PERTAMA kali dapat berbual dengannya di talian telefon untuk mengatur pertemuan, beberapa kali dia menolak lembut dengan alasan sudah berusia dan mahu memberi peluang kepada pelapis lebih muda.

Betapa dari situ penulis sudah berasakan keikhlasan wanita berwajah keibuan ini dengan usaha amalnya sejak 20 tahun lalu, yang digerakkan bukan untuk mendapat perhatian apalagi imbuhan.

Agak mengagumkan, tanpa dana kerajaan dan korporat wanita kental ini mampu membela nasib anak-anak yatim piatu, terbiar, orang kurang upaya (OKU) warga emas daif, fakir miskin, ibu-ibu tunggal, wanita dianiaya dan didera khasnya mereka memerlukan bantuan, sejak penubuhan rumah amalnya ini pada tahun 1998.

Bayangkan di tengah kota raya,  warganya masing-masing sibuk dengan urusan mengejar dunia dan ramai menjadi materialistik dek hambatan mencukupkan keperluan hidup, dia mengambil peranan menjaga segelintir daripada masyarakat sama yang tidak mampu menguruskan diri apalagi keluarga, dengan menumpang kasih di rumah amalnya terletak di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Sharifah Adlan atau lebih mesra dipanggil Mak Pah kalangan penghuni rumah perlindungan sementara, Pusat Jagaan Rumah Titian Kaseh (RTK) mengasaskan pusat berkenaan sejak 20 tahun lalu.

"Alhamdulillah, walaupun kita tak pernah letakkan tabung kutipan derma di surau atau masjid, malah tak  minta anak-anak atau penghuni kutip derma, tapi ALLAH cukupkan, walaupun tak mewah... ada rezeki untuk kami yang tak pernah putus.

"Buat masa ini RTK menempatkan seramai 130 penghuni dengan sekitar 90 kanak-kanak, ibu tunggal, OKU dan warga emas. Jumlah ini akan berubah dari masa ke semasa ikut keadaan dan situasi," kata wanita usia 60 tahun ini pada Cakna Sinar.

 

Kepentingan ilmu

Paling diharapkan Sharifah, RTK dapat membantu penghuninya kesedaran kepentingan ilmu dan pendidikan serta kemahiran khasnya agar mereka dapat berdikari.

Usahanya ini juga diharap dapat membantu mengurangkan gejala negatif semakin berleluasa khususnya generasi bakal menjadi pemimpin masa depan.

"Mak Pah sedih pelbagai isu libatkan anak muda pada masa ini. Bermacam masalah melibatkan anak-anak ini yang begitu menakutkan kita, sebab itu RTK harap kita dapat mainkan sedikit peranan.

"Kerja ini bukan mudah. Jadi perlu perhatian semua. Kalau nak ikut umur Mak Pah ini pun dah berusia, jadi kita buka peluang pelapis di sini," kata Sharifah yang mendapat bantuan orang kanannya iaitu Naib Pengerusi RTK, Haslinda Dol Hamid, 45, atau lebih mesra digelar Mak Linda.

Melihat latar belakangnya, Pengetua RTK ini merupakan anak peneroka Felda pertama membantu dan menubuhkan rumah kebajikan dan perlindungan sementara kepada mereka memerlukan ini.

Dengan pengalaman dan pengetahuan luas di dalam bidang kejururawatan, dia yang dibesarkan di Pulau Pinang ini memberikan lebih daripada perlindungan.

Bukan sahaja perlindungan dari segi fizikal dan mental, tetapi tunjuk ajar menjadi seorang berhemah tinggi dan berdikari, terutamanya melalui pendidikan agama Islam.

Malah kedatangan penulis petang Rabu minggu lalu, turut 'disambut' dengan kelas pengajian agama, kelas belajar agama Arab dan kelihatan sekelompok murid diajar mata pelajaran bahasa Inggeris, oleh sukarelawan luar, menunjukkan RTK sangat memberikan penekanan terhadap ilmu.

Bukan mudah mengendalikan sebuah rumah amal, banyak ranjau duri terpaksa diharungi Mak Pah.

 

'Tadah telinga' dengar aduan

Menelusuri latar belakang awal penglibatan Sharifah membuka RTK, ia bermula ketika dia berhijrah ke ibu negara kerana urusan mencari suaminya yang 'hilang' pada ketika itu.

Membawa sama tiga cahaya matanya masih kecil, dia tekad mengharungi kesukaran meninggalkan bidang kerjaya sebagai jururawat di Pulau Pinang untuk tujuan berkenaan.

Pada masa sama berpeluang bertemu dan melihat kesusahan terutama kalangan golongan ibu tunggal susah atau pun ditinggalkan suami ketika itu, membuka matanya bahawa lebih ramai golongan lebih malang berbanding dirinya sendiri.

