• ALLAH Tidak Pernah Jauh oleh Suhana Amiril ALLAH Tidak Pernah Jauh oleh Suhana Amiril
1 /

Kenapa Kita Ada?

MELIHATKAN cuaca yang tidak terlalu panas, angin sepoi-sepoi bahasa dan suasana petang yang indah, saya keluar mengambil angin. Berjalan dan berjalan lalu bertemu dengan seorang kawan yang juga sedang berjalan seorang diri. Kami berjalan bersama sama sambil berbual-bual. Suasana menjadi sepi apabila kami sampai di tepi padang bola.

Kawan itu tadi bersuara, “Kenapa kita ada di dunia ini?” Saya sekadar diam. Menunggu dia meneruskan bicara. Tahu yang dia mahu berkongsi bicara. Saya dulu juga begitu, pernah tertanya-tanya.

Dalam berjuta-juta sperma yang berebut-rebut untuk disenyawakan, kenapa saya yang terpilih menjadi seketul daging, membentuk bayi dan ditiupkan roh lalu akhirnya dibenarkan lahir ke dunia. Kenapa saya? Kenapa saya mesti ada di dunia ini?

Kenapa kita ada di sini?


Ciptaan-NYA Tiada yang Sia-sia

ALLAH SWT tidak menciptakan sesuatu dalam keadaan main-main tanpa sebarang hikmah dan tujuan. Kuman juga ada fungsinya. Malah, semut hitam di atas batu yang hitam pun diciptakan kerana makhluk itu ada hikmahnya tersendiri. Penciptaan setiap satu yang ada di dunia ini ada hikmahnya. Setiap satu!

Setiap sedutan dan hembusan nafas, semua dalam aturan-NYA. Apa yang pasti, kita tidak diciptakan untuk bermain-main!

Maka, apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya KAMI menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada KAMI? Maha Tinggi ALLAH, Raja Yang Sebenarnya, tidak ada Tuhan selain DIA. - al-Mukminun : 115-116

Sahabat, setiap apa yang kita lakukan adalah untuk meraih redha dan kasih ALLAH SWT. Kerja yang berada di landasan kasih sayang-NYA, maka itu adalah tujuan kita semua diciptakan. Setiap gerak langkah dan tutur kata yang disertai dengan mengingati-NYA, maka itu adalah tujuan kenapa kita ada.

Sahabat, renungkanlah....

Hidup ini terlalu singkat untuk main-main dengan perkara remeh.

Hidup ini juga terlalu singkat untuk kita berasa kita punya umur yang panjang.


Kita Semua Penulis Buku Amalan

~You are the author of your own book on the Day of Judgement. Make sure it’s well worth reading~

Sama ada menulis diksi yang baik atau buruk, kita sendiri pilih!

Terjaga daripada tidur dengan mengejut secara tiba-tiba teringatkan hari kematian... bila, di mana dan bagaimana... sangat menyeramkan jiwa. Saya akui. Duduk. Tiba-tiba terfikir. Bagaimana dengan buku amalan? Apakah buku itu akan diterima oleh tangan kanan; tanda keselamatan, atau tangan kiri; tanda kebinasaan?

Buku amalan. Penulisnya adalah kita sendiri. Titik.

Bila sampai masanya, buku itu bakal disemak oleh ALLAH SWT dan kerajaan-NYA, lalu akan ditentukan, sama ada ia menjadi penyelamat atau asbab kebinasaan sendiri. Semuanya akan berlaku pada Hari Pengadilan. Sama ada isi kandungan buku itu baik atau buruk, penulisnya yang menentukan!

Bila terfikirkan ini, saya jadi seram sejuk. Benar kita adalah ‘penulis’. Tapi kita sentiasa diawasi oleh ALLAH SWT serta malaikat-malaikat di kiri dan kanan. Setiap sesuatu yang kita lakukan dan ucapkan akan dicatat oleh Raqib dan Atid.

