MENYAMBUT ulang tahunnya yang ke-20, dan dalam usaha memberikan bantuan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik serta anak-anak yatim di negara ini, Yayasan Kebajikan Budimas (Budimas) terus komited menjayakan misi berkaitan.

Pemegang Amanah Budimas, Datin Seri Maneesah Tunku Iskandar berkata, ia diharap mampu membantu meningkatkan taraf hidup dan potensi diri sendiri golongan terbabit untuk menghadapi masa depan lebih cerah.

"Pihak Budimas amat berbangga apabila kerja keras kami selama ini dengan bantuan dan sokongan orang ramai, telah membuahkan hasil sangat membanggakan apabila beberapa anak Budimas berjaya menempatkan diri mereka di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), beberapa bulan yang lepas.

"Budimas merealisasikan usaha ini melalui tiga program terasnya iaitu, Budimas Home Charity Fund (BHCF), dana untuk membantu rumah-rumah kebajikan di bawah seliaan Budimas; Budimas Food Charity Fund (BFCF), dana untuk bantuan sarapan, kepada pelajar-pelajar sekolah kurang berkemampuan dan Budimas Education Charity Fund (BECF), dana untuk meningkatkan tahap pendidikan kanak-kanak, di penempatan Orang Asli," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis rumah terbuka sambutan Hari Raya Aidilfitri Budimas di Dewan Besar, Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Melewar Group Berhad, Tunku Datuk Seri Iskandar Tunku Abdullah; Pemegang Amanah Yayasan Kadir dan Fatimah, Datuk Ali Kadir dan pemegang-pemegang amanah Budimas.

Dalam pada itu, Maneesah berkata, sebagai pemegang amanah Budimas, beliau amat yakin dengan program-program dijalankan oleh Budimas bermatlamat membantu kanak-kanak kurang berkemampuan, menggunakan pendekatan lebih mesra agar mereka tidak berasa terpinggir dan terasing.

"Diharapkan, dengan pembabitan anak-anak dalam pelbagai program dirancang ini, akan menaikkan semangat mereka memajukan diri sendiri dan menjadi lebih yakin mengharungi masa depan.

"Pihak Budimas akan sentiasa berusaha untuk memberi panduan, galakan dan sokongan kepada anak-anak untuk memastikan masa depan yang penuh dengan harapan untuk mencapai impian masing-masing," katanya.

 

Rai empat anak rumah amal

Terdahulu, sambutan majlis Aidilfitri meraikan kanak-kanak dari empat rumah amal dengan lebih daripada 200 anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik berusia 3 hingga 18 tahun.

Rumah Amal itu ialah Asrama Damai Rumah Anak-Anak Yatim Kuang, Pertubuhan Anak Yatim Dan Kebajikan Darul Izzah Bangi dan Baitun Nurrawdhah dan Pusat Jagaan Kebajikan Kanak-Kanak Budimas Orion.

Selain majlis makan malam, turut diadakan pelbagai aktiviti untuk peserta kanak-kanak seperti pertandingan reka bentuk dan menghias kuda kepang, selain pemberian duit raya.  

 Maneesah berkata, beliau percaya majlis diadakan antara peluang untuk masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan latar belakang, dapat bersama-sama berkongsi keceriaannya.

Pegawai Budimas, Anne Rajasaikaran berkata, pihaknya berharap dapat berkongsi dengan mereka memerlukan dan golongan tersebut tahu bahawa mereka tidak diabaikan, terutamanya semasa musim perayaan ini.

"Pasukan kami percaya dengan semangat perkongsian dan keprihatinan terutama pada masa ini kerana biasanya tika ini kanak-kanak kurang bernasib baik ini memerlukan lebih banyak kasih sayang dan perhatian.

"Oleh itu, kami berharap lebih ramai individu dan badan korporat dapat tampil untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik," katanya.

Yayasan Kebajikan Budimas kini menyokong 32 rumah kebajikan di lapan negeri di Malaysia; Di bawah BHCF, bangunan dan operasi perpustakaan untuk anak-anak Orang Asli melalui dana BECF serta menyediakan sarapan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di 107 sekolah di seluruh Malaysia.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, log masuk ke www.budimas.org.