SIAPA sangka dari sekadar suka-suka membantu masyarakat sejak empat tahun lalu, chef ini kini dikenali sebagai sukarelawan, malah menubuhkan badan amal sendiri.

Menariknya, kelebihan diri sebagai tukang masak digunakan bukan setakat membantu berkaitan makanan, tetapi meluangkan masa dan tenaga untuk pelajar istimewa dan orang gelandangan.

Pengasas Merci Culinary atau lebih dikenali sebagai Merci Chefs Malaysia, Chef Abdul Aziz Juhari berharap NGO digerakkannya tidak berhenti setakat itu, malah lebih berkembang pada masa akan datang.

“Alhamdulillah aktiviti kita setiap bulan sekarang dengan anak-anak Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di tiga sekolah kebangsaan sekitar Lembah Klang. Kita buat berterusan dan monitor.

“Anak-anak ini banyak istimewanya, kita buat kelas masak-masak, adakan pertandingan macam rancangan ‘Master Chef’. Sekolah itu pun memang perlukan sokongan NGO dan sukarelawan. Secara tak langsung kita bantu anak-anak ini tingkatkan keyakinan diri, berinteraksi. Ini juga terapi buat mereka, bila dapat peluang tu, mereka gembira sangat,” katanya.

Selain itu menurutnya, Merci Chefs atau Pertubuhan Kulinari Amal Selangor iaitu nama NGO didaftarkan dengan ROS ini juga banyak membuat program dengan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan bekerjasama dengan NGO lain.

Tidak sekadar keperluan jasmani memberi makanan, Aziz berkata, elemen kerohanian diterapkan terutama kepada golongan gelandangan beragama Islam.

“Bila makan kita buat doa selamat seperti di kawasan Chow Kit sejak tiga tahun lalu sampailah sekarang. Dalam aktiviti dengan gelandangan juga, kita buat sesi temuramah suai kenal dan kita ambil budak-budak ni serapkan dalam industri.

“Kita kenal pasti dalam sekitar 100 orang dari usia 18 hingga 45 tahun, dari jumlah itu 20 daripadanya kita dah bantu berjaya dapat pekerjaan, 10 orang dah berjaya ada jadi chef, dapat kerja di premis. Bila ada dapat kerja, dah keluar dari rakan gelandangan, itu antara kejayaan kita setakat ini,” katanya kepada Cakna Sinar.

 

Banjir di Kelantan

Mengimbau peringkat awal sebelum penubuhan Merci Chefs, Aziz berkata, pada mulanya dia sendiri rasa terpanggil untuk membantu ketika banjir besar melanda negeri-negeri di Pantai Timur pada tahun 2014, khususnya di Kelantan.

Tersentuh hatinya semasa  meninjau lokasi bencana tika itu di mana sebahagian makanan mentah terbiar kerana tiada siapa memasak disebabkan tiada kemudahan, hingga banyak bahan masakan itu rosak.

“Disebabkan itu, kami sepakat seramai 18 orang satu tim turun sana tolong masak. Kami bawa semua keperluan dan peralatan, dalam sehari kami masak kira-kira untuk 10,000 orang.  Sebenarnya idea nak ke sana kerana kita tak pernah kena macam tu, banjir besar, tenggelam semua stesen minyak, air setinggi sampai separuh bukit.

“Bila bincang kami semua ambil cuti untuk tunaikan servis sosial di sana. Kami berkampung dalam tempoh tiga bulan di situ. Misalnya di Kuala Krai, Kubang Kerian, kami mulakan misi sampai dapat bantu mereka buat enam rumah mangsa daripada dana sumbangan berjaya dikumpulkan.  

“Bukan setakat makanan, pakaian, keperluan asas, barangan kesihatan, dari situ kami rasa boleh teruskan kerja-kerja begini kerana antara chef ini asalnya hanya pergi dan balik kerja, rasa apa sumbangan kita pada masyarakat?,” katanya.

Hingga kini Merci Chefs mempunyai pelbagai unit untuk menjalankan operasinya dan sejak ditubuhkan mempunyai lebih kurang 2,000 ahli dan 300 ahli berdaftar.

Daripada jumlah ahli berdaftar pula, menurutnya 50 daripadanya aktif  pada bila-bila masa bersedia menjalankan tugasan.

“Buat masa ini pertubuhan chef banyak, tapi kita tak nampak lagi yang jalankan kerja amal menyentuh masyarakat sebegini.

“Kami antara NGO chef buat masa ini jalankan kerja amal sebegini. Harap ia dapat diteruskan dan berkembang,” katanya.

Antara terbaru, pihaknya diketuai Chef Md El'Dorado Chong memberi bantuan makanan pada penduduk di Kampung Air Likas, Sabah terlibat kebakaran yang membabitkan kira-kira 672 mangsa dalam kejadian hujung Julai lalu.            

