BADAN dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Resolusi 54/120 tahun 1999 mengisytiharkan tarikh 12 Ogos sebagai Hari Belia Antarabangsa.

Hari tersebut diperuntukkan khas oleh PBB bagi meraikan dan mengiktiraf sumbangan aktif belia di seluruh dunia kepada pembangunan masyarakat global.

Jika di peringkat kebangsaan, tidak dinafikan ada ramai belia kita berjaya dalam bidang masing-masing, yang boleh dijadikan sumber inspirasi dan teladan kepada belia lain untuk diikuti.

Namun sudahkah ada wakil belia kita yang pencapaiannya boleh dibanggakan hingga ke peringkat antarabangsa dan dunia? Setakat ini carian di dunia maya, bilangannya hanya boleh dibilang dengan jari! Moga lebih ramai belia kita mampu membanggakan negara dan berfikir hingga di ‘luar kotak Malaysia’ yang mampu memberi inspirasi positif pada dunia.

Masih belum terlewat, sempena Hari Belia Antarabangsa sekali gus sambutan Hari Kebangsaan Ogos ini, Cakna Sinar minggu ini mengetengahkan individu Cakna, wakil dan NGO berkaitan belia.

Sebut saja soal belia, figura paling tergambar di fikiran sudah tentulah pemimpinnya. Mahu tak mahu, kita harus mengakui situasi politik baharu negara masa kini juga memberi kesan kepimpinan terhadap golongan adrenalin deras ini.

Jika sebelum ini bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang memegang tampuk pimpinan belia sejak Mei 2013 dilihat berjaya membawa sebahagian besar belia dengan auranya yang tersendiri, kini tumpuan beralih kepada kepimpinan baharu pula, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

 

Menteri termuda

Merupakan menteri termuda dalam sejarah politik Malaysia yang dilantik pada usia 25 tahun, Syed Saddiq dilahirkan pada 6 Disember 1992 ini contoh terdekat ikon belia boleh dibanggakan negara.

Kepimpinannya terbukti apabila bergelar Ahli Parlimen Muar dan Ketua Armada bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Beliau merupakan pemegang rekod dunia dalam sejarah Kejohanan Debat Universiti Dunia dan pendebat terbaik Asia tiga kali berturut-turut.

Selain Asia, Saddiq merupakan pendebat terbaik tiga tahun berturut-turut (2012-2014) dan pendebat terbaik bagi Australasia, Cambridge dan Oxford Inter Varsities Debate Championship (ESL).

Beliau adalah individu Asia pertama yang dilantik sebagai Ketua Hakim untuk Cambridge InterVarsities di UK. Malah beliau juga merupakan Ketua Hakim bagi Kejohanan Debat Universiti Dunia di Belanda.

Saddiq telah dijemput untuk mengadakan seminar di lebih dari 25 negara seperti Afrika Selatan, Pakistan, Filipina, Taiwan, China, Qatar dan lain-lain untuk mengajar debat dan pembangunan belia. Beliau juga telah bercakap di TedxYouth dan pelbagai simposium anti-rasuah.

Sumbangan beliau terhadap dunia perdebatan dan pembangunan belia telah diiktiraf melalui Anugerah Perdana Belia yang berprestij bagi belia di Malaysia.

Memetik perkongsiannya bersama majalah terbitan Kumpulan Media Karangkraf, Syed Saddiq berasal dari Johor Bahru dan bekas penuntut jurusan Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini sememangnya sangat kuat bekerja.

Pernah membuat lima kerja sambilan, pada masa sama memfokuskan pergerakan belia, beliau giat menyertai mana-mana pergerakan atau organisasi berjuang secara aktif khusus isu-isu berkaitan belia.

“Saya orang yang bangga menjadi anak Malaysia. Ini semua disebabkan semangat patriotisme telah dididik sejak bersekolah di Maktab Tentera Diraja (RMC).

“Setiap pelajar RMC akan ‘dibasuh’ supaya mencintai negara. Dan ternyata ia berjaya mengubah diri saya ke arah lebih baik,” kata bekas pelajar di Maktab Sultan Abu Bakar (English College) ini.

