• Mohd Isa dijulang penyokongnya selepas diumumkan menang bagi kerusi Parlimen Jempol. Mohd Isa dijulang penyokongnya selepas diumumkan menang bagi kerusi Parlimen Jempol.
  • Shamsul Iskandar (kanan) memeluk Ketua Penerangan Pas negeri, Sofi Wahab selepas diisytiharkan menang bagi kerusi Parlimen Bukit Katil. Shamsul Iskandar (kanan) memeluk Ketua Penerangan Pas negeri, Sofi Wahab selepas diisytiharkan menang bagi kerusi Parlimen Bukit Katil.
1 /

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) diperolehi awal pagi ini menunjukkan Melaka masih kekal di tangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti dua pertiga, sementara di Negeri Sembilan hanya memperolehi majoriti mudah.

Bagaimanapun, kejutan berlaku di Melaka apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam tewas di tangan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR) bagi kerusi Parlimen Bukit Katil dengan majoriti 5,447 undi. Mohd Ali yang pertama kali bertanding kerusi Parlimen pada PRU13 ini selepas melepaskan kerusi Dun Bukit Baru, memperolehi 40,720 berbanding Shamsul Iskandar yang memperolehi 46,167 undi.

Selain itu, Parlimen Tangga Batu menyaksikan Profesor Madya Datuk Dr Abu Bakar Md Diah (BN) berjaya menewaskan Rahim Ali dengan majoriti 15,633. Abu Bakar memperolehi 39,468 manakala Rahim sebanyak 23,835.

Datuk Idris Haron (BN) pula menang bagi kerusi Dun Sungai Udang apabila menewaskan Asri Buang (PKR) dengan majoriti 9,136. Idris memperolehi 12,145 manakala Asri memperolehi 3,009 undi.

BN turut mengekalkan penguasaan apabila calon mereka, Datuk Ab Rahaman Ab Karim menang bagi kerusi Dun Pantai Kundor menewaskan Mohd Noor Omar (Pas) dengan majoriti 3,064 undi, Sazali Md Din @ Mohammad Din menewaskan Taha Ahmad (PKR) di Dun Paya Rumput dengan majoriti 1,270 dan Lim Ban Hong menewaskan Liou Chen Kuang (DAP) dengan majoriti 2,097.

Mas Ermieyati Samsudin (BN) pula bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah apabila menewaskan Mohd Nasaie Pas dengan majoriti 16,200. Manakala, Datuk Ismail Othman (BN) juga menang bagi kerusi Dun Kuala Linggi apabila menewaskan Julasapiyah Kassim (Pas) dengan majoriti 2,431.

Di Jasin, Zaidi Atan (BN) menewaskan Kamarudin Sedik (Pas) dengan majoriti 3,600 bagi kerusi Dun Serkam.

Di Alor Gajah, BN berjaya mengekalkan penguasaan bagi Parlimen berkenaan apabila Datuk Koh Nai Kwong (BN) menewaskan Damien Yeo Shen Li (DAP) dengan majoriti 11,597.

Datuk Norpipah Abdol (BN) menewaskan Prof Rosnah Aluai (PKR) dengan majoriti 2,358 manakala bagi Dun Gadek, Datuk MS Mahadevan (BN) menewaskan G.Rajandran (PKR) dan Abdullah Sani Rejab (Bebas).

Bagi Dun Durian Tunggal, Datuk Ab Wahab Ab Latip (BN) menewaskan Adly Zahari (Pas) dengan majoriti 1,316.

DAP pula berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kota Melaka apabila calonnya, Sim Tong Him berjaya menewaskan calon BN, Dr Yee Kok Wah dengan majoriti 20,746 undi. Tong Him memperoleh 49,521 undi, manakala Kok Wah mendapat 28,775 undi.

Sementara itu di Negeri Sembilan, kejutan berlaku di Dun Paroi berjaya dirampas kembali BN apabila penyandang kerusi berkenaan, Mohamad Taufek Abd Ghani (Pas) tewas di tangan calon BN, Mohd Ghazali Abd Wahid dengan majoriti 2,184.

Manakala, Datuk Seri Mohamad Hasan kekal menang di kerusi Dun Rantau apabila menewaskan lawannya, Aisah Lamsah (PKR) buat kali kedua dengan majoiriti 4,613.

BN juga berjaya merampas kembali kerusi Dun Ampangan apabila calonnya, Abu Ubaidah Redza menewaskan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR) dengan majoriti tipis, 89 undi. Abu Ubaidah memperolehi 7,190 undi, manakala Kamarul Baharin peroleh 7,107 undi.

Bagaimanapun, Kamarul Baharin mengekalkan kerusi Parlimen Telok Kemang apabila menewaskan Datuk VS Mogan dan Datuk Kamarudin Kumaravel Abdullah (Bebas) dengan majoriti 1,579 undi.

Sementara bagi kerusi Dun Sikamat, Aminuddin Harun mengekalkan kerusi disandangnya apabila menewaskan Wan Salwati Abdullah (BN) juga dengan majoriti tipis 510 undi.

Di Jempol, menyaksikan Tan Sri Mohd Isa Samad (BN) menewaskan Wan Aishah Wan Ariffin (Pas) dengan majoriti 8,614 undi. Mohd Isa mendapat 31,109 manakala Aishah memperolehi 22,495.

Khairy Jamaluddin (BN) juga mengekalkan kerusi Parlimen Rembau dengan manjoriti besar 18,357 undi. Beliau memperolehi 43,053 undi mengalahkah calon PKR, Radzali A Ghani (24,696) dan calon Bebas, Abdul Aziz Hasan (325).

Lain-lain, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor (BN) menang bagi kerusi Parlimen Tampin apabila menewaskan Razakek Abd Rahim (Pas) dengan majoriti 11,162 undi, dan Datuk Hasan Malek berjaya mengekalkan kerusi disandangnya apabila menewaskan calon PKR, Mohd Nazree Mohd Yunus dengan majoriti 9,661.

Bagaimanapun, keputusan mengejutkan menyaksikan semua kerusi MCA dan Gerakan tewas apabila DAP menang kesemua dua kerusi Parlimen dan 10 Dun.

Satu-satunya kerusi dimenangi BN menerusi MCA pada 2008 iaitu Dun Chennah dirampas DAP menerusi wakilnya, Loke Siew Fook.

Siew Fook turut menang kerusi Parlimen Seremban apabila menwaskan Datuk Dr Yeow Chai Thiam.

Di Dun Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (BN) mengekalkan kerusi disandangnya apabila menewaskan Abd. Rahman Ramli (Pas) dengan majoriti 5,442 undi.

Sementara Datuk Lilah Yasin (BN) berjaya mengekalkan penguasaan BN di Dun Palong apabila menewaskan Rebin Birham (PKR) dengan majoriti 8,456 undi.

Di Kuala Pilah, penyandang kerusi Dun Juasseh, Datuk Mohammad Razi Kail (BN) mendahului Rosli Omar (PKR) dengan majoriti 1,688. Manakala, Datuk Abd Samad Ibrahim (BN) mengekalkan kerusi Dun Seri Menanti menewaskan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (PKR) dan Md Ali Mustafa (Bebas) dengan majoriti 2,396.

Datuk Norhayati Omar (BN) pula menang menewaskan Mohamad Nazaruddin Sabtu (PKR) dengan majoriti tipis iaitu 113 undi.

Sementara, bagi kerusi Dun Parlimen Johol, Abu Samah Mahat (BN) berjaya menewaskan Nor Azman Mohamad (Pas) dengan majoriti 1,344.

Bagi Dun di Parlimen Rasah, Datuk Hasim Rusdi (BN) menewaskan Khairil Anuar Wafa (Pas) dengan majoriti 1,511. Hasim memperolehi 7,082 undi, manakala Khairil Anuar memperolehi 5,571 undi.