AKTIF dengan pelbagai program diatur Komuniti Perkumpulan Wanita (Perwani) Shah Alam, terbaharu kumpulan ini menambah skop menghulurkan tangan dengan projek Sumbangan Wakaf Perigi Perwani Shah Alam di Kemboja.

Pengerusinya yang juga Penyelaras Rangkaian Perwani Shah Alam, Radziah Ahmad tidak menyangka, cadangan projek asalnya dimulakan dengan makluman kepada kumpulan kecilnya, akhirnya berjaya mendapat sambutan.

"Saya sasarkan asalnya lima perigi, kemudian naik 15. Lepas dapat sambutan, sekarang dah 54 perigi di Kemboja kita bakal bina di pelbagai kawasan. Alhamdulillah ada 160 penyumbang daripada rakyat Malaysia seluruh negara.

"Kutipan projek perigi ini kita buat November lalu hanya dalam tempoh sebulan untuk mereka bagi nama dan menyerahkan sumbangan. Kita buat perigi ini secara berfasa. Insya-Allah April nanti semua perigi ini akan siap sepenuhnya," katanya kepada Sukarela ketika kunjungan ke Kumpulan Media Karangkraf, di Shah Alam, Selangor, sejurus pulang dari Kemboja, baru-baru ini.

Difahamkan lebih kurang 253 nama penderma wakaf diabadikan dalam plat yang diletakkan di perigi dibina di bawah projek Perwani Shah Alam, yang julung kali dijalankan Perwani di Malaysia ini.

Ditanya sebab Kemboja menjadi lokasi untuk dibantu pihaknya dari segi sumbangan binaan perigi dengan anggaran kos RM1,100 setiap satu itu, Radziah berkata, ia disebabkan sumber air sangat susah didapati menyebabkan penduduk di situ kekurangan bekalan sumber air bersih.

"Jadi kita rasa wajar bantu dari sudut kemanusiaan. Kalau di Malaysia pun kita kata air perigi tak berapa elok, tapi bila gali lebih ke dalam, kita akan uji dahulu tahap keselamatan bagi memastikan sumber air bawah tanah di situ selamat digunakan.

"Ramai di sini yang bantu buat perigi pun, tapi kita dari Perwani NGO yang pertama bantu dari segi ini. Kita kerjasama dengan Jabatan Mufti dan Jabatan Pembangunan Islam Kemboja dan projek ini di dokong kerajaan di situ," katanya.

Mengulas turun padangnya ke Kemboja baru-baru ini melalui pihak kedutaan, menurutnya kebanyakan mereka memerlukan bantuan kemudahan perigi di kawasan berkenaan yang dibantu pihaknya itu adalah umat Islam.

Selain berkesempatan melihat 10 perigi sudah siap, Radziah dan jawatankuasa serantanya berkesempatan melawat murid dan pelajar sekolah di sana dan menyampaikan sumbangan di situ.  

Perwani Terbaik

Perwani Shah Alam antara ikon Perwani aktif di negara ini dengan pelbagai aktiviti, malah telah dianugerahkan Perwani Terbaik Malaysia pada tahun lepas.

Lima tahun mengendalikan Perwani Shah Alam, Radziah berkata, antara acara mingguan dijalankan oleh pihaknya adalah program mengaji.

"Tumpuan Perwani lebih kepada aktiviti kemasyarakatan. Kita jadi mata dan telinga. Kebanyakan tumpuan program kita buat melibatkan syarikat konglomerat GLC, surau, masjid dan sebagainya.

"Banyak program kita buat untuk setiap kali sambutan acara-acara tahunan seperti bubur lambuk Ramadan, program masakan, bimbingan kaunseling dan lain-lain lagi," katanya yang mempunyai kumpulan imarah al-Quran seluruh Malaysia dengan lebih 260 ahli.

Terdahulu menurutnya, program wakaf perigi yang mendapat respons menggalakkan itu setelah ia disebarkan dalam kumpulan imarah yang mengguna pakai konsep mengaji melalui grup WhatsApp itu.

Dalam pada itu, Radziah sangat mengalu-alukan sumbangan daripada pihak prihatin untuk menghulurkan bantuan khususnya bagi menjayakan program khatam al-Quran dan kenduri rakyat akan diadakan di Kemboja sempena projek perigi yang siap nanti.  

"Pada 30 Mac nanti saya akan pergi sekali lagi ke sana. Siri-siri khatam sebelum ini kita adakan di serata lokasi di Malaysia. Untuk siri kelima kali ini kita bercadang buat di Kemboja pula.

"Kos 'tumbang' lembu duit kita lebih kurang RM2,800. Kita pun sedang fikir mana nak dapat sumbangan. Kalau ada anak yatim, orang susah kita nak bagi sumbangan juga. Kata wakil, tak galakkan sumbang baju, tapi telekung remaja, muqaddam, barang sekolah, kain lelaki dan perempuan. Jadi siapa nak menyumbang barangan dan wang ringgit sebelum kita pergi ke sana sangat digalakkan," katanya.  

Menurutnya, tidak terhenti setakat ini, pihaknya juga bercadang meneruskan projek wakaf perigi sekiranya ia masih mendapat sambutan menggalakkan.