 

Bantu mudahkan urusan orang                

“Sebab saya daripada keluarga orang susah, bila lihat orang lain susah, kita ada satu perasaan,” kata anak kepada pekerja lombong dan pekerja kilang besi berasal dari Batu 11, Puchong, Selangor ini.  

Semasa kecil sering mengikut bapa dan ibunya bekerja, dari situ Chef Aziz melihat kesusahan orang lain, malah meneladani  bapanya yang suka membantu walaupun diri sendiri bukan kalangan berada.

Tidak hairanlah dengan usaha anak keenam daripada tujuh beradik ini membuka rangkaian restoran sendiri, sedari di bangku sekolah dia sudah membantu menjual kuih-kuih tradisional Melayu dimasak ibunya yang membuat kuih selepas pulang dari bekerja di kilang.

“Kita nampak kepayahan orang tua kita. Bapa saya suka tolong orang, walaupun kita sendiri susah tapi dia ajar saya, jangan buat susah sangat... Jika kita pun susah, kita bantu untuk mudahkan orang lain.

“Kebetulan saya nak jadi chef sebab minat masak dan bagi orang makan. Habis SPM terus kerja di restoran bantu keluarga.  Kemudian 2001 dapat tawaran syarikat  kerja dan ambil pengajian sarjana dalam bidang F&B kolej di London, sebelum sambung study di Australia dan Sepanyol, tujuh tahun di sana,” katanya yang mahir dalam bidang masakan Itali dan cuisine ini.

Ditanya cabarannya dalam mengendali pertubuhan diasaskannya itu sejak kira-kira empat tahun lalu, baginya cabaran ada di mana-mana, walau apa pun bidang yang diceburi.

Namun bagi Aziz, cabaran didepani pihaknya adalah untuk mendapatkan dana bagi menggerakkan aktiviti NGOnya dan percaya rata-rata pertubuhan amal lain juga berdepan isu sama.

“Masa mula-mula tu saja rasa susah. Sekarang kalau berlaku bencana, bila-bila masa kita bersedia. Kita ada kerjasama dengan Food Aid Foundation, yang boleh tolong kita dari segi barang-barang sumbangan, kita ada kerjasama. Kita juga ada banyak hotel yang beri sokongan kita.

“Tapi fokus kita bukan bencana saja, selain itu kami juga membantu, anak-anak yatim, asnaf, di mana kita berikan mereka latihan dan kemahiran memasak. Kita kerjasama dengan Malaysia Chef Association, kalau ada kerja amal mereka akan panggil kita,” kata Aziz yang mengakui mendapat kepuasan daripada kerja amal dijalankannya setakat ini.

Menurutnya, dalam masa terdekat pihaknya akan bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mewujudkan kor kulinari khas membantu semasa bencana sahaja.

Aziz berkata, aset kemudahan yang ada di jabatan tersebut akan dimanfaatkan untuk misi khususnya dalam negara.

“Dalam kor ini kita ada 12 platun, di mana kita libatkan penuntut daripada IPT. Kita nak latih mereka khususnya buat penuntut jurusan kulinari ini dari awal apa itu khidmat sosial.

“Ambil penuntut lagi senang dari yang bekerja. Yang bekerja pula kita akan lantik mereka sebagai platun komander. Setiap komander ada 12 penuntut di bawah mereka,” katanya.

 

Mahu tarik sukarelawan

Berpandangan jauh apabila memulakan NGO ini, Aziz berkata, apabila sampai satu peringkat, perlu ada inisiatif melihat  keperluan bantuan lain pula untuk yang memerlukan.

Berhasrat membawa lebih ramai sukarelawan baharu dalam NGOnya, menurutnya ia perlu memandangkan pihaknya mempunyai pelbagai bahagian dalam memberi bantuan dan bukan hanya tukang masak.

“Untuk itu kita juga banyak kerjasama dengan NGO lain. Perancangan masa depan seperti dengan PKKI, anak-anak istimewa itu juga sebenarnya boleh berjaya seperti anak lain. Ada pandai masak dan ada kecenderungan.

“Kita juga mungkin rancang buka peluang kerja di restoran untuk anak-anak OKU, sebab usaha kita ini berterusan. Jadi memang saya perlukan lebih ramai sukarelawan sertai aktiviti kita dan alukan mana-mana NGO atau korporat berminat kerjasama dengan Merci Chefs,” katanya.

Biarpun bukan kewangan, menurut Aziz apa boleh diperoleh sukarelawan menyertai NGOnya adalah pengalaman berharga.

Katanya, terbaharu ahli NGOnya juga dihantar membantu memasak untuk jemaah yang pergi menunaikan haji pada tahun ini.

Mereka berminat menyertai Merci Malaysia boleh menghubungi dan mendapatkan keterangan lanjut di Facebook, Merci chefs Malaysia. -AG