PEMBABITAN aktif gadis ini dengan  kerja-kerja amal di tengah kota raya Auckland, New Zealand diiktiraf apabila dianugerah Women Who Inspire Award 2017 oleh Nix Crew Trust, sebuah NGO wanita di negara itu.

Jika kebiasaan anak muda menuntut ilmu di luar negara hanya fokus kepada pelajaran, penuntut Universiti Auckland, Farhanah Firdaus Francis ini memilih turut menjadi sukarelawan.

Di saat teman lain menghabiskan hujung minggu dengan aktiviti santai, gadis baru berusia 22 tahun berasal dari Ipoh, Perak ini memilih beramal memberi makanan kepada gelandangan, terlibat program motivasi dan kesukarelawan di negara kepulauan di Barat Daya Samudera Pasifik itu.

Pastinya ada sesuatu mengundang penuntut ijazah perakaunan ini menghabiskan masa dan tenaga bagi kerja bukan berasaskan pulangan ini.     

"Asalnya, dua saja cita-cita saya sebenarnya. Nak jadi kaya dan nak jadi aktivis.

"Dulu fikir bila kaya baru boleh jadi aktivis. Tapi tidak, tak jadi sukarelawan pun boleh buat kerja-kerja itu," katanya ketika kunjungan ke Sinar Harian, Shah Alam semasa bercuti di tanah air baru-baru ini.

Anak bongsu dari dua beradik sentiasa ringan tulang ini aktif kerja sukarelawan sejak sekolah hingga kolej sebelum menuntut di Auckland.  

Tika di sekolah sering mengikuti program hijau dan menjaga alam melalui Kelab Pencinta Alam, di Methodist Girls School (MGS), Ipoh, Perak, ketika di kolej pula sering terlibat CSR, melawat rumah orang susah, menjenguk anak yatim, bertindak sebagai jawatankuasa mengatur program serta acara amal.

Alah biasa tegal biasa, dengan minat ditambah kemahiran dan pengalaman menjalankan kerja-kerja sukarelawan, apabila menuntut di Auckland jiwanya rasa kosong tanpa berbuat apa-apa.

 

Sahut cabaran

Hanya dalam bulan kedua tahun pertamanya di universiti, Farhanah mula mencari 'lubang' untuk terus menjalankan kerja-kerja aktivis.

"Masa tu jumpa rakan yang juga penuntut di sana. Dia cerita mengenai Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) ditubuhkan pada 2014, yang ingin dibuka cawangan di New Zealand.

"Jadi dia perlu merekrut sukarelawan. Orang kata, memang mengantuk disorongkan bantal, saya tertarik menyertai Handshake People, iaitu NGO di bawah YDKMM," ceritanya.

Menurut Farhanah dia berminat menjadi ahli NGO membawa objektif utama membina belia berkaliber supaya dapat kembali membantu masyarakat ini dan tidak nampak mengapa tidak perlu menyertai kumpulan tersebut.

Tidak semudah disangka, peringkat awal, dia 'diuji' tugasan pertama menguruskan bahagian logistik untuk program sambutan Hari Raya Korban.

"Masa tu tugas saya cari peserta dan logistik. Pada saya tugas tu antara susah apalagi sebagai wanita, sebab masa tu rasa ia bukan kerja perempuan. Dengan nak angkut barang dan lembu tak habis simpan kat mana, tapi saya sahut cabaran.

"Kawan saya tu pun jenis memilih, dia kata kalau  boleh hadapi cabaran tu dia akan pilih (sebagai sukarelawan). Jadi saya ambil saja cabaran tersebut dan lepas tu saya antara terpilih untuk program seterusnya dan sertai tim tu," katanya.

Bukan setakat itu, malah selepas terpilih, tugas dan skop kerja kesukarelawannya menjadi semakin bertambah.

 

Beri makan gelandangan

Terpilih sebagai sukarelawan dalam tim Handshake People, tugas Farhanah semakin bertambah.

Seawal tahun lalu dia giat merekrut dan mencari aktivis wanita baharu, membina profil NGOnya, menjalankan ceramah dan program kesukarelawan.  

Bagi menambah pengalaman di sana, mulanya dia mengambil pendekatan bergaul dengan masyarakat setempat dan NGO di sana, termasuk di luar kampus.  

Bakat ada digunakan menerapkan skil kepada peserta program kesukarelawan dikelolakan seperti berkaitan pemikiran, keusahawanan, kepimpinan dan rohani.

"Bukan senang kekalkan peserta NGO sukarela. Misalnya dari 10 orang, hingga kini hanya tinggal tiga wanita, itulah yang kekal sejak awal tahun lepas hingga sekarang.

"Dalam masa sama saya buat kerja sukarela beri gelandangan makan. Kita cari dana, beli barang, masak dan edarkan tepi jalan. Alhamdulillah dah dua tahun dengan kerja NGO tiada masalah. Biasanya waktu malam saya study," katanya.

Baginya kerja-kerja NGO dijalankan seminggu sekali atau sebulan sekali, tidaklah sukar.

Sekali-sekala dia bersama tim melawat rumah orang-orang Malaysia di New Zealand, masa sama menyediakan makanan pada satu-satu masa, dengan hampir 100 orang peruntukan makanan disediakan untuk sebulan.

"Mulanya bukan mudah cari penaja makanan ini, tapi kami usahakan.

"Cabarannya ramai pertikai kenapa kami cari dana, dia tengok kita muda. Tapi saya tunjuk buktinya, kami boleh buat," katanya.

Kian dikenali, kini lebih mudah baginya bila ada pekedai mempunyai lebihan makanan menghubunginya untuk membantu mengedarkannya.

 

Perunding motivasi

Sering terlibat program kepimpinan wanita sekurang-kurangnya seminggu sekali melalui Handshake People, Farhanah juga sering diundang sebagai penceramah.

Menariknya, dia antara 20 peserta dipilih pihak universitinya yang mengumpulkan mereka berpotensi menjadi pakar motivasi dan di situ bakatnya makin diasah.  

"Hanya saya seorang dari Malaysia terpilih program tu. Selepas itu saya macam dah biasa bercakap dengan orang. Ada juga kumpulan misalnya komuniti Islam menjemput bagi perkongsian.

"Saya juga selalu kongsi aktiviti di media sosial, jadi orang nampak pergerakan saya di situ dan panggil saya untuk program motivasi," katanya yang sering diundang ke sekolah dan institusi pengajian tinggi, apabila pulang ke tanah air.

Handshake People disertai bukan hanya sukarelawan Malaysia, tetapi Arab, India, Pakistan dengan hanya 20 orang semuanya setakat ini, namun bukan halangan buatnya.

Farhanah sendiri mengajar sukarelawan lain untuk memasak makanan asas untuk diedarkan seperti bihun goreng. Malah rumah sewanya sendiri digunakan untuk kerja memasak tersebut.  

Biarpun bapa dan ibunya, Firdaus Francis dan Faridah Husain khuatir kerana dia berjumpa pelbagai jenis orang, bagi Farhanah pendekatannya hanya meminta mereka tidak terlalu risau kerana percaya kerja baik akan dipermudahkan ALLAH.  

 "Orang selalu tanya macam mana kerja NGO ni boleh capai cita-cita. Saya kata, kalau duit banyak pun jika tak bersihkan hati akan jadi banyak masalah.  

"Jadi bagi saya sekarang, definisi bahagia tu... kaya dengan jiwa dan hati, seronok dapat bantu orang," katanya dididik  amalan membaca sejak kecil dan mendapat kepuasan melalui kerja sukarelawannya.