GADIS ini antara contoh terbaik belia bijak mengambil peluang, di samping menabur bakti untuk anak bangsa sebaik tamat pengajian di institusi pengajian tinggi.

Naib juara pentas akhir Da’i Pendakwah Nusantara, Nur Afiqah Mahmud, 23, kini menumpukan kampung halamannya Kedah khususnya di tempatnya di Baling, untuk menjalankan program kemasyarakatan.

Jika sebelum ini banyak membuat program dengan kerjasama agensi dan jabatan terlibat, dengan platform yang ada sebaik tamat pengajiannya di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Mei lalu, dia kini menumpukan program meningkatkan jati diri golongan anak gadis.

“Saya pun ada latar belakang Ijazah Sarjana Muda Kaunseling, kajian tesis saya pun pasal isu anak luar nikah, dari situ saya lihat isu anak gadis di negara ini perlu diberi perhatian. Saya rasa perlu ‘all-out’ isu ni.

“Nak buka premis kebajikan gadis tu mungkin tak mampu lagi. Sekarang saya mulakan dengan langkah pencegahan dulu,” katanya yang sebelum ini sering turun padang ke sekolah-sekolah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memberikan ceramah kepada pelajar wanita. Khuatir dengan isu-isu berkait belia wanita, katanya, tumpuan diberikan kepada gadis kerana berasa dekat dengan golongan itu, apatah lagi hampir sebaya.

Afiqah juga mengajak rakan-rakan dainya bersama, namun buat masa ini mahu berbakti dahulu di kawasannya dengan menumpukan 18 sekolah menengah di Baling sebelum bergerak ke daerah dan negeri lain.

“Saya salah seorang Ikon JKM dilantik awal tahun ni. Daripada situ saya kumpul maklumat. Saya bimbang, bayangkan daripada jumlah belia Malaysia, purata didapati dalam masa 15 minit, seorang anak luar nikah dilahirkan.

“Kalau dalam tempoh satu bulan lebih kurang 2,000 anak luar nikah. Kalau dalam tempoh setahun bayangkan berapa, itu perangkaan daripada Jabatan Pendaftaran Negara. Saya ambil semua tu dari JKM. Itu statistik pada 2012. Sekarang boleh jangkakan apakah jumlah itu meningkat. Ini sebab penting tumpuan diberikan terhadap mereka ini,” katanya.

 

Gejala sosial

Sedar untuk menjangkau bilangan pelajar wanita bukan mudah, Afiqah berkata, dia perlu ada kerjasama dengan guru-guru kaunseling seluruh negara.

Mengulas belia terlibat gejala sosial, sama ada lelaki mahupun wanita, katanya punca utama disebabkan melihat video pornografi.

“Saya boleh kata, 90 peratus remaja sekolah kita yang lihat benda (porno) ni. Tambahan dengan wifi free, guna telefon bimbit tak dikawal oleh ibu bapa, sampai tak boleh belajar, terlanjur.

“Bila lihat jumlah yang ramai ini rasa nak menangis. Bila terlibat benda-benda macam tu, saya tanya soalan kedua pula, solat tak... 90 peratus juga yang tak solat. Jadi benda tu berkait, bila tak solat akademik pun jatuh,” katanya.

Menurutnya, dibimbangkan dengan isu timbul ini, generasi akan datang turut terjejas sekali gus boleh merosakkan negara.

Sebelum terlibat program dai di stesen televisyen lagi, Afiqah sudah menjalin kerjasama dengan JPN Kedah. Aktif dari sekolah, hubungannya dengan agensi itu berterusan hingga dia berada di universiti, apabila tiap kali cuti semester akan dijemput menyertai program-program anjuran JPN.

Antaranya programnya, jelajah akidah dan sahsiah,  pemantapan iman, majlis tilawah al-Quran bersama remaja sekolah, malah selepas dinobat dai, Afiqah lebih aktif bersama JPN dan setiap bulan terlibat aktiviti JKM.

Program bakal dijalankannya dalam masa terdekat Seminar Muslimah 1st Class khusus buat wanita muda Baling menyasarkan 600 ke 800 peserta lagi, diharap membantu merungkai permasalahan golongan itu.

“Apa nak capai dalam hidup bila jadi dai, pertama, nak bantu diri saya juga, kedua nak bantu adik-adik di luar sana. Tak belajar tinggi tak apa, yang penting ada matlamat nak jadi lebih baik,” katanya. -AG

 

Tip dari Da'i Afiqah untuk henti ketagihan lihat pornografi:

1) Sebut kalimah lahaulawalakuatailabillah. Niat ALLAH tutup hijab, jaga mata kita.

2) Jangan biarkan berseorangan bersama telefon bimbit.

3) Cas diri dengan mendengar perkara dan nasihat baik, ilmiah.