Menarik dan cukup memberi inspirasi. Dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan 2 Julai lalu, beliau kini giat berjumpa dan mengatur rundingan dengan pimpinan-pemimpin belia tempatan dan belia peringkat akar umbi dalam menggerak serta mengangkat martabat anak muda di seluruh negara. Pasti ada matlamat mahu dicapainya ke arah ini.

Ke mana agaknya hala tuju belia hendak dibawanya dengan pelbagai isu mendepani belia kini?

 

Isu utama anak muda                

LGBT, ketagih gajet, dadah, perlu kerjasama masyarakat untuk tanganinya. Bagi meningkatkan jati diri belia negara sejajar matlamat Hari Belia Antarabangsa, isu utama golongan tersebut pada hari ini perlulah ditangani sebaiknya.

 

Gejala LGBT

Panas diperkatakan akhir-akhir ini berhubung gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), golongan belia tidak dapat lari dikaitkan dengan majoriti terjebak isu tersebut.

Aktivis Motivasi Penghijrahan LGBT, Harry Zulkifli, 26, tidak menafikan sejak berhijrah dua tahun lalu dan membantu menangani kes LGBT bersama pendakwah bebas, Ebit Lew, dia cuba berjumpa seramai mungkin golongan mak nyah.

“Setakat ini dah jumpa lebih daripada 50 mak nyah. Kalau cakap pasal belia terlibat LGBT, jumlah mereka saya jumpa memang ramai dan saya dapat lihat bila pergi ke IPT-IPT.

“Isu ini pun dah lama, cuma ia hangat bila diprovokasi. Pada saya kena mula buat aktiviti dengan golongan ini. Pihak sekolah, kerajaan harus mula tangani dari sekolah,” katanya yang juga  bekas mak nyah.

Mengakui mempunyai naluri songsang seawal darjah tiga, menurutnya kemungkinan sekiranya mendapat bimbingan awal, kesnya mungkin tidak menjadi lebih teruk dan terbawa-bawa hingga ke alam pekerjaan.

Tegasnya namun, untuk mengelak golongan belia terlibat LGBT, peranan harus dimainkan semua masyarakat.

Nasihatnya untuk berubah, perlu kuatkan dalaman diri sendiri dan cari guru pembimbing, manakala ibu bapa pula harus memantau aktiviti anak-anak.

“Sekarang pun dah ada usaha dari beberapa NGO dan IPT untuk fokuskan program menangani LGBT kalangan belia... dulu tak ada kurang sangat.

“Dengan isu LGBT ini, ambil pengajaran yang baik dari sudut positif. Pokok pangkal, tepuk dada tanya selera. Yang salah tetap salah, haram tetap haram,” katanya.

Menurutnya, golongan LGBT lebih memerlukan bantuan pakar kaunseling dan agama berbanding pakar kesihatan.

 

Ketagih gajet

Dengan kemajuan teknologi masa kini, ketagihan gajet kalangan belia hingga mengundang pelbagai masalah berkaitan juga membimbangkan kita.

Pengacara TV juga aktif mengetengahkan aktiviti luar lasak dan eksplorasi alam, Azura Zainal, 37, tidak menafikan perkara ini, namun melihat sebahagian belia masih mengamalkan gaya hidup sihat.

“Mungkin 50/50. Tak semua gila gajet, ramai belia saya kenal masih mengamalkan gaya hidup sihat. Ada juga sebaliknya.

“Memang tidak dinafikan ketagihan itu, tapi saya rasa patut sedarkan mereka ini, mungkin famili atau kawan-kawan mainkan peranan. Cipta persekitaran dan cari rakan sihat. Kerajaan pun nampaknya kini banyak buat kempen kesedaran supaya belia kita sedar,” katanya.

Dalam pada itu, Azura turut bersetuju dengan cadangan supaya program untuk remaja yang popular suatu masa dulu, Rakan Muda kembali diaktifkan.

Dia tidak menafikan antara masalah berkait ketagihan gajet seperti anti sosial dan ‘habit’ melihat telefon bimbit biarpun pada ketika tidak memerlukan.

“Macam saya dengan kawan-kawan, kami buat deal jika berjumpa tak boleh pegang telefon bimbit. Kalau buka kena bayar makan. Tapi sekarang pun susah, sebab bila masing-masing ada anak, melalui  telefon itu kadang kita nak pantau mereka.

“Apa pun yang penting sebagai belia, perlu aktiviti sihat terutama di luar rumah. Saya dulu dari kecil terlibat banyak aktiviti luar dan berpeluh. Ibu bapa saya suka dedah anak-anak dengan persekitaran.

“Tak salah guna gajet seperti telefon bimbit. Bila bergambar, perkenalkan tempat menarik, tarik belia lain. Sama-sama kita jadi generasi  sihat,” katanya.

Menurutnya, telefon bimbit juga boleh dimanfaatkan untuk menghebahkan lokasi menarik, dalam masa sama aktiviti riadah dilakukan selain boleh merapatkan hubungan dengan keluarga dan kawan.

Sebagai ahli Hidupan Liar Sedunia (WWF), peluang medium mengacara rancangan TV juga digunakan Azura untuk menyebarkan mengenai penjagaan alam sekitar dan hidup gaya sihat.

 

Perangi dadah

Lagi isu perlu diberikan perhatian ialah dadah kerana remaja mahu mencuba benda baharu dan perasaan ingin tahu.

Penolong Pengarah Kanan, Unit Pendidikan Pencegahan Dadah, Jabatan Pendidikan Selangor, Mohd Idrus Arifin berkata, pihaknya mendapati ramai terlibat ialah di tingkatan 4 dan 5.

“Pada umur 16 hingga 17 tahun inilah peringkat perubahan besar dalam hidup mereka. Masa inilah ibu bapa, guru dan masyarakat harus lebih memantau.

“Tiap tahun kita jalankan ujian air kencing di sekolah-sekolah. Buat masa ini ada 278 sekolah di Selangor kami masuk, didapati 100 lebih pelajar dikesan positif di mana libatkan lebih 50 sekolah,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Pendidikan Pencegahan Dadah dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Selangor 2018 bertajuk “Dadah: Aku Peduli, Kau Jangan Tak Peduli” di pejabat Kumpulan Media Karangkraf, di Shah Alam, baru-baru ini.

Menurutnya, bukan sekolah saja, semua pihak perlu bersatu memberikan perhatian, termasuk pada anak muda yang sudah tamat sekolah.

Idrus berkata, jika masih belajar, golongan terlibat masih boleh dipantau pihak sekolah, bagaimanapun sebaliknya selepas tidak lagi meneruskan pelajaran.

“Semua masyarakat terutama NGO, agensi Pemadam perlu bantu melihat. Masalahnya sekarang tiada pelaksanaan di peringkat luar sekolah yang menyambut mereka ini selepas habis SPM.

“Pemimpin setempat tu misalnya harus tahu.. jika pelajar tak habis sekolah, kemiskinan, masalah keluarga dan sebagainya ke mana perginya.. takkan dibiarkan begitu saja. Lihat apa mereka buat. Jika pemimpin main peranan insya-ALLAH remaja kita takkan terbiar dan liar,” katanya.

Idrus menegaskan, tumpuan perlu diberikan kepada remaja kerana mereka paling berisiko tinggi untuk terlibat najis dadah.

Dia turut menyifatkan dadah sebagai musuh utama negara di mana jika terlibat, padahnya membabitkan seluruh ahli keluarga yang sama akan menanggung derita.            

 

Kualiti tahap sederhana

Dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, belia Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran, malah dijangkakan cabaran berganda masa hadapan sekiranya tidak diuruskan dengan baik.

Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohammad Rizan Hassan berkata, oleh itu, Dasar Belia Malaysia (DBM, 2015) telah mengenal pasti empat cabaran utama dihadapi golongan belia iaitu politik, ekonomi, sosial dan teknologi.

“Jika merujuk laporan Indeks Belia Malaysia (IBM) 2016 dikeluarkan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) didapati  kualiti dan kesejahteraan hidup generasi belia di Malaysia berada di tahap sederhana.

“MBM melihat beberapa elemen perlu diberi perhatian dan tindakan seperti pembangunan kendiri, identiti, potensi diri, kesihatan mental, pendidikan, kesejahteraan ekonomi, penggunaan media, keselamatan diri dan persekitaran serta sosialisasi politik,” katanya.

Menurutnya belia Malaysia sangat memerlukan sokongan emosi dan psikologi lebih holistik dari semua peringkat masyarakat kerana mereka kelompok penting pemangkin pembangunan negara.

Rizan berkata, MBM bukan sahaja rakan kongsi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi semua kementerian yang sepatutnya berperanan dalam membangunkan bakat dan potensi belia negara.

“Merujuk kepada Indeks Belia bagi memastikan kita setanding dengan belia antarabangsa, golongan belia di negara ini perlu memaksimumkan kemahiran dan potensi mereka agar mampu bersaing dan dalam masa sama berupaya membentuk negara menjadi lebih hebat dan unggul pada masa hadapan.

“Setiap daripadanya berpotensi, namun hanya 25 peratus merupakan golongan berkemahiran tinggi. Ini membawa maksud sebahagian besar hanya mempunyai kemahiran sederhana. Jika keseluruhan belia mampu menjadi seorang pekerja mahir, nescaya potensi negara dapat dilonjak dan akhirnya meletakkan belia Malaysia sebaris dengan rakan seusia di negara maju lain,” katanya pada Cakna Sinar.

Ditanya tahap pencapaian belia negara masa ini, menurutnya kita perlu memahami karektor belia di negara ini yang beragama, cenderung ke arah konservatif, berorientasikan keluarga, pengguna dinamik, cenderung kepada teknologi, optimis terhadap masa depan dan sedia untuk didekati.

Cabaran utama pembangunan belia masa kini adalah bagaimana untuk merancang dan melaksanakan program yang dapat memberi impak maksimum kepada kumpulan sasar secara konsisten dengan sumber dana terhad.

“Kejayaan keseluruhan program pembangunan belia akan dapat ditentukan jika semua pemegang taruh memainkan peranan dan fungsinya. Sebagai badan induk NGO Belia di Malaysia dan rakan kongsi merentasi semua kementerian, tanggungjawab kepimpinan MBM amat besar.

“MBM mempunyai standardnya sendiri atau pelan tindakannya dalam menangani isu-isu berlaku dan menjadi perhatian. Pelan tindakan itu merangkumi pendekatan iaitu inovasi, intervensi dan proses diagnosis misalnya perhatian MBM akhir-akhir ini ialah akses pendidikan dan latihan kemahiran (TVET) yang menyeluruh bagi belia tercicir dan berisiko agar diberi peluang kedua,” katanya.

Perlu sokongan

Rizan berkata, cabaran pembangunan belia di peringkat global dan keperluan pembangunan belia dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia sememangnya memerlukan strategi dinamik tambahan pula, cabaran globalisasi, liberalisasi dan perkembangan teknologi maklumat amat pantas.

Menurutnya, MBM akan terus menekankan aspek penyerlahan potensi belia dengan mengukuhkan keupayaan dan potensi mendepani cabaran dalam kehidupan masa kini dan masa hadapan.

“MBM percaya dengan sokongan padu semua pihak, usaha melaksanakan semua program berimpak tinggi akan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Harapan saya supaya kerajaan dapat bersama MBM dalam merangka program bersesuaian dengan fungsi kementerian dan keperluan masyarakat setempat.

“Menjelang sambutan kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos ini adalah saat paling sesuai untuk setiap rakyat mengukur tahap rasa cinta dan kasih pada negara ini. MBM sebagai NGO untuk sejak 1948 tidak akan berasa letih dan mengalah mengajak generasi muda memaparkan sifat patriot sebenar,” katanya. -AG