PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyatakan bahawa semangat patriotisme perlu dipupuk dalam diri generasi muda supaya masyarakat di negara luar lebih menghormati kita.

Tambahan pula, semangat cintakan negara ini dapat membentuk sahsiah diri seterusnya mencerminkan keperibadian mereka sebagai generasi muda yang cemerlang.

Sehubungan itu, semuanya bermula daripada ibu bapa kerana mereka adalah individu yang paling rapat dengan anak-anak. Mereka menjadi ‘arkitek’ dalam membentuk peribadi dan sahsiah anak-anak.

Begitu juga bagi dua selebriti terkenal negara, Ziana Zain dan Dynas Mokhtar, yang menitikberatkan sifat cintakan negara walaupun sibuk dengan aktiviti seni masing masing.

Dilahirkan sebagai anak anggota polis memberi seribu satu kelebihan buat Ziana Zain atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zin@Zain.

Menurut Ziana, semangat patriotisme itu sudah sebati dalam jiwanya lantaran melihat sendiri bagaimana perit bapanya berusaha menjaga kedaulatan dan keamanan negara.

Tambahnya, sebagai anak pesara polis, dia ada menghadiri majlis yang dianjurkan oleh badan beruniform itu sebagai penyanyi jemputan sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

“Sambutan kemerdekaannya sangat meriah. Pelbagai peringkat usia hadir malah saya berasa sangat sedih dan terharu di saat mendengarkan semula pengalaman yang diceritakan oleh bekas-bekas polis yang dahulunya berjuang di zaman penjajah,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Ratu Rania di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perlu kenang jasa

Menurut Ziana yang juga isteri kepada Armin Zaharin ini, pelbagai nasihat dan pesanan yang ditinggalkan buat generasi muda.

“Orang terdahulu mengharungi pahit maung dan betapa sukarnya untuk mendapatkan makanan, hidup dalam kesusahan dan kesengsaraan serta sentiasa dizalimi oleh penjajah

“Seharusnya kita bersyukur dengan keadaan hidup pascamerdeka yang aman,” katanya.

Penyanyi lagu Puncak Kasih ini juga memberitahu, selain menjaga keamanan, hak-hak keistimewaan orang Melayu juga harus dipertahankan walaupun ia adalah perkara yang paling susah hendak dididik.

Katanya, semua ini disebabkan keadaan kini yang terlalu banyak common sense dan kadang-kadang tidak kena pada tempatnya.

“Kita harus ingat ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’. Kita orang Melayu dan tanah air kita Tanah Melayu.

“Kita mendapat kemerdekaan daripada British dan bapa kemerdekaan kita siapa? Kita kena ingat semua itu,” katanya.

Menurutnya, keistimewaan itu harus dijaga kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. Tambahnya lagi, semangat Melayu perlu ada sambil disulami dengan tingginya semangat merdeka bagi seorang Melayu dan terus keluar daripada jajahan.

“Jika dahulu, kita dijajah dengan berperang, tetapi kini  kita banyak dijajah dari segi teknologi yang kadang-kadang kita sendiri alpa dan tidak faham, seterusnya menganggapnya sebagai satu perkara mudah,” katanya.

Celik mata anak-anak

Ibu kepada pasangan kembar, Muhammad Airil dan Siti Nur Qaseh ini memberitahu, pendedahan daripada ibu bapa mengenai erti kemerdekaan kepada anak-anak perkara yang penting.

“Ibu bapa bertanggungjawab mencelikkan mata anak-anak agar sayangkan negara. Terangkan pada anak-anak nikmat menjadi anak pascamerdeka dan bersyukur kerana diberikan keamanan serta kedamaian,” katanya.

Menurutnya, beritahu juga pada anak-anak betapa susah payah dan berharganya kita menjadi rakyat Malaysia yang mempunyai banyak keistimewaan sebagai orang Melayu.

“Perlu diterapkan dalam diri setiap anak-anak akan hak orang Melayu itu. Walaupun negara sudah merdeka dan mengamalkan sistem demokrasi tetapi umat Islam dan orang Melayu ada keistimewaan itu,” jelasnya.

Namun begitu, jelasnya, semangat patriotisme generasi masa kini tidak ‘tebal’ berbanding dahulu.

“Jika sekarang tidak tanamkan nilai-nilai sayang akan negara, esok lusa tidak mustahil, anak-anak boleh lupa.

“Pada masa akan datang, hidup akan lebih getir dari sekarang terutama dari segi kehidupan seperti kos hidup, ekonomi dan percampuran,” katanya.

Dalam pada itu, Ziana juga sering bercerita mengenai tokoh pejuang tanah air kepada anak-anak.

Katanya, secara tidak langsung, semangat patriotik dapat diterapkan ketika anak-anak masih kecil lagi.

“Ibu bapa haruslah bercerita atau membacakan cerita tentang perjuangan tokoh-tokoh terkenal seperti Mat Kilau dan Tok Janggut dengan mendedahkan jasa mereka yang berjuang membebaskan diri daripada belenggu penjajahan.

“Bawa juga anak-anak ke tempat bersejarah seperti muzium dan tempat monumen terpelihara supaya generasi kini dapat melihat sendiri zaman keperitan dulu,” jelasnya yang kini sibuk dengan beberapa penggambaran iklan termasuk promosi susu Dutch Lady dan produk penjagaan diri, Antabax.

Dynaz pasang lagu patriotik

Turut bersetuju dengan pandangan dan pendirian Ziana, selebriti tinggi lampai, Dynas Mokhtar menggunakan pendekatan menerusi lagu-lagu patriotik untuk mendidik anak-anak.

Ibu kepada Khyra Khalyssa, 3, dan Muhamed Haqaish, setahun, ini memberitahu penyampaian menerusi lagu untuk memberi pemahaman kepada anak-anak yang masih kecil adalah medium yang paling sesuai.

“Semua lagu yang diperdengarkan di televisyen atau radio diminati anak-anak saya. Tetapi lagu yang paling diminati oleh mereka ialah lagu patriotik, Tanggal 31 nyanyian seniman negara, Sudirman,” katanya.

Tambahnya, anak-anaknya boleh mengingati dan memahami akan bait-bait lagu berkenaan, tetapi dia tidak betul-betul mempraktikkan erti kemerdekaan yang sebenarnya kepada mereka.

“Mereka masih kecil lagi dan pemahaman erti kemerdekaan itu akan meningkat dari semasa ke semasa seiring dengan pertambahan usia mereka,” katanya.

Selain itu, Dynas berkata, anak-anaknya juga akan menonton acara perbarisan yang ditayangkan secara langsung di televisyen sempena hari kemerdekaan.

Menceritakan mengenai pengalamannya sendiri dalam menyambut hari kemerdekaan, dia memberitahu, ketika zaman kanak-kanaknya, ibunya sering membawanya ke Dataran Merdeka bagi menyaksikan perbarisan.

Bagaimanapun, apabila meningkat dewasa, sambutan hari kemerdekaan disambut di rumah sahaja sambil dekorasi rumah dengan memasang lampu kelip-kelip di sekeliling rumah.

“Ketika itu, pagi-pagi lagi kita akan berada di depan TV. Masa itu rasa sangat seronok kerana jika hanya menonton di TV, semua boleh dilihat dengan jelas berbanding jika ke lokasi berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ayahnya juga turut membeli bendera untuk diletakkan di kereta.

“Kita akan menghias kereta dengan memasang bendera tapi bukanlah seperti orang yang 'hardcore’ sampai menghias kereta dengan semua bendera. Cukuplah satu kereta satu bendera,” selorohnya.

Jelasnya, jika di rumah, memang sentiasa ada bendera Malaysia dan bukannya pada ketika sambutan Hari Kemerdekaan sahaja.

Iklan Petronas tinggal kesan 

Menurut isteri kepada Mohd Hafizy Hafiz ini, dia seorang yang aktif dalam tarian tradisional sehingga berjaya mewakili peringkat sekolah.

“Saya pernah diundang membuat pertunjukan di Dataran Merdeka semasa sambutan merdeka, namun saya tidak dapat hadir kerana demam,” katanya.

Kata Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, dia sangat kecewa dengan perkara itu sedangkan itulah saat yang paling diidam-idamkannya.

Namun begitu, kata Dynas, sejak bergelar selebriti, dia berpeluang merasai apa yang tidak dirasainya ketika kecil.

“Jika dahulu, nak tengok acara perbarisan itu jauh sangat dan semuanya jadi kecil tetapi sejak menjadi selebriti, kita berpeluang untuk tengok dengan dekat,” katanya.

Dynas juga memberitahu bahawa iklan Petronas bertajuk, Little Indian Boy yang memaparkan kisah kanak-kanak berbangsa India menyambut hari kebangsaan itu memberi kesan mendalam buatnya.

“Iklan itu sangat bagus dan memberi kesan besar dalam hidup saya dalam menghayati erti kemerdekaan yang sebenar,” katanya.

Sibuk bisnes DNA

Selain aktif berlakon, Dynas juga kini sibuk menguruskan perniagaannya, Dynas Nursing Attire (DNA).

Dynas yang mengamalkan penyusuan eksklusif untuk anak-anak turut menggalakkan ibu-ibu di luar sana menyusukan anak secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan.

“Walaupun sibuk dengan aktiviti lakonan, saya masih aktif dengan perniagaan.

“Butik DNA masih lagi di The Curve dan terbaru di Setia City Mall, Shah Alam,” katanya.

Selain itu, perkembangan terbarunya, Dynas baru sahaja dipilih menjadi pengacara bagi program realiti mencari ikon wanita moden, Ratu Rania.

“Program ini satu rancangan yang bagus kerana memberi peluang kepada mereka yang tidak berpeluang menonjolkan diri dalam industri hiburan tempatan tidak kiralah bidang peragaan, pengacaraan atau lakonan atau apa sahaja.

“Inilah kesempatan yang harus dicapai oleh mereka setelah berjaya dalam bidang lain seterusnya mengembangkan bakat terpendam mereka,” katanya.

Tambahnya, rancangan ini cuba memberi keyakinan tinggi pada seorang wanita selain mempunyai kerjaya mantap dan keluarga bahagia.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.