ZY Phyto Holdings Sdn Bhd, syarikat pengilang OEM bagi produk-produk kesihatan dan kecantikan berasaskan bahan ekstrak semula jadi dan herba telah merasmikan anak syarikatnya, ZY Herbal Science Sdn Bhd.

Fokus utama ZY Herbal Science adalah membekal bahan mentah termasuklah ekstrak herba, serbuk dan cecair yang mendapat permintaan tinggi di pasaran khususnya dalam sektor pembuatan produk kecantikan dan kosmetik.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan ZY Phyto, Zaidi Yusoff berkata, penubuhan ZY Herbal Science membuktikan syarikat optimis  memastikan kualiti setiap bahan dihasilkan memenuhi piawaian kebangsaan bagi produk makanan dan kesihatan.

"ZY Phyto turut dikenali sebagai pusat sehenti di mana pelanggan-pelanggan kami ditawarkan perkhidmatan pembuatan produk bermula daripada peringkat rundingan oleh barisan pemasaran, ciptaan formulasi dan pembuatan produk bersama pakar R&D, reka bentuk pembungkusan produk dan percetakan kotak juga label," katanya.

Jelasnya, selain bahan mentah, ZY Herbal Science turut memasarkan produk siap jenama sendiri bagi produk kesihatan dan kosmetik berasaskan bahan mentah semula jadi dalam skala kecil dan sederhana serta mampu milik oleh usahawan-usahawan baharu dengan permulaan modal kecil.

"Keberkesanan herba yang dibekalkan terbukti secara saintifik setelah melalui proses penyelidikan.Kini, keperluan untuk produk halal semakin meningkat dan mendapat perhatian utama dalam kalangan masyarakat dunia.

"Justeru, ZY Herbal Science komited melengkapkan setiap bahan dibekalkan dengan persijilan halal yang sah dari pihak Jakim untuk pasaran antarabangsa," katanya.

ZY Herbal Science adalah salah sebuah syarikat perdagangan di Malaysia, telah beroperasi lebih 10 tahun dan telah mendapat pelbagai pengiktirafan kebangsaan dan Asia.