KOTA BHARU - Seorang buruh mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen, di sini, semalam, atas pertuduhan merogol kekasihnya, Mac lalu.

Muhamad Amirullah Kamarodzaman@Ghani, 21, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa merogol seorang remaja berusia 18 tahun tanpa kerelaannya, antara jam 9.15 hingga 10.45 pagi di sebuah rumah di Jalan Pasir Mas Salor pada 20 Mac 2014.

Tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh merayu supaya dibenarkan diikat jamin namun mahkamah tidak membenarkannya.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusof tidak menawarkan ikat jamin kerana alasan tidak munasabah.

Kes bersambung 11 Mei ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :