THE Conscience Convoy by Women for Women Imprisoned In Syria oleh gabungan NGO Antarabangsa antaranya UNIW, TUGVA, IHH, Memur-Sen.

Konvoi turut mendapat sokongan kerajaan Turki ini dianjurkan bersempena Hari Wanita Sedunia yang disambut setiap 8 Mac saban tahun.

Konvoi antarabangsa ini disertai peserta wanita dari setiap pelosok dunia, seterusnya menyampaikan mesej keamanan kepada dunia mengenai keperluan melepaskan kesemua tahanan dalam penjara dan mengakhiri kezaliman dan penindasan kepada wanita di negara bergolak Syria.

Konvoi berlangsung dari 6 hingga 8 Mac lalu itu pada awalnya hanya disertai lebih 2,000 orang dari lokasi pertama- Yenikapı.

Penyertaan semakin bertambah setiap kali melalui bandar-bandar utama di sepanjang perjalanan menuju ke sempadan di Hatay Reyhanli.

Dari Yenikapı, Istanbul, dalam keadaan hujan renyai mengiringi semua peserta berhimpun, konvoi dilepaskan secara rasmi melalui sidang media khas ke Hatay, Antakya iaitu sempadan memisahkan antara Turki dan Syria.

Setiap peserta konvoi membawa sehelai tudung sulaman tangan oleh wanita-wanita desa di Turki. Sejumlah 6,538 tudung telah diagihkan kepada peserta konvoi yang mana ia simbol solidariti semua wanita terhadap mangsa penindasan wanita dan kanak-kanak Syria dan menuntut agar mereka dibebaskan dan diberi peluang hidup sebagai manusia sepatutnya.

Tudung bukan hanya untuk menutup aurat tetapi adalah tanda kemegahan, keindahan, keselamatan, kepatuhan dan ketaatan. Peserta-peserta menggenggam erat tudung tersebut ketika kemuncak program sebagai solidariti dan memperingati wanita-wanita Syria.

Pengeboman dan ‘peperangan’ berterusan sejak bermulanya krisis di Syria pada 2011 menyebabkan lebih sejuta orang kehilangan nyawa dan sehingga 2017 dianggarkan lebih 13,581 wanita telah ditahan. Terkini, menurut satu catatan tidak rasmi, wanita masih ditahan dianggarkan seramai 6,736 orang dengan 417 daripada mereka adalah kanak-kanak.

Ada kalangan mereka ditahan ketika mengandung dan terpaksa melahirkan ketika dalam tahanan atau penjara, dirogol berulang kali dan ada ditahan bersama anak-anak.

Lebih teruk, anak-anak dipaksa menyaksikan sendiri penyeksaan demi penyeksaan yang dibuat ke atas ibu mereka, pastinya ia meninggalkan kesan trauma berpanjangan.

Lebih unik, konvoi ini seolah-olah mendedahkan peserta kepada suasana muhajirin pelarian secara tidak langsung, antaranya ialah berkongsi tempat tidur beramai-ramai di masjid dan dewan sukan yang hanya beralaskan pelapik nipis.

Paling ketara, semua peserta perlu beratur panjang ketika untuk makan. Hidangan dinikmati juga sederhana. Alhamdulillah ia memadai untuk mengalas perut.

 

Berkongsi semangat

Musim sejuk sedang melanda Turki bukanlah penghalangnya. Perjalanan melalui bandar utama Istanbul menuju ke Hatay diselang seli dengan persinggahan ke lokasi terpilih seperti di Sakarya, Ankara, dan Adana.  

Setiap wanita membawa bersama semangat yang sentiasa dipamerkan melalui himpunan dan sidang media secara langsung dari tiap lokasi hentian.

Mesej dan slogan diangkat adalah sama, laungan 'menentang keganasan!, hentikan kezaliman!, wanita dan kanak-kanak Syria layak dan patut diberi hak dan dilayan sebagai manusia'.

Semasa memasuki bandar Hatay, hon-hon dari semua bas dibunyikan dan para peserta mengibarkan bendera Conscience Convoy sebagai tanda solidariti. Pada hari terakhir, seramai 10,000 peserta wanita dari 55 negara terdiri dari pelbagai latar belakang berhimpun di acara kemuncak konvoi tersebut di Hatay Reyhanli.

Selepas program tersebut berakhir, para peserta berpeluang menziarahi tempat perlindungan anak-anak yatim Syria yang kendalian NGO kemanusiaan tempatan. Atas sebab keselamatan para peserta konvoi tidak dibenarkan untuk mengambil gambar kanak-kanak yang mendapat perlindungan di tempat tersebut.

Peluang mengenali rakan-rakan wanita dari pelbagai negara tidak hanya berkongsi semangat sama, malah sentiasa menjaga dan memudahkan satu sama lain, memupuk rasa kasih sayang, persaudaraan dan kerjasama tinggi kalangan peserta.

Konvoi ini berakhir pada 8 Mac lalu, namun semangat dan solidariti untuk rakyat Syria tidak akan padam.

Malaysia Life Line For Syria (MLLFS) dan Global Peace Mission (GPM) tetap meneruskan misi kemanusiaan di Syria melalui pelbagai projek yang diadakan khusus di sekitar sempadan Syria.

 

*Artikel ini disediakan oleh Exco GPM, Maria Kamel dan Timbalan Ketua Pegawai Operasi GPM, Wan Noor Fadhilah Wan Ibrahim yang menyertai konvoi tersebut di Turki, baru-baru ini.