," katanya.

Mengenai produk itu, menurutnya ia mengandungi 12 surah dan menariknya, hafalan mereka berbentuk visual dinamakan translasi makhraj iaitu menghafal dengan menggambarkan ayat al-Quran mengikut bacaan makna dirumikan dalam kalimah lebih ringkas.

Usaha ini mendapat banyak pengiktirafan seperti memenangi tempat pertama Innovation of Multimedia in Quran and Sunnah Studies (IMQS) 2017.

Jika produk OKU penglihatan dinamakan i-Talk, bagi OKU pendengaran pula dipanggil i-Sign Quranis, Norakyairee berkata, Quranis diambil dari kurikulum Yayasan Pendidikan al-Quran Bagi Anak Istimewa (Yayasan Faqeh). Dia juga terlibat  membangunkan kurikulum ini.

"Kita ambil peluang ajar OKU ini dari sudut kekuatan mereka. Kaedah dan tekniknya perlu sesuai tahap golongan itu sendiri," kata Exco Penyelidikan dan Inovasi Yayasan Faqeh ini.

 

Berdakwah tanpa suara

"Pahit manis lumrah kehidupan, jika tak diuji kita tidak tahu kita di tahap mana. ALLAH uji kerana sayangNYA pada kita, justeru perlu ambil positif," kata Norakyairee.

Berinteraksi dengan OKU pendengaran dirasakan sesuatu baharu dalam dunia golongan agamawan, biarpun kelihatan mudah mengajar, namun mengakui dirinya sendiri tidak pernah menuntut 'ilmu' itu sama ada di universiti mahupun di maahad.

"Tapi bila duduk dalam dunia OKU pekak, macam-macam ALLAH ajar secara berperingkat untuk kita fahami. Sebab ALLAH pilih saya dengan anak istimewa autisme, saya pun cari macam mana nak ajar al-Quran untuk anak ni.

"Kita belajar al-Quran semua berbunyi (bersuara), tak ada pula tak berbunyi. Tapi kita lupa, ada insan diciptakan sampai ke akhir hayatnya tidak bersuara. Contohnya orang pekak, bisu, masalah pertuturan termasuklah anak saya ini, non verbal. Dia boleh sebut setengah benda saja," katanya.

Kisahnya, dari situ juga dia cuba mendalami pembelajaran sesuai buat anak-anak istimewa, hingga pada 2012 terlibat sama menubuhkan Yayasan Faqeh.

Norakyairee tidak menolak faktor disebabkan persepsi ibu bapa dikurniakan anak istimewa menganggap insan itu sebagai anak syurga, secara tak langsung tidak ambil kisah untuk mendedahkan aktiviti membaca Quran, solat dan sebagainya pada golongan itu.

"Sedangkan benda lain OKU ini boleh buat seperti berenang, naik basikal dan lain-lain. Mereka tetap membesar sebagaimana anak-anak normal lain, cuma IQ dan sikap berbeza. Tapi kita percaya al-Quran itu syifa', jadi dahulukan al-Quran.  

"Yayasan Faqeh fokus OKU masalah pembelajaran, terdiri daripada pelbagai OKU. Alhamdulillah saya di Fakulti ini dilantik oleh Dekan sebagai tenaga pengajar untuk aplikasi braille dalam pengajian al-Quran dan sunnah, maknanya, secara tak langsung tiga golongan OKU itu telah kita penuhi, iaitu masalah pembelajaran, masalah pendengaran dan penglihatan," katanya.

 

Terlepas pandang

Menurutnya, perlu diberi perhatian jabatan-jabatan agama juga hampir tiada akses kemudahan buat OKU pendengaran ini belajar agama lebih mendalam, apalagi buat mualaf OKU.  

Justeru, bersama dengan Yayasan Faqeh, Norakyairee berkata, Usim merintis kampus 'barakah' turut mengalu-alukan mana-mana NGO berkaitan OKU tampil bersama menggembleng kepakaran yang ada untuk memberi khidmat.

"Berkaitan produk ini, pada 2014 Yayasan Faqeh pernah didatangi seorang wanita India mahu peluk Islam. Kita bantu islamkannya yang kemudian saya ambil dia sebagai anak angkat saya.

"Pada 2016, kami didatangi pula seorang wanita Cina minat pada Islam. Saya ambil juga jadi anak angkat. Kedua-dua mereka pekak, kita ambil pendekatan jaga sebab kadang mualaf ini terumbang-ambing," kongsinya.

Mengibaratkan isi rumahnya 'satu Malaysia', sebagai keluarga Melayu yang beragama Islam, selain anaknya, Norakyairee berasakan bertambah satu lagi amanah buatnya untuk menyampaikan dakwah kepada golongan OKU.

Usahanya rentetan kegusaran golongan agamawan dilihat seolah-olah terlepas pandang isu OKU dan agama, yang akhirnya dikhuatiri menyebabkan mereka semakin menjauh dengan Islam.

"Ini antara usaha kita bersama kawan-kawan dalam bidang pengajian Islam ini. Kami minta maaf banyak-banyak dengan golongan OKU jika sebelum ini terlepas pandang usaha dekatkan mereka dengan agama, yang akhirnya kita lihat OKU hanya keistimewaan ALLAH beri untuk uji ibu bapa mempunyai anak itu. Sedangkan zaman Nabi pun Baginda sering menyantuni OKU.

"Di sini nampak macam kita mengajar mereka, tapi sebenarnya saya sendiri banyak belajar dengan anak dan anak angkat saya untuk menyampaikan Islam kepada golongan ini. Jika tak, tak terfikir mereka ini wujud dalam dunia agama kita," katanya.

Bersyukur dek berasa tenang dan seronok menanam saham akhirat, Norakyairee berharap dapat terus memberi khidmat menerusi NGO OKU dan membantu ibu bapa mempunyai anak istimewa, menerusi kaedah lebih terbimbing.