REMAJA autisme, Ahmad Zahiruddin Zailani, 22, yang mempunyai kelebihan menghafaz al-Quran dinobatkan sebagai Ikon Autisme pada Anugerah Dari Hati Ke Hati anjuran Bank Rakyat.

Dia dipilih menerusi undian tertinggi juri awam pertandingan tersebut yang diadakan bagi menghargai individu, pihak media, organisasi dan persatuan autisme yang sentiasa menyokong golongan autistik.

Sementara itu, bakat dan kebolehan Mohd Syahmi Asyraff, 16, dan Muhammad Farid Fakhruddin, 19, telah menambat hati juri untuk dipilih pemenang Individu Autisme Terbaik bagi kategori 13 hingga 18 tahun ke atas.

Inisiatif program diadakan sempena Bulan Kesedaran Autisme Sedunia ini mempertandingkan 12 kategori melalui hasil kerja, program dan laporan berita mengenai golongan autistik.

Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, acara ini merupakan kemuncak kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan Bank Rakyat sejak Oktober 2016 sehingga kini bagi memupuk kesedaran mengenai autisme.

"Anugerah ini merupakan platform memberikan penghargaan kepada mereka yang komited dalam meningkatkan kesedaran kepada masyarakat berhubung autisme.

"Hari ini Bank Rakyat turut mengiktiraf serta meraikan insan autistik yang membuktikan mereka mampu berjaya dalam kehidupan, sekali gus membuka mata masyarakat terhadap kemampuan dan potensi golongan tersebut," katanya sempena majlis anugerah berkenaan yang diadakan di Menara Berkembar Bank Rakyat, di ibu negara, kelmarin.

Selain kategori dimenangi Zahiruddin, Syahmi dan Farid, antara anugerah lain dipertandingkan seperti Penyokong Autisme Individu Terbaik, Penyokong Autisme Pelajar Terbaik, Tanggungjawab Sosial Autisme Persatuan Terbaik, Tanggungjawab Sosial Autisme IPT Terbaik, Tanggungjawab Sosial Autisme Organisasi Terbaik, Kewartawanan Autisme (TV, akhbar dan radio), Foto Autisme Terbaik dan Media Sosial Autisme Terbaik.

Pemenang Anugerah Ikon Autisme dipilih menerusi undian orang ramai di laman sesawang Bank Rakyat bermula 8 Mac hingga 23 Mac lalu.

Kesemua pemenang membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 dan trofi.