Mungkin kita tidak berasa kita bersama ‘sesuatu’ yang lain apabila bersendirian sebab malaikat itu tidak terlihat oleh mata. Saya bertanya pada diri, agaknya kalau ALLAH SWT takdirkan malaikat itu dapat dilihat oleh manusia,pasti tiada kejahatan yang berlaku kerana semuanya mahudicatat amal yang baik-baik sahaja.

Eh! Nampak tak kaitan antara keduanya?

Setiap apa yang kita lakukan dan ucapkan di hadapan mahupun di belakang manusia lain, secara automatiknya akan tercatat dalam buku amalan kita. Saya tidak dapat membayangkan dosa-dosa yang telah dibuat selama ini. Bukankah DIA ada menceritakan keadaan kita di sana nanti? Saat kita menerima buku amalan kita...

Wahai manusia. Sesungguhnya kamu sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa kamu) kembali kepada TUHANmu, kemudian kamu tetap menemui balasan apa yang telah kamu usahakan itu (tercatat semuanya). Kemudian sesiapa yang menerima surat amalnya dengan tangan kanannya; maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan dan dia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. Dan sesiapa yang menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, maka dia akan meraung menyebutnyebut kebinasaannya dan dia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang. - Insyiqaaq : 6 -12

Saya jadi speechless sekejap saat membaca surah ini.


Kita Boleh Menjadi Penulis yang Baik

Bila ditilik-tilik kehidupan di dunia ini, terasa seperti perjalanannya sungguh panjang. Dugaan datang bersilih ganti. Lumrah jiwa manusia; hidup terlalu senang tiada masalah, jiwanya akan resah. Bila berhadapan dengan hidup yang selalu teruji, pun jiwanya akan resah. Padahal, umur kita di dunia tidaklah selama mana.

Bila-bila sahaja kita akan dijemput oleh kematian. Saat ini? Sebelum subuh? Esok? Kita tidak tahu. Apa yang kita imani, kematian itu pasti datang tanpa diundang. Pasti. Malah, kita tidak tahu keadaan yang bagaimana kita akan mati. Pergi dengan kebaikan? Atau pergi dalam keaiban?

Tidak terlambat rasanya kalau kita cuba menjadi seorang penulis yang lebih baik terhadap buku amalan sendiri; ini seruan untuk kita semua.

Saya tidak mengajak kita berubah secara drastik. Saya tahu, insyaallah kamu lebih baik dan berilmu daripada saya. Apa yang penting adalah perubahan yang dimulai daripada sekecil-kecil perkara. Mengapa? Kerana daripada perkara yang kecil itulah selalunya mencetuskan sesuatu yang besar.

Saya mahu berubah kepada yang lebih baik ... untuk ALLAH SWT, diri sendiri serta insan yang disayangi.

Kamu?

Sudi tidak kiranya kita melakukan perubahan ini bersama-sama?

Tiada niat jahat tersembunyi. Jangan risau. ALLAH SWT sebagai saksi.

Saya di sini, sahabat di sana. Sama-sama. Kita melangkah melakukan perubahan dengan niat yang sama; redha-NYA. Mungkin nampak remeh. Tapi terpulanglah. Bumi yang bulat ini sentiasa berputar. Masa sedang berjalan. Hari ‘itu’ pula sedang menghampiri.

Saya cuma terbayang, alangkah bahagia bersama sahabat semua... berada dalam satu tempat; Jannah! Pengharapan melangit tinggi? Biarlah. Tahu diri ini tidak layak. Tapi tidak salah mengemis pada TUHAN sendiri, kan?

Jom, sama-sama....



P/S: Dapatkan buku ini di kedai berhampiran atau boleh melanggan terus kepada kami di karangkraf mall dengan melayari (FB: karangkraf mall) untuk maklumat lanjut atau terus ke emall (FB: emall) untuk belian terus ke telefon pintar anda.