"Ada kalangan ibu tunggal ini, yang sudahlah susah dalam masa sama perlu bela anak kurang upaya (OKU), tiada pendapatan dan ada lebih susah daripada itu. Ia menginsafkan diri saya untuk melihat bahawa diri ini lebih bernasib baik, jadi perlu membantu mereka.

"Itu antara sebab saya menubuhkan RTK ini, itu pun pada usia sudah jangkau 45 tahun," katanya yang akhirnya berpeluang bertemu arwah suaminya, dan maklum arwah tidak dapat pulang bertemunya dan anak-anak ketika itu disebabkan sakit akibat kehilangan ingatan.    

Sebagai bekas jururawat, pengalamannya mengendalikan kes pesakit dan bertemu masyarakat, Sharifah sudah biasa berdepan pelbagai kes dan 'menadah telinga' mendengar aduan terutama melibatkan masalah kewangan dan anak-anak terutama daripada golongan ibu.

Dari situ dia sudah biasa dengan kerja-kerja kemasyarakatan dan membantu mereka memerlukan, terutama sekali dalam memberikan khidmat nasihat.

"Ramai anggap jururawat ini boleh jadi tempat mengadu. Jadi Mak Pah dah terbiasa orang datang dan mengadu. Ada mengadu suami tak balik, masalah kewangan dan sebagainya, dari situ kita bagi nasihat.

"Alhamdulillah sepanjang buka rumah perlindungan sementara ini dengan usaha sendiri, sekarang ini ramai sukarelawan yang datang membantu," katanya yang menekankan ilmu agama kepada penghuni rumah perlindungannya dengan penekanan suruhan solat dan membaca al-Quran.

 

Ambil kesempatan

Mengimbas juga latar belakangnya pada peringkat awal membuka RTK, asalnya ada individu prihatin melihat usaha Sharifah, meminjamkannya rumah untuk memulakan pusat itu.

Apabila semakin stabil, kepercayaan diberi individu terbabit untuk Mak Pah menguruskan dan mengendalikan RTK sendiri.  

Kini tidak hanya mahu mengharapkan sumbangan, RTK cuba menjana pendapatan melalui hasil jualan kuih muih, kraf tangan, tempahan katering dan jahitan untuk menampung kos perbelanjaan pengurusan penghuni di RTK termasuk derma daripada orang ramai yang prihatin.

Berkongsi pengalaman pahit manisnya dalam mengendalikan RTK, Sharifah tidak menolak pernah juga ada pihak mempunyai nama dan pangkat mengambil kesempatan menggunakan nama pusat perlindungan diusahakannya itu untuk kepentingan peribadi.

"Ada yang berpangkat 'Datuk' katanya hendak menjadi penaung kepada rumah ini, tetapi sebenarnya hanya mahu menggunakan nama kita untuk mengutip 'dana' diri sendiri. Ada pula yang panggil dan gunakan anak-anak kita untuk buat persembahan dan sebagainya sesen pun kita tak dapat bayaran.

"Memang ada suruh Mak Pah buat laporan polis dan ambil tindakan, tapi bagi Mak Pah biarlah mereka hendak buat demikian, itu antara mereka dengan ALLAH, yang penting apa niat kita DIA yang tahu," kata ibu kepada tiga anak ini.

Ditanya apa paling diperlukan penghuni terutama anak-anak di RTK, Sharifah berkata, paling diharapkan adalah kasih sayang dan bukan hanya material.

Apalagi anak-anak dibelanya sebahagian daripadanya adalah anak-anak gelandangan, terbiar dan tidak pernah diberi peluang untuk mendapat kasih sayang, selain pelajaran.

"Anak-anak ini bukan nak baju cantik, branded, tapi dia nak orang sayang. Insya-Allah jika kita banyak memberi, kita akan dapat balik apa pulangan kita beri, kerana setiap kebaikan kita akan di balasnya.

"Tidak hanya perlu menunggu sehingga ada wang baharu hendak menderma. Kalau kita curahkan masa dan tenaga serta ilmu itu juga satu bentuk pemberian berharga," katanya lembut.  

Nasihat Mak Pah, setiap hari ingat siapa kita hendak bantu, dan memotivasikan diri dalam hidup untuk tidak hanya menerima, tetapi memberi.

Menurutnya, RTK mengalukan-alukan sukarelawan untuk menyumbang masa dan tenaga untuk mendidik anak-anak di rumah perlindungan tersebut, terutama dalam mengajar subjek-subjek pelajaran secara konsisten.

RTK juga membuka peluang kepada masyarakat mengambil bahagian dalam kerja amal jariah.