SELAMA 30 tahun berkhidmat sebagai sukarelawan dan terlibat dengan kerja-kerja dijalankan badan bukan kerajaan (NGO) bukanlah sesuatu yang mudah, apalagi ia memerlukan komitmen tinggi individu terlibat.

Namun disebabkan gemar membantu, wanita ini tekad terlibat kerja kebajikan, padanlah dilantik menjadi orang kuat di salah sebuah NGO besar di negara ini.  

Pastinya ada sesuatu di sebalik diri Ikon Cakna minggu ini, Pengurus Besar Operasi Humanitarian Care Malaysia (MyCare) Roha Hassan yang memilih bidang misi kemanusiaan sebagai 'makanannya'.

Orangnya kecil molek, namun ibarat kecil-kecil cili api, tamat sahaja pengajian di institusi pengajian tinggi, dia menjadikan kerjayanya untuk menolong orang.

"Antara kerja saya lakukan bermula dengan juruteknik makmal, jurutera elektronik (QA engineer) dan pengurus sumber manusia, pentadbiran dan kualiti. Walaupun menyandang jawatan-jawatan ini saya teruskan kerja-kerja sukarelawan dan sekarang sudah masuk lebih kurang 30 tahun.

"Antara NGO pertama saya pernah terlibat ialah Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM)- Setiausaha Kerja; Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim); Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) - Setiausaha Kerja; Persatuan Wanita Ibu Tunggal sebagai Naib Pengerusi walaupun saya bukan ibu tunggal; terlibat Raudatul Sakinah (rumah amal untuk remaja); ahli Pertubuhan Ikram dan sekarang di MyCare," cerita pemegang Ijazah Pengurusan Sumber Manusia dan Sarjana Total Quality Management ini.

Tetap aktif terlibat dengan NGO lain, seperti di Majlis Pembangunan dan Kebajikan Kuala Lumpur, sejak di bangku sekolah dan pengajian di IPT lagi dia sudah biasa membuat kerja-kerja kemanusiaan.

Menyebarkan ilmu kemanusiaan, kini Roha juga menulis buku berkaitan tip menyantuni remaja, kerja-kerja NGO dan kaedah menyertai persatuan serta kerja-kerja sukarela bermula daripada ibu hebat.

 

Didikan sejak kecil

Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, insan berasal dan dibesarkan di Parit Haji Hassan, Matang Gerdu, Bagan Serai, Perak, ini mendapat inspirasi membuat kerja-kerja kebajikan daripada ibu dan bapanya.

Daripada kecil Roha sudah biasa melihat ibu dan bapanya membuat kerja-kerja kebajikan.

"Mak pesawah, ayah meniaga di pasar barangan runcit. Keluar kami sederhana, jadi selalu orang datang rumah mintak tolong, mintak beras, kalau ada anak yatim mereka selalu ajak datang makan kat rumah.

"Dalam keluarga kami tolong orang dah jadi kebiasaan. Masyarakat di tempat kami tinggal pun suka tolong-menolong. Lagi satu kami sendiri bila adik-beradik ramai, mak ayah ajar berkongsi, buat kerja sama-sama. Jadi itu semai jiwa saya suka menolong dan berkongsi," kata anak keempat daripada sembilan beradik ini.

Bagi penulis, wanita kental tinggal di Shah Alam, Selangor ini juga mempunyai daya simpati tinggi kerana bukan setakat orang, haiwan pun dibelanya dengan memelihara lebih 10 ekor kucing di rumah dan sering memberi makan kucing di jalanan.

Baginya apabila membantu orang lain, bukan hanya melibatkan mereka dibantu, tetapi dalam masa sama menolong dirinya sendiri.

"Semua ada di dunia ini pun bukan milik kita, tetapi milik ALLAH. Kelak nanti ALLAH akan tanya balik 'benda Aku pinjamkan ini kamu buat macam mana dan bagaimana kamu mengaturnya? Bagaimana kamu uruskan diri, harta kamu, masa dan sebagainya'.

"Jadi saya rasa bila tolong orang, dapat tolong diri kita juga supaya masing-masing dapat menjalankan tanggungjawab kita sebagi hamba ALLAH," katanya.

 

Usah sekadar cari publisiti

"Sejak dulu saya bercita-cita bekerja sepenuh masa dalam bidang NGO. Pernah cuba beberapa kali untuk buat full-time tapi tak dapat.

"Tapi pada 2014 bila bersama MyCare, saat paling bermakna bila dapat buat full-time kerja NGO, itulah rasa kemuncak dalam hidup saya bila tercapai cita-cita kerana sebelum ini kerja NGO terpaksa dibuat cara sampingan."

