KANSER penyakit yang amat digeruni manusia. Kedahsyatan penyakit, rawatan serta kesan sampingannya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi orang dewasa apatah lagi oleh kanak kanak belum mengerti apa-apa.

Apabila seseorang kanak-kanak mengidap kanser, seluruh keluarganya turut terjejas. Ibu biasanya terpaksa berada berbulan-bulan di hospital bersama anak sakit secara berterusan dan dengan itu terpaksa meninggalkan anak-anak lain di rumah.

Bapa pula tidak dapat bekerja seperti biasa kerana terpaksa membahagikan masa antara tempat kerja-rumah-hospital. Adik-beradik pula terabai sekiranya tidak mempunyai sistem sokongan yang mantap.

Masalah kewangan pula sudah pasti menghambat kerana kos rawatan tinggi dan berterusan. Ia bertambah teruk apabila salah seorang daripada ibu bapa terpaksa berhenti kerja atau bercuti tanpa gaji.

Prihatin kesulitan dihadapi, Persatuan Sokongan Kanser Kanak-kanak Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia PPUKM (Cakne), tampil untuk membantu khususnya pesakit kanak-kanak ditempatkan di PPUKM.

Pengerusi Cakne, Nor Hashimah Sulaiman berkata, antara perkhidmatan ditawarkan Cakne buat masa ini adalah seperti memberikan sumbangan starter kit pesakit kanser untuk semua pesakit memulakan rawatan di wad.

"Selain itu, kita juga turut memberikan sumbangan kepada yang memerlukan untuk sara hidup, tambang/ kos pengangkutan untuk rawatan intensif, sumbangan sekali sekala (ad hoc), sumbangan hari perayaan seperti Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina dan lain-lain.

"Selain itu, Cakne juga memberikan sumbangan belanja pengebumian, menaja sebahagian atau keseluruhan kos peranti perubatan seperti PICC, Chemopod dan turut ziarah ke wad dan di rumah, selain meraikan majlis hari jadi anak ahli pada setiap bulan," katanya.

Menurutnya, matlamat Cakne adalah bagi membantu pesakit kanser kanak-kanak dan keluarga mereka tanpa mengira bangsa, agama atau keturunan.

Hashimah berkata, ia juga diharap dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pesakit kanser kanak-kanak dan ahli keluarga mereka berkenaan sakit dihadapi, selain pengetahuan orang ramai dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan ahli, khususnya dan anggota masyarakat amnya.

 

Suasana kondusif

Terbaharu, Cakne menganjurkan Program Hari Keluarga Cakne untuk kanak-kanak kanser dan ahli keluarga yang masih berjuang serta keluarga kanak-kanak kanser yang telah pergi dahulu menemui Pencipta.

Program dilaksanakan selama dua hari membabitkan penyertaan 40 keluarga dengan 25 kanak-kanak kanser dari HUKM, melibatkan 200 peserta itu diadakan bertempat di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pelbagai acara diadakan termasuk majlis tahlil dan solat hajat, senamrobik, sukaneka, pertandingan mewarna, tarik tali dan sambutan hari lahir.

Pengarah Program Hari Keluarga, Rusdi Mat Nor berkata, harapan pihaknya agar   program itu dapat memberi kegembiraan setelah sekian lama berada di hospital dan merasai suasana kondusif dan  terapeutik sebagai salah satu terapi khususnya kepada kanak-kanak kanser serta ahli keluarga.

"Ia juga memberi peluang kepada ahli keluarga pesakit kanser berkenalan dan berkongsi pengalaman," kata Rusdi.