BAGI golongan wanita Islam sering berada di luar rumah atau di jalanan, tentu biasanya singgah di surau atau wakaf untuk solat.

Umpama jadi perkara biasa apabila telekung di situ sering kali terlihat kotor dan berbau, dek sentiasa digunakan secara beramai-ramai.

Dari masa ke masa dalam keadaan itu, ia tetap dipakai kerana merasakan 'ada orang akan cuci'.

Namun perkara itu sama sekali tidak dalam fikiran seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun ketika itu, sebaliknya meminta ibunya menggantikan telekung busuk tersebut, malah mencucinya hingga bersih.

Siapa sangka daripada terpaksa pada mulanya hasil 'gesaan' anaknya itu, Norazila Abdul Aziz kini menjadi pengasas kepada NGO kian dikenali, Pertubuhan Kebajikan Telekung Project (The Telekung Project - TP) yang kini mempunyai hampir 500,000 pengikut di laman Facebook.

"Anak sulung saya, Sofea Najihah Zulhelmy sebenar jadi pencetus di mana saya mulakan TP ini," ceritanya ketika memulakan bicara.

Mengimbau kisah tujuh tahun lalu, Norazila masih bertugas sebagai guru ketika itu tinggal di Puchong dan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Manjalara, Kepong, Kuala Lumpur.

Dengan trafik sesak perlu dihadapi setiap hari dari rumah ke tempat kerja, bekas cikgu kaunselor sekolah ini mendidik anaknya yang juga bersekolah di Kepong ketika itu untuk solat di wakaf.

Keluar seawal sebelum jam 5.30 pagi, balik pula paling tidak jam 8.30 ke 9 malam disebabkan waktu sekolah tamat 6.45 petang, jadi rutinnya ketika itu.  

"Biasa kita siap bawa telekung, itu normal, orang takkan sanggup pakai telekung wakaf. Tapi bila ada hari Sofea tertinggal telekung, dia tak mahu solat.

"Saya tanya kenapa, katanya sebab telekung tu busuk. Bila paksa, dia jadi 'solat dinosaur'. Dia tanya kenapa ‘orang tua tak cuci telekung?'. Soalan keduanya, 'Mama.. mama tak nak tolong cuci ke..? Mama kan kaunselor. Kena baik.' Masa tu saya rasa budak usia 7 tahun biasa akan tanya apa saja. Tak fikir apa, saya cuma fikir logik saja," katanya.

 

Mahu tunjuk teladan

Sebagai ibu mempunyai dua anak kecil, Norazila mengakui penat melanda menyebabkan kadangkala timbul rimas disebabkan Sofiea sering 'bising' bertanya berkenaan telekung yang kotor.

Mahu mendiamkan si anak dan menunjukkan teladan baik, dia bersetuju untuk menurutinya.

"Saya tanya Sofea sama ada nak cuci, dan dia bagi tahu 'nak'. Masa tu saya cuma kata OK nak cuci sekadar berharap dia berhenti di situ. Asalnya ‘saya menipu’, saya percaya jangan tak kata kita tak pernah tipu anak. Saya tak kata saya baik.

"Masa tu bukan nak cuci lillahi taala, hanya kerana anak. Dia punya perkataan ‘tolong', kenapa kita tak tolong cuci? Perbualan ini berlangsung seminggu, itu pun belum cuci, baru rancang," katanya.

Lucunya ada ketika, Norazila bertindak mengelak dari memandu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) untuk mengambil telekung berkenaan kerana merasakan tanggungjawabnya di sekolah saja sudah banyak untuk diselesaikan.

 Namun tak dapat lari dari desakan si anak, dia 'reda' kerana dalam hatinya sudah berniat telekung itu takkan cuci, cukup sekadar mengganti baru.

"Terlalu kotor nak dibasuh, jadi ia hanya ditinggalkan di rumah beberapa hari. Sofea pun asyik tanya, bila nak cuci. Sampai saya cakap kalau nak cuci, cuci dengan baju sekolah dia biasa rendam untuk basuh. Ingatkan dia serik.. tapi dia semangat.

"Sebab kesian saya tolong. Saya boleh cakap TP ini bentuk Azila Aziz melalui Sofea Najihah, walaupun saya seorang kaunselor. Baru sedar, selama ni kita ada ilmu, tapi kita praktis hanya untuk orang tengok luaran kita, dalam belum tentu," katanya.

 

Cuci sebab suka tolong orang

'Kenapalah aku buat kerja ni?' Rasa rugi berhabis sabun mahal untuk cuci telekung 'orang', namun disebabkan mahu 'berlakon' di depan anak bagi menyokong usahanya, Norazila tanpa berselindung mengakui itu yang terdetik dalam hati pada awalnya.

"Masa tu mula dengan lima pasang telekung untuk dibasuh. Bila dah basuh, tentulah berkedut, nak iron baju sendiri pun 'bercinta'. Sofea pun asyik tanya kenapa tak pulang balik. Telekung saya ganti sebelum ini pun dah jadi macam belacan.

