GABUNGAN NGO-NGO Islam mempertegaskan semula prinsip-prinsip sebagai entiti Islam yang mendokong kepentingan negara dan seterusnya beriltizam untuk memastikan wujudnya perubahan amat diperlukan dalam membina Malaysia lebih sejahtera dan memelihara kepentingan Islam secara khusus.

Perkembangan politik, sosial dan ekonomi semakin memperlihatkan kecelaruan dan kegoncangan, penularan gejala sosial dan kebejatan akhlak masyarakat, mencabar Perlembagaan Persekutuan, merebaknya fahaman-fahaman liberalisme dan sebagainya, antara perlu diberi perhatian.

Presiden, Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), Ir Jamaluddin Samsudin berkata, sedia maklum pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) akan diadakan pada tahun ini, justeru mewakili masyarakat Islam yang madani dan wasatiy, pihaknya melancarkan Deklarasi NGO-NGO Islam di Malaysia sebagai manifestasi kepada harapan dan keinginan melihat negara Malaysia lebih sejahtera, harmoni seterusnya memelihara kepentingan masyarakat dan juga negara.

"Penegasan Deklarasi kami, pertama kami menyeru pemimpin politik negara dari kesemua parti, baik dari pemerintah mahupun pembangkang, supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan, khususnya berhubung kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan. Perkara ini perlu dipelihara dan dihormati memandangkan Perlembagaan Persekutuan rujukan perundangan tertinggi negara.

"Undang-undang negara perlulah dihormati kesemua pihak, lebih-lebih lagi dalam keghairahan berkempen semasa PRU-14 nanti," katanya dalam kenyataan  Deklarasi NGO-NGO Islam Malaysia sempena PRU14 di Seminar Kepimpinan Negara ke Arah Kecemerlangan Masyarakat, di ibu negara, baru-baru ini.  

Dalam pada itu, deklarasi menuntut agar para pemimpin politik terus memastikan konsep pengasingan kuasa antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman dipelihara bagi mengelakkan berlakunya penumpuan kuasa mutlak hanya di tangan individu atau pihak tertentu yang boleh menjurus kepada salahguna kuasa.

Jamaluddin berkata, NGO Islam juga menggesa pilihan raya dapat dijalankan dengan telus dan adil bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat Malaysia benar-benar dapat diterjemahkan melalui pilihan raya ini.   

"Kami mencadangkan debat secara terbuka khususnya di peringkat nasional untuk memberi peluang kepada semua parti mengemukakan manifesto dan kelebihan masing-masing.

"Kami juga menyarankan supaya suara dan pendirian masyarakat madani, termasuklah NGO dan pertubuhan-pertubuhan lain diambil kira secara serius oleh kerajaan dan pimpinan politik dengan hati terbuka. NGO Islam khususnya perlulah diperkukuhkan kedudukannya supaya dapat menyumbang secara lebih berkesan dan optimum kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

 

Ruang ulama, ilmuwan

Dalam pada itu, Jamaluddin berkata, deklarasi juga memohon kerajaan yang dibentuk pasca PRU14 memperkasakan para ulama, ilmuwan dan cerdik pandai yang boleh berperanan memberikan nasihat berguna kepada pemerintah khususnya dan masyarakat awam umumnya sebagai entiti semak imbang.

Menurutnya, unsur mengubah dan menggugat keharmonian termasuklah berkaitan agama orang Islam serta kemasukan ekstremis agama perlulah ditangani semaksimumnya.

"Kami menggesa kerajaan membanteras penularan fahaman salah berselindung di sebalik topeng liberalisme dan pluralisme agama perlulah ditangani dan dibanteras sedaya mungkin. Fahaman-fahaman ini boleh menggugat akidah dan keyakinan umat Islam terhadap agama mereka sendiri, lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang rapuh keimanan dan cetek kefahaman agama.

"Kerajaan diharap terus jadi pembela masyarakat Muslim minoriti tertindas di negara seperti Palestin, Rohingya, Uighur, Kashmir, Selatan Thai, Selatan Filipina dan lain-lain dengan membawa pendekatan manhaj Malaysia. Dasar terhadap Israel juga perlu diperketat," katanya.

Menurutnya, deklarasi diputuskan tidak menafikan bahawa Malaysia negara yang kaya dengan budaya, hasil bumi dan budi pekerti, justeru PRU merupakan medan rakyat membuat pilihan terhadap kepimpinan negara yang akan mencorak dan memelihara keutuhan dan kemajuan negara ini.