RUMAH kebajikan yang mengendalikan penempatan perlindungan kepada golongan wanita tersasar arah (terlanjur dan melahirkan anak luar nikah) perlu sentiasa diberikan perhatian.

Menyedari keperluan tersebut, syarikat berciri wakaf korporat, Awkaf Holdings Bhd menerusi Tabung Wakaf ZuriatCare berusaha menangani dan mendokong badan bukan kerajaan (NGO) islamik yang aktif dalam kerja-kerja berkaitan.

Timbalan Pengerusi Awkaf, Mohammad Sahar Mat Din berkata, meneruskan tradisi menyumbang dana kepada rumah-rumah tersebut semasa Ramadan, Awkaf menerusi dana ZuriatCare kini masuk tahun ketiga menghulurkan bantuan terbabit.

"Biasanya kita akan memilih lima rumah perlindungan bukan di bawah kendalian kerajaan untuk menerima dana ini. Semenjak tiga tahun lepas kutipan dibuat kini berjumlah kira-kira RM200,000.

"Setakat ini setiap rumah perlindungan sudah dikenal pasti oleh Awkaf sendiri ini akan menerima RM5,000. Kita akan lihat juga keperluan selepas Ramadan," katanya kepada Cakna Sinar berhubung aktiviti kebajikan pihaknya sempena Ramadan ini.

Dalam pada itu, Mohammad Sahar menyifatkan bantuan kepada rumah-rumah perlindungan wanita tersasar perlu memandangkan ia tumpuan mendesak.

Menurutnya, bantuan terutama berbentuk dana kepada rumah perlindungan untuk golongan tersebut sebelum ini kurang diberikan perhatian.

"Ada kes pernah kita jumpa, kanak-kanak seawal usia 11 tahun pernah melahirkan anak, manakala wanita usia hingga 65 tahun terlibat sumbang mahram, khalwat dan sebagainya.

"Kes isu-isu wanita sebegini antara yang kurang diberi perhatian. Harapan kita supaya kerajaan baharu khususnya selepas PRU14 ini menerusi kementerian berkaitan wanita bersama masyarakat dapat berganding bahu memberi kesedaran supaya golongan ini dapat hindar terjebak isu seumpamanya ini," katanya.

Matlamat ZuriatCare turut membantu NGO Islamik yang aktif dalam program perlindungan bayi, khasnya kalangan terbuang dan yang ditinggalkan ibu bapa.

 

Kebajikan umat

Memorandum Awqaf mengasaskannya sebagai sebuah syarikat, iaitu organisasi korporat bersumberkan dana wakaf sumbangan masyarakat, bertujuan untuk dilaburkan ke dalam pernigaan yang menguntungkan, supaya semua keuntungan dan pertambahan nilai dijadikan aset wakaf milik kekal Awqaf.

Menerusi himpunan aset dan harta wakaf supaya bertambah pada jangka panjang, Awqaf dapat membina keupayaan tinggi perniagaan dan korporat, merapatkan jurang pendapatan dan agihan harta memperkasa ekonomi umat Islam Malaysia.

Selain itu, sebahagian pendapatan Awqaf akan diperuntukkan khas untuk membiayai program fi sabilillah, terutama untuk kebajikan umat Islam dan semua warga Malaysia amnya.

Matlamat Awqaf ialah mengguna kaedah perniagaan memperkasa golongan lemah ekonomi dan memangkinkan generasi masa depan umat Islam khasnya mendapat akses kepada peluang bisnes dan korporat supaya tidak berpanjangan dipinggirkan golongan korporat swasta eksklusif bermodal besar seperti berlaku di bawah anjuran sistem kapitalis liberal diamalkan di peringkat global selama ini.

Di peringkat awal penubuhannya, memandangkan ia belum mempunyai aset dan asas modal besar, Awqaf menggunakan kaedah menggalakkan umat Islam “Melabur sambil berwakaf”.