Pengunjung : 9597 Selasa 16-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:

MPPP arah pemaju hentikan pembinaan

PULAU PINANG - Laluan masuk ke bangunan tempat meletak kereta bertingkat di Kondominium Gurney Park di Persiaran Gurney di sini rosak
teruk akibat mendapan tanah yang dikesan berlaku malam tadi.

Rekahan dan mendapan itu dipercayai berlaku akibat kerja pembinaan sebuah pangsapuri di kawasan bersebelahan tempat meletak kereta lima tingkat itu dan berikutan rekahan yang semakin besar, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) hari ini mengarahkan agar pembinaan pangsapuri itu dihentikan serta merta
bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Yang Dipertuanya Tan Cheng Chui berkata pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada pemaju dan kontraktor projek pembinaan pangsapuri dua blok 43
tingkat berkenaan secara lisan dan akan memberi notis bertulis kemudiannya.

"Punca sebenar mendapan itu masih disiasat dan pada masa yang sama kita mengambil langkah segera dengan mengarahkan pemaju pangsapuri itu menghentikan
serta merta pembinaan mereka supaya tidak memburukkan lagi keadaan kawasan yang mendap itu," katanya kepada pemberita.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Azam Abdul Hamid yang ditemui pemberita malam tadi, berkata sepasukan anggota polis dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada penghuni dan selepas didapati berlaku rekahan teruk, laluan itu ditutup kepada semua kenderaan sebagai langkah keselamatan.

"Kami berharap penghuni tidak panik dan pemaju projek bersebelahan juga perlu bekerjasama bagi memudahkan siasatan," katanya.

-- BERNAMA