SEJAK hampir 10 tahun lalu, kehidupannya banyak dihabiskan dengan melakukan kegiatan kesukarelawan sebahagian besarnya secara individual dan selebihnya mengikut misi amal serta program badan-badan bukan kerajaan (NG0).

Banyak NGO disertainya sebelum ini dengan nawaitu yang satu iaitu mahu membantu bukan sahaja golongan susah di dalam, malahan sebahagian besarnya di luar negara.

Dia tidak menafikan ada tertanya, malah mungkin juga mempertikaikan, mengapa masyarakat luar negara jadi destinasi pilihannya untuk membantu.

Mengimbau 'sejarah' penglibatannya dalam kerja-kerja amal, sebelum ini hobinya gemar mengembara ke luar negara hanya bertujuan untuk menikmati pemandangan dan pengalaman di negara orang, namun sejak beberapa tahun lalu, hatinya terdetik mengisi 'nilai tambah' dalam ekspedisi.

Berpeluang mengenali badan bukan kerajaan (NGO) Dana Madrasah Kemboja, jadi titik tolak buat Roselina Hussein apabila buat pertama kali dalam pengembaraannya pada 2011, dia dapat melancong samping menyumbang bakti.

Tidak hanya bercuti 'kosong' sebaliknya semenjak mengikut badan amal itu, sehingga hari ini setiap kali mahu bercuti ke luar negara, Roselina akan meletakkan matlamat untuk melakukan amal yang diset dalam diri.

"Semasa ikut Dana Madrasah Kemboja, saya berpeluang menjadi peserta untuk program pengagihan daging sempena Raya Korban melalui kutipan dana dari rakyat Malaysia.

"Kalau dulu pergi melancong hanya suka-suka, gemar ambil gambar, alhamdulillah sejak itu, sebab saya suka travel, bila pergi tempat orang mesti ada matlamat untuk memberi (sumbangan), baru rasa puas," kongsinya dengan Cakna Sinar.

 

Bantuan rakan

Terbaharu dalam program amal bersama Sinar Harian, Sinar4Rohingya, pengusaha tadika Islam dan sekolah rendah swasta ini melalui Persatuan Tadika Islam (Pertim) turut menjayakannya.  

Peluang dibuka Pertim untuk ahlinya terlibat program persatuan itu pada setiap tahun, dengan fokus membantu pelarian Rohingya tahun lalu turut diambilnya. Menariknya Roselina sendiri mengelolakan kutipan amal melalui penjualan patung beruang (teddy bear) bagi mengisi tabung untuk mangsa pelarian itu.

"Program teddy bear itu pun dalam masa tiga ke empat bulan, bila dah capai sasaran kutipan kita tutup. Masa tu kita pergi sekali menyampaikan sumbangan.

"Syukur kawan-kawan juga ramai membantu, terutama bila kita sebar di media sosial. Bila tahu saya akan pergi ke sesuatu negara untuk sampaikan sumbangan, ramai mahu menyumbang, misalnya untuk membantu pelarian Rohingya baru-baru ini," kata wanita berusia 56 tahun berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan kini tinggal di Shah Alam ini.

Tidak menjadikan faktor usia sebagai halangan menabur bakti, Roselina gembira di samping hobinya gemar mengembara sambil beramal itu, dia menemui ramai rakan baharu memahami 'tugasnya' yang turut sama mahu beramal.

Hanya mendengar cerita dan tidak melihat sendiri penderitaan orang lain, mungkin belum mampu menjentik hati. Itu berlaku pada Roselina apabila kunjungannya semasa misi kali pertama ke Kemboja.

"Pertama kali travel di Kemboja rasa terkejut, nak banding kesusahan kita, bila lihat kesusahan mereka yang kekurangan dari segi pendidikan dan kemiskinan,  memang rasa banyak mereka perlukan.

"Masa tu ramai membantu, tapi saya masih nak menyumbang, sebab lain orang, lain misi dan objektif.

"Saya lebih tumpukan dalam bidang pendidikan. Masa tu tak ada lagi tadika Islam di kemboja. Jadi di Prey Tenong Kampot, Kemboja kami set up satu. Selepas dua tiga kali ulang alik, pada 2012 baru kita dapat bina," katanya.

 

Seru cari orang susah

Apa juga dilakukan dalam hidup ini pasti ada cabarannya sekalipun untuk membuat kebaikan. Roselina turut tidak dapat lari daripada berdepan realiti tersebut.

Pernah menjadi peserta NGO antarabangsa seperti Aman Palestine dengan terlibat lawatan ke Gaza sempena 25 Hamas dan pada 2012 hingga 2013 dan Malaysia Life Line For Syria (MLLFS), melawat kem pelarian di sempadan Syria-Jordan pada 2013, dia juga sering menerima maklum balas segelintir mereka mempertikaikan usaha bantu masyarakat lain di luar negara.