"Masa letak telekung asal, saya dah rasa tak mahu buat sebab rasa tak ada masa. Tapi Sofea tanya, tak mahu buat lagi ke? Dia cadang ambil dan tukar balik. Masa tulah saya terfikir, apa sebenarnya... Sofea beritahu dia mahu buat macam ni sebab suka tolong orang," katanya.

Beberapa bulan projek rahsia mereka berdua itu dijalankan, Norazila merasa perubahan berbanding sebelumnya.

Jika dahulu setiap kali pulang dari sekolah terpaksa menghadap jalan sesak, namun disebabkan projek itu, dia dan Sofea sering singgah di R&R atau pusat beli-belah untuk menjalankan 'misi'.

Biasanya selepas berehat dan Isyak, projek ganti telekung bermula melibatkan beberapa lokasi dilalui mereka.

"Balik ke rumah pun laju saja banding sebelum ini stuck dalam kesesakan jalan, jadi bad mood dan marah-marah. Maknanya me time dengan anak tu pun lebih rapat, jadi banyaklah nilai-nilainya.

"Sampailah budak-budak makin tahun, pelajaran makin bertambah mulalah rasa penat. Lain macam kita, bila makin tua banyak buat pahala makin seronok, budak dia rasa dari projek jadi beban.

"Saya tanya kenapa tak mahu buat, kita pula bagi pressure kat dia. Pesan saya, kita dah mula, alang-alang seluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

"End up saya rasa lebih happy, kita dah tak kisah dah pasal kawan-kawan. Kita rasa macam rezeki, dengan anak-anak. Bila makin tua, kita rasa ini sebenarnya yang kita mahu," kata wanita berusia 39 tahun ini.

 

Impak media sosial

Lima bulan selepas Sofea mula penat, Norazila pula rasa sebaliknya, biarpun mulanya meragui sama ada mahu berhenti atau meneruskannya.

Terdengar tazkirah berkenaan ada kebaikan perlu disorokkan dan ada pula perlu disebarkan, menjawab persoalannya hingga memilih meneruskan TP.

"Sofea kena berhenti sebab dia ada tanggungjawab nak belajar, jadi sayalah perlu teruskan. Dah tempoh lima bulan, tapi rasa takkan nak buat macam ni saja. Macam mana nak outreach?

"Saya tak tahu apa pasal media sosial masa tu. Tapi banyak tolong ajar FB adalah student bermasalah, kena gantung sekolah. Budak begitu rasa dihargai bila kita minta tolong. Mungkin saya boleh tinggalkan 'jejak' pada hati student yang tolong tu," katanya.

Dari mewujudkan fanpage TP pada 14 Oktober 2011 dan tunjuk ajar kaedah menghebahkannya untuk dapatkan derma telekung, Norazila tidak menyangka impak dari media sosial diterimanya.

Asalnya dia hanya meminta derma lima pasang telekung untuk dibuat ganti bila menjalankan projek, tapi hanya dalam tempoh lebih seminggu, dia berjaya mendapat lebih 1,000 pasang telekung.

"Bayangnya dalam masa lebih sebulan dua, bilik atas rumah penuh telekung saja. Kami dah jadi masalah lain, nak buat apa banyak-banyak ni. Dari situlah, cari rumah anak yatim, orang susah, wakafkan ke surau, makin lama jadi makin besar.

"Mungkin ramai berminat dengan TP. Yang tak boleh bagi telekung nak bagi duit, tapi kita tak boleh terima duit macam tu saja, itu yang mula daftarkan TP. Sebagai guru kaunseling saya tahu masalah masyarakat. Jadi ada niat nak kongsi ilmu," katanya.  

Disebabkan kesibukan dengan TP dan khuatir berlaku 'curang tanggungjawab' sebagai guru, selepas kira-kira dua tahun menjalankan TP, Norazila nekad memilih untuk berhenti kerja.

Enam bulan gaji terakhir tidak berusik semuanya dilaburkan untuk TP, sebelum membuat keputusan berhenti dengan notis 24 jam selepas berbincang dengan bapanya, Abdul Aziz Jaafar, 64, yang banyak memberikannya sokongan.

Tidak sia-sia keputusan diambil, TP buat masa ini, bukan hanya menjalankan misi cuci telekung, namun kini berkembang dengan pelbagai projek amal membantu golongan memerlukan seperti orang susah dan anak yatim hingga ke luar negara.

"Cabaran saya cuma how to create awareness, bukan dana kerana insya-ALLAH ada saja sudi menyumbang. Harapan saya 24 jam yang ada nak buat sebanyak kebaikan termampu," kata graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berasal dari Pantai Remis, Perak dan dibesarkan di Shah Alam ini.

Sementara itu, Sofea anak sulung dari dua beradik kini berusia 14 tahun, menyifatkan kerja-kerja kebaikan dilakukan ibunya dan dia tidak akan terhenti walaupun sibuk dengan pelajaran.   

"Harapan Sofea semua dapat membantu bersama tanpa mengira siapa, bangsa dan agama. Kalau boleh bersatu buat kebaikan.

"Saya cuma mahukan satu tempat selamat untuk semua orang," kata pelajar SMK Shah Alam bercita-cita menjadi guru bahasa Inggeris ini. -AG