SEBAGAI bakal pewaris pemimpin masa hadapan, peranan mahasiswa dilihat sangat penting.

Antara badan belia aktif bergerak dan memainkan fungsinya adalah Belia Harmoni (BH), sebuah gerakan mahasiswa yang antara misinya; memperkasa pembangunan mahasiswa sekali gus melahirkan tokoh pemimpin kompeten dan berintegriti.

Presidennya, Ahmad Taqiyuddin Shahriman berkata, secara khusus pada masa ini ditafsirkan fasa Malaysia selepas PRU14, BH meletakkan perjuangan meningkatkan kesedaran dan penyertaan mahasiswa dalam isu-isu nasional sebagai keutamaan.

Menurutnya, pihaknya percaya dengan mempersiapkan dan melibatkan seramai mungkin mahasiswa dalam ruang diskusi dan proses membuat keputusan akan membawa kepada lahirnya golongan anak muda dan belia lebih cakna dan intelektual terhadap isu-isu berlegar dalam masyarakat.

“BH menekankan dua aspek utama apabila memperjuang dan membawa isu antarabangsa iaitu aspek keprihatinan dan permuafakatan. Kami berpendirian keprihatinan terhadap isu-isu berkenaan mahasiswa dan anak muda mestilah tidak eksklusif dalam negara sahaja, malah harus disentuh juga isu terjadi di luar negara.

“Seperti contoh, isu penindasan pelajar di Bangladesh yang sedang cuba didiamkan kerajaan dan media Bangladesh. BH secara proaktif bersama rakan-rakan mahasiswa lain menghantar memorandum bantahan kepada Kedutaan Bangladesh tempoh hari. Ini menunjukkan betapa pentingnya permuafakatan dalam perjuangan isu-isu berkaitan mahasiswa ataupun anak muda sama ada dalam atau luar negara,” katanya.

Taqiyuddin berkata demikian ketika mengulas perjuangkan isu antarabangsa, yang turut berhubung kait dengan belia di negara ini.

 

Peringkat antarabangsa

Menurutnya, signifikannya perjuangan yang bersifat antarabangsa dizahirkan apabila satu-satu solidariti digerakkan dan disokong seramai mungkin gerakan lain, termasuk di peringkat antarabangsa yang akhirnya membawa kepada liputan meluas sesuatu isu diperjuangkan.

“Kemudian diharap belia di Malaysia menjiwai perjuangan sebegini dengan kesedaran tuntutan memperjuangkan golongan tertindas. Ini berbalik kepada prinsip asal mahasiswa yang seharusnya kekal menjadi ‘pressure group’ kepada para penindas ataupun penzalim tidak kira di peringkat dalam negara ataupun antarabangsa.

“Jika dikira dalam negara, semua isu pun mestilah diberi perhatian terutamanya oleh kerajaan. Hari ini misalnya, secara umum kita belum pernah merasai kebebasan akademik dan berpersatuan dalam kampus. Kerisauan BH adalah suasana dan aktivisme mahasiswa di kampus kekal dan tidak berubah walaupun selepas PRU14,” katanya.

Justeru menurutnya, BH mengambil inisiatif melancarkan kempen #UniversitiBaharu selari dengan semangat #MalaysiaBaharu pasca PRU14 bertujuan menerangkan definisi kebebasan akademik, peranan dan falsafah sebenar universiti, ruang-ruang kebebasan yang sebelum ini terpisah daripada semua kampus dalam negara.

Taqiyuddin berkata, selain itu, BH juga berpendapat kos sara hidup tinggi membebankan semua terutamanya mahasiswa, perlu diberi perhatian.

“BH telah jalankan kajian taraf hidup mahasiswa di Malaysia pada Mei lepas yang mengumpulkan 3,034 responden. Antara dapatan utama adalah 87 peratus daripada mereka tergolong dalam kelompok B40 iaitu pendapatan isi rumah bawah RM3000. Tambahan lagi, hanya hampir 14 peratus sahaja daripada keseluruhan responden menerima biasiswa ataupun bantuan pendidikan. Daripada keseluruhan tidak menerima bantuan, hampir 80 peratus membuat pinjaman untuk membantu kos sara hidup di kampus.

“Menyedari masalah ini, BH jalankan pelbagai inisiatif berkaitan,” katanya.

Mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Belia Antarabangsa kepada semua belia dan anak muda terutamanya mahasiswa, menurutnya, tema tahun ini; ‘Ruang Selamat untuk Belia’ bertepatan dengan masyarakat yang dahagakan keselamatan dan pengiktirafan kepada belia INFO Persatuan Belia Harmoni Malaysia adalah sebuah gerakan mahasiswa ditubuhkan pada 2012. Dikenali sebagai Ikram Siswa pada 2012-2016. Setakat ini, mempunyai lebih 3,000 ahli dan 28 cawangan di kampus seluruh negara termasuk di Sabah Sarawak. -AG

 

AJK

Presiden: Ahmad Taqiyuddin Shahriman
Timb. Presiden: Syuaib Supani
Naib Presiden 1: Shafik Shahidan Fauzi
Naib Presiden 2 (Ketua Siswi): Nurul Nadhirah Md Ridzuan
Setiausaha Agung: Azizi Mokhtar
Pen. Setiausaha Agung: Nu’aimah Mohammad Aris
Bendahari Kehormat: Fatin Najihah Muhammad Lutfi

JK Pembangunan Ahli:
Tengku Muhammad Ibrahim Salahuddin Tengku Ahmad
Hanan Hamidon

JK Khidmat Masyarakat:
Nurul Husna As Saedah Bain

JK Akademik & Intelektualisme:
Halim Hazwan Jamaludin

JK Penyelidikan:
Nur Zahanim Muhammad Zahir

JK Pembelaan Antarabangsa:
Amir Izzudin Muhammad

JK Ekonomi & Keusahawanan:
Nur Qhairun Nabila Hussin

JK Media & Penerangan:
Aidil Azim Mohamad Fozi