Itu antara luahan kepuasan diperoleh Roha melalui kerja-kerja NGO dilakukannya.

Selain dalam negara, mengimbau sejarah awal misi kemanusiaan di luar negara, Roha terlibat bantuan kepada mangsa tsunami di Acheh pada 2005 tidak berapa lama selepas tragedi berlaku.

Bekerja sebagai jurutera ketika itu, dia bersyukur mendapat majikan prihatin yang menyokong misi dilakukannya, walaupun bukan berlatarbelakangkan orang NGO.

"Tak ada favourite. Siapa saja boleh bantu saya akan bantu. Tapi nak membantu pun ada tipnya. Saya jenis yang kata yes or no. Ada orang rasa tak boleh bantu tapi dia bantu juga. Kadang mudah diperdaya orang lain.

"Namun perlu beringat kerana ada juga boleh ambil kesempatan pada kita. Jadi kita terlibat bidang ni kena pandai bila masa nak kata yes atau bila masa nak kata no.

"Memang kita kena tolong orang, tapi kena ikut tip and rule juga. Macam di MyCare, kami ada dokumentasi jelas. Misalnya sesuatu program atau projek dibuat perlu ada gambar dan laporan. Seperti MyCare yang diaudit, jadi dokumentasi amat penting," katanya.

Memberikan tip kerja sukarelawan, menurutnya untuk membantu juga tidak boleh hanya berasaskan laporan orang ramai atau dari media sosial, sebaliknya perlu dapatkan kesahihan.

Tambahnya untuk membantu juga harus mengikut kemampuan, kerana jika sebaliknya niat membantu hendak dilakukan tidak akan bertahan lama.

"Contohnya, kita janji nak bagi 30k, tapi kita mampu 10k saja, kita yang akan tertekan, lama-lama ia tak akan jadi, kerja pun makin lama jadi tak seronok, misalnya jika kita sampai berhutang atau menyusahkan diri. Setiap manusia itu memang ALLAH dah tetapkan kelebihan. Jadi kita perlu gunakan kelebihan itu.

"Selain tu, kalau nak buat kerja sukarela ni kena ada ilmu, kerana kerja ni pun banyak jenis. Macam kami sampai sekarang masih menuntut ilmu, kena kursus, bila dengar ada benda baru kena belajar," katanya.

 

Impi ke Palestin

Perlu tabah, jangan menangis atau tunjuk kelemahan di depan orang hendak dibantu, itu juga antara tip diberikan wanita berusia 48 tahun ini.

Satu lagi pesannya sentiasa menjaga disiplin dan etika termasuk rendah diri serta tidak membantu bertujuan mendapatkan publisiti ataupun nama.

Berkongsi pengalaman tak dapat dilupakannya semasa terlibat kerja-kerja NGO, menurutnya ia adalah ketika kali pertama berada di lapangan antarabangsa semasa misi membantu mangsa tsunami di Acheh.

"Bau ratusan mayat sampai ke sempadan sebelum kami jejakkan kaki di Acheh lagi. Itu saya rasa pengalaman yang dahsyat hingga saya terbawa-bawa dalam mimpi dan menginsafkan. Pengalaman tu, tunjukkan ALLAH berkuasa jadikan apa saja.

"Satu lagi... sukarelawan biasa kerja kemanusiaan memang mengimpikan ke bumi Palestin. Macam saya alhamdulillah pada 2013 saya dapat ke sana. Bagi saya ia kenangan tak dapat dilupakan.

"Sebenarnya bila kita pergi ke tempat-tempat macam ni, bukan mereka belajar dari kita, tetapi kita belajar dari mereka. Pengalaman di Acheh dan Palestin ini paling tak dapat saya lupakan," katanya.

Sering mendapat sokongan rakan-rakan dan keluarga, menurut Roha ia apabila mereka juga sering kali dilibatkan dalam kerja-kerja NGO dijalankannya.

Menurutnya, biasanya apabila orang terdekat lebih faham kesibukan kita, ia akan lebih memudahkan kerja-kerja amal hendak dilakukan.

"Jangan rahsia, bila mereka dah faham mudahlah kita untuk minta tolong, nak ajak kerjasama, dan kadang-kadang mereka pun dapat menyumbang.

"Apa nak dicapai, bila saya buat kerjakerja NGO ini...? Kita menolong orang, ada juga buat kerja-kerja dakwah sebarkan Islam, kemurniannya dan sebagainya, tapi memang tak rasa penat.

"Sampai bila nak buat kerja-kerja ni... harap hingga ke akhir hayat," katanya.