"Sama juga seperti orang Rohingya kita bantu, saya dapat banyak juga komen yang kata kat Malaysia ramai lagi orang susah. Orang tanya kenapa nak pergi jauh-jauh?

"Pada saya di mana-mana pun ramai susah. Tapi mungkin macam Rohingya ni, kalau saya tak sampai ke sana, mungkin saya tak rasa sebagaimana saya rasa sekarang kan?

"Macam kita negara berdaulat dan merdeka, ada kerajaan, raja, tanah air, keluarga, orang Rohingya tak ada semua tu. Jadi siapa nak bela atau tolong mereka.

"Jadi secara peribadi kalau orang komen begitu, dalam hati saya niat begitu saja. Kalau semua kita semua fikir macam tu... tapi saya nak tanya, kalau anda kata orang Malaysia ramai susah, awak tolong tak? Kadang ramai tanya macam tu, tapi dia tak buat (membantu) pun," katanya.

Menurutnya, harapannya kepada masyarakat supaya dapat memberi sumbangan dalam bentuk apa saja, tidak semestinya wang ringgit.

Malah tidak ketinggalan membantu masyarakat dalam negara, Roselina sendiri yang mempunyai latar belakang dalam bidang arkitek turut menyumbang ilmunya mereka bentuk penempatan sementara untuk mangsa banjir di Kelantan semasa program bersama Pertubuhan Kembara Amal (Peka) pada 2014.

Selain itu, beliau juga pernah membantu pembinaan rumah kekal di Kuala Krai (Pertim) dan pondok madrasah bersama pihak Pondok Sg Durian, Kelantan pada 2015.

 

Perubahan pendidikan

Tidak menolak bahawa orang susah perlu dicari dan dibantu, namun Roselina percaya ia juga perlukan pantauan supaya matlamat bantuan tersebut tercapai.   

"Sebab tu kita dalam setahun, tiga empat kali saya ke Kemboja untuk pantau tadika di sana. Kita tak boleh kutip dana dan tinggalkan, perlu sentiasa bimbing kerana di situ saya sebagai penasihat.

"Macam minggu depan (minggu ini) kita nak pergi lagi ke Kemboja untuk cat bangunan. Selain itu, kita tengok keperluan, baik pulih, buat training dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, sama juga situasinya dengan banyak bantuan pembinaan masjid dan madrasah di negara-negara dibantu, sekiranya tiada kesinambungan seperti penambahan ilmu, ia dikhuatiri 'pencapaian' tidak ke mana.

Ditanya apa diperolehnya apabila membuat kerja-kerja amal, bagi Roslina ia adalah kepuasan yang sukar digambarkan walaupun usaha sikit, tetapi tetap mahu melihat kemajuan mereka yang telah dibantu.

"Bagi saya, kita hanya dapat lihat perubahan melalui pendidikan. Bila ada pendidikan, kita akan dapat tambah baik cara hidup, kemahiran dan sebagainya.

"Sampai bila nak buat kerja-kerja sukarela? Saya rasa ia bawa sesuatu bermakna dalam hidup. Bagi saya bila ALLAH bagi rezeki lebih, kita tak boleh tunggu orang datang meminta pada kita, kita sendiri perlu pergi mencari mereka.

"Selama ALLAH bagi kesihatan insya-Allah, saya akan teruskan walaupun sumbangannya kecil. Tapi yang kita nak ALLAH pandang," katanya.

Dalam kesibukannya menguruskan tadika dan sekolah, ibu kepada tiga anak berusia 23, 27, 31 tahun ini kadangkala turut sama membawa anak-anaknya dalam kerja-kerja kebajikan dijalankan.

Roselina turut mengajak masyarakat bersama-sama menyertai kegiatan kesukarelawan.

"Orang hanya biasa fikir ada duit, baru boleh bantu orang lain, Tapi bukan hanya duit, idea pun misalnya boleh membantu. Kita hanya look forward macam mana nak bantu orang.

"Macam sekarang dah nak dekat puasa dan raya, anda boleh rancang apa yang boleh bantu dan di mana," katanya.

Pada 2016 Roselina turut terlibat sebagai tulang belakang dalam anjuran larian amal untuk mengumpul dana pendidikan anak-anak Syria di bawah Persatuan Sinar Damsyik (Persidam) dan agihan korban di Vietnam (Pertim).

Tahun ini, melalui program Sinar4Rohingya, dia turut sibuk dalam urusan menubuhkan tadika di kem pelarian Balukhali di Cox's Bazar, Bangladesh.