PRIHATIN dengan nasib remaja perempuan daripada  keluarga asnaf yang mempunyai kekangan melanjutkan pelajaran untuk bergelar seorang hafizah, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim & Asnaf Iman & Amal dari Kg Merbau Sempak, Sg Buloh, Selangor, membantu memudahkan peluang tersebut.

Pertubuhan ini masih mempunyai 20 kuota kosong untuk menempatkan pelajar perempuan berusia antara 7 hingga 17 tahun di pusat berkenaan secara percuma.

Pengurusnya, Marlina Jahan, 35, berkata, buat masa ini enam penghuni sudah sedia ada tinggal di asrama disediakan dan ada tiga lagi penghuni memilih tinggal di luar asrama bersama penjaga.

“Kami melihat keperluan untuk membantu golongan pelajar wanita yang benar-benar mahu menuntut ilmu, tetapi terdapat kekangan terutama daripada segi kewangan.

“Justeru, kita membuka penyertaan pelajar dari seluruh negara, terutama yang tidak mendapat bantuan untuk meneruskan pengajian pendidikan. Jika ada masyarakat atau pemimpin setempat tahu siapa calon pelajar wanita mahu menjadi hafizah sesuai di tempat kami, boleh maklumkan,” katanya mengenai Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim & Asnaf Iman & Amal yang yang dimulakan sejak Disember 2016 itu.

Dalam pada itu, Marlina berkata, bagi kes pelajar wanita berminat untuk menjadi pelajar di pusatnya, namun mempunyai kesukaran untuk datang disebabkan faktor logistik, pihaknya boleh membantu untuk urusan tersebut.

Mengulas peluang dibuka, menurutnya pihaknya memberikan keutamaan kepada anak yatim dan pelajar wanita berminat menjadi hafizah untuk tinggal dan belajar di pusatnya berikutan melihat golongan itu perlu diselamatkan.

“Sebaik tamat sekolah, jika pelajar itu sendiri mahu pulang atau ibu bapa mohon lepaskan, mereka boleh berbuat demikian. Jika belum ada arah tuju, kita nak fokus terus menjaga mereka, dan jika hendak mencari kerja juga, kita akan bantu carikan.

“Yang penting kita nak mereka yang betul-betul mahu belajar dan berhasrat mengubah kehidupan dan keluarga mereka menjadi lebih baik. Terdapat juga asrama lelaki di sini, tetapi buat masa ini kita beri peluang untuk pelajar wanita,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun penempatan disediakan pihaknya bukanlah pusat pemulihan akhlak, sebaliknya pusat disediakan tempat mereka yang benar-benar mahu menuntut ilmu tanpa memerlukan paksaan.

Marlina berkata, bagi pelajar terpilih berusia 7 hingga 12 tahun, mereka akan dihantar bersekolah kebangsaan seperti biasa, manakala dari usia 13 hingga 17 tahun akan diberikan penekanan lebih kepada pembelajaran agama untuk menjadi hafizah.

 

Kempen RM5

Pada awal penubuhan, asrama ini cukup daif dan sungguh menyentuh hati, namun kini semakin bertambah baik hasil sokongan masyarakat.

Justeru Kempen RM5 masih diteruskan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim & Asnaf Iman & Amal untuk menampung dana bagi keperluan harian dan pengurusan anak-anak yatim serta asnaf.

Marlina berkata, kos perbelanjaan adalah RM15,000 sebulan untuk menanggung anak-anak, tenaga kerja, keluarga asnaf dan penghuni madrasah.

Menurutnya, antara perbelanjaan bulanan termasuk sewa kediaman, keperluan harian, makan minum, kos pendidikan dan pengangkutan serta elaun warden.

“Keperluan paling diperlukan buat masa ini ialah kenderaan. Anak-anak ini terpaksa menumpang sesiapa sudi dan berkelapangan untuk membantu mereka dalam urusan kecemasan seperti jatuh sakit dan sebagainya.

“Jika ada pihak tahu atau boleh membantu kami dalam urusan van atau sebagainya, bolehlah hubungi pihak pertubuhan Pertubuhan Anak Yatim & Asnaf Iman & Amal, (Asrama Kebajikan Anak-anak Yatim) beralamat di Lot 2411, Lorong 3, Kg Merbau Sempak, Sg Buloh,” katanya.

Kepada mereka yang mahu terus menyalurkan sumbangan kewangan boleh berbuat demikian ke akaun Maybank 5627 4014 0944 ( Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim & Asnaf Iman & Amal ) Nombor Pendaftaran PPM-008-07122016 .

Atau jika ada sebarang kemusykilan boleh hubungi pengurusan Nurul Ihsan, Marlina (016 - 630 0464) dan Pengerusi, Abu Khamid Mohd Al-Ghazali Palut ( 011 - 